"Berapa lama Cik Nailah perlu ada dengan Tuan Arjuna, saya tak tahu. Dia tak ada cakap apa-apa pun. Tapi satu yang saya pasti."

"Apa dia?" tanyaku laju.

"Tuan Arjuna akan buat apa sahaja untuk lindung Cik Nailah."

Aku bungkam sejenak. Wajah kacak dan serius Arjuna bermain-main di mata. Memanahku dengan renungan umpama helang. Menghadiahkan aku dengan senyuman kecil yang jarang-jarang sekali dia ukirkan.

"Kenapa?" luahku antara dengar tak dengar.

"Kenapa...apa?" Ryohei bermain soalan.

"Kenapa dia nak buat macam tu untuk saya? Saya bukan sesiapa pun. Saya cuma perempuan yang dia tak kenal."

Dari pantulan cermin, aku dapat melihat Ryohei melirikkan ekor mata ke arahku.

"Cik Nailah mungkin perempuan yang dia tak kenal. Tapi Cik Nailah perempuan yang selalu muncul depan dia. Jadi tak mungkin Tuan Arjuna mampu butakan mata daripada melihat Cik Nailah."

Dalam dan penuh tersirat jawapan Ryohei. Lidahku jadi pegun. Aku yang selalu muncul? Sekonyong-konyong, kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Arjuna menujah kotak memori.

"Don't make me worry! Don't come to me looking so lost, so confused that I feel like I have to protect you!"

Sedikit demi sedikit, aku mula tersedar. Hakikatnya, aku sendiri yang pergi kepada Arjuna.

*****

"SAYA minta maaf, mak cik. Saya akan cuba lagi. Balik? Sepatutnya next week, tapi mungkin saya perlu lebih lama di sini. Ya, assalamualaikum."

Usai menamatkan perbualan dengan Mak Cik Kasmah, aku melepaskan keluhan berat. Aku berbohong lagi. Dikhabarkan belum menemui Badri sedangkan aku baru sahaja menemui anak bujangnya itu.

"Kenapa kau suka sangat duduk di luar?"

Suara garau itu menyentakku. Langsung, aku menoleh ke arah Arjuna yang berdiri di hujung koridor. Dia kemudiannya mengangkat langkah menghampiri.

"Di sini sejuk. Kau sepatutnya bercakap di dalam," sambungnya setelah dekat.

"Saja," jawabku sekadar berbasi-basi.

"Okey. Jangan sampai jatuh sakit sudahlah."

Sesudah menjawab, dia kembali membawa langkah dan berjalan melepasiku. Sato membuntuti dari belakang. Namun sebaik sahaja mendekatiku, Sato tiba-tiba berhenti dan berbisik, "Hari ni Tuan Arjuna balik kerja awal."

"Huh?" tanyaku dengan mata terkelip-kelip tidak faham.

Sato sengih lebar. Entah kenapa, wajahnya tampak nakal di mataku.

"Tadi, Tuan Arjuna tak boleh buat kerja langsung. Sekejap termenung. Sekejap mengeluh. Saya yakin dia bimbang kalau-kalau Cik Nailah lari dan tak balik rumah." Sato tiba-tiba menggelengkan kepala di tengah bicara. "Eh, tak. Bunyinya tak romantik langsung. Tuan Arjuna sebenarnya takut Cik Nailah tinggalkan dia. Hmm, itu baru betul. Dia takut Cik Nailah pergi."

Aku diam, cuba menganalisa kata-kata Sato. Dah kenapa pula dengan mamat ni? Mengarut sangat apa yang dia cakapkan.

"Cik Nailah diam kenapa? Kalau Cik Nailah nak tahu, selain Inoue-san, Cik Nailah adalah perempuan pertama yang masuk dalam rumah ni. Nampak tak? Betapa pentingnya Cik Nailah buat Tuan Arjuna."

Pot..pet, pot...pet Sato bercakap. Sudah serupa Mak Jemah sibuk bergosip tepi tingkap. Aku masih senyap memerhati. Tetapi, hati kecilku rasa digeletek. Sato tampak kelakar dengan muka penyibuknya.

SALJU KYOTO (Published)Where stories live. Discover now