Rindu

827 25 4
                                    

Dia bersendirian di dalam bilik yang tidak seberapa luas itu. Di dalam bilik itu hanya ada sebuah televisyen, kipas meja, almari, jam dinding yang berwarna merah dan sebuah meja komputer.

Bilik itu tidak mempunyai katil mahupun sofa. Hanya tikar getah yang mulai kehilangan warna. Sebahagian dinding bilik itu berwarna kuning dan sebahagian lagi berwarna putih. Mungkin kesan daripada asap ubat nyamuk.

Siling bilik itu kelihatan mempunyai sawang di bahagian sudut. Lampu kalimantang tidak tergantung sempurna, seakan mahu jatuh.

Dia tidak ambil peduli akan keadaan di dalam bilik itu. Dia sedang terbaring. Matanya melihat pada siling bilik.

*****

"Kau tahu bagaimana rasanya rindu?" Si lelaki bertanya pada si gadis.

Si gadis tidak menjawab. Dia hanya tersenyum.

"Suatu hari nanti aku pasti merindukan senyuman kau itu. Tapi aku harap rindu aku itu tidak berpanjangan."

Si Lelaki dan Si Gadis duduk bersebelahan. Mata mereka merenung mesra antara satu sama lain.

"Janji jangan tinggalkan aku? Janji?"

*****

Ke hadapan Kekasihku.

Maafkan aku terlebih dahulu kerana memungkiri janji kita. Aku tersepit antara memilih cinta ataupun cita-cita. Aku doakan kau bahagia. Salam rindu buat dirimu.

Dia membaca surat itu berulang kali. Dia cuba menyakinkan dirinya yang surat itu bukan datang dari kekasihnya. Namun, sejak sebulan yang lalu, kekasihnya tidak pernah hadir menemuinya. Bahkan tiada khabar berita dari kekasihnya itu. Panggilan telefon tidak berjawab, mesej tidak dibalas.

"Aku tidak tahu alamat rumahnya. Aku tidak tahu di mana dia tinggal. Aku tidak tahu siapa kawan-kawannya. Bodohnya aku!"

Dia mengeluh sendirian.

"Sebenarnya cinta jenis apa yang sedang kau lalui ni sahabat?" Seorang kawan bertanyakan kepada dia.

Kopi di atas meja sudah semakin sejuk, terbiar begitu saja bersama soalan yang tidak berjawab.

"At least dalam zaman serba moden ini, kau harus facebook dia, twitter, instagram atau paling tidak email. Hmm."

"Kau tak faham, dan aku pun susah nak meluahkan."

*****

Jika pun satu dunia mengatakan aku gila, Aku tetap akan setia bersama cinta kita.

"Kata-kata manis yang kau tulis itu tak akan dapat membantu kau mencari dia. Mari aku tolong. Kau berikan aku nombor telefon dia."

"Untuk apa?"

"Mana tahu, kalau-kalau itu dapat membantu."

Dia menulis sesuatu pada cebisan kertas kemudian diberikan kepada sahabatnya itu.

"Nanti kalau ada khabar gembira aku beritahu kau"

Matanya berkaca-kaca mendengar kata-kata sahabatnya itu. Seperti sebuah perjalanan gelap yang kembali menemui cahaya.

*****

"Jadi bagaimana kesudahan cerita itu?"

"Sekejap. Biarkan aku merasai kesedapan karipap sardin ini dulu."

"Cepatlah!" Perempuan itu mula menunjukkan reaksi memaksa.

"Selama berbulan-bulan lelaki itu hanya mengurung dirinya di dalam bilik sehinggalah suatu hari, dia ditemui mati"

"Tragisnya."

"Itu tidak tragis. Yang lebih tragis ialah, sahabatnya yang berjanji mahu menolongnya hilang begitu saja tanpa berita."

"Hah? Dia ke mana?"

"Entah. Aku belum siap menulisnya lagi. Nanti bila dah siap aku ceritakan pada kau ya."


PutihWhere stories live. Discover now