PROLOG

43 10 0
                                        

DIA membuka pintu rumah dengan perlahan dan penuh hati-hati. Matanya segera melirik ke halaman rumah. Kosong. Tiada kelibat kereta. Seperti tiada sesiapa di rumah. Namun bukannya rasa lega yang muncul, malah kerisauan hadir dalam diri.

Perlahan-lahan dia menjenguk ke dalam rumah melalui celahan pintu yang sudah sedikit terbuka. Liur ditelan dengan susah payah. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba meredakan debaran yang semakin menggila di dada.

Orang lain mungkin akan menganggap segala tindak-tanduknya itu pelik kerana terlihat takut-takut untuk masuk ke rumah sendiri. Bagaikan penceroboh atau orang yang melakukan salah pun ada. Tapi dia ada sebab tersendiri mengapa dia bertindak sedemikian. Sebab yang tidak mampu difahami oleh sesiapa.

Dia menanggalkan kasut sekolah lalu menyusunnya di atas rak. Mahu tidak mahu dia perlu juga masuk, takkan dia mahu duduk di hadapan rumah sehingga orang tuanya balik. Pintu dikuak sedikit meluas sebelum dia meloloskan diri masuk ke rumah kayu itu. Langkahnya pantas dan ingin terus dibawa ke biliknya. Itulah satu-satunya tempat yang selamat untuknya.

Namun baru sahaja dia melepasi ruang tamu, tudung di kepalanya direntap kasar dari belakang.

"Argh!" dia menjerit ketika tubuh kecilnya terjatuh menghempap lantai. Belakang badannya menghempap lantai kayu itu hingga menghasilkan satu bunyi yang agak kuat.

Dum!

Dia mengerang kesakitan. Sakit menjalar ke seluruh badan. Matanya terpejam rapat menahan perit. Insan yang menarik tudung dan menjatuhkannya tadi bukanlah orang asing. Bukan orang jahat, bukan juga perompak.

Tapi itu ialah abang kandungnya sendiri. Darah dagingnya.

Abang yang sejak dahulu tidak pernah menyayanginya. Abang yang menganggap kehadirannya sebagai beban. Abang yang menyimpan dendam terhadap dirinya tanpa dia tahu sebab sebenar di sebaliknya.

Seorang abang yang sepatutnya melindungi adik perempuannya malah menjadi salah seorang yang menyakitkannya. Seumur hidupnya, dia tidak pernah merasakan kasih daripada insan yang bergelar abang.

Umi dan abah tiada di rumah waktu itu. Jadi hanya tinggal mereka berdua dan itu cukup mengerikan baginya.

Tanpa sebarang amaran, dia dipukul dan diterajang tanpa belas. Setiap hentakan menyakitkan tubuh. Dia tidak mampu untuk melawan kerana kudrat lelaki itu yang melampaui kudratnya sebagai seorang remaja perempuan.

Dia hanya mampu menahan. Tiada air mata yang mengalir. Yang ada cuma sakit. Luar dan dalam. Walaupun sudah terbiasa dipukul dan diperlakukan seperti ini namun sakitnya tetap terasa. Tubuhnya meringkuk di atas lantai, cuba melindungi diri dengan tangan dan lutut yang terbatas kuasanya.

"Menyusahkan! Lebih baik kau mampus!" jerit abangnya, sebelum kaki sekali lagi mendarat ke perut remaja perempuan itu.

Dia terbatuk kecil dengan wajah yang berkerut menahan sakit. Nafasnya tersekat di kerongkong. Pandangan mulai kabur. Namun dia tetap tidak bersuara. Tidak melawan. Bukan kerana dia reda. Tapi kerana dia tahu bahawa melawan hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Sudah banyak kali dia berada dalam situasi begini. Sudah terlalu kerap tubuhnya menjadi sasaran amarah yang tidak pernah dia tahu sebabnya. Kemudian, tanpa amaran satu tamparan lagi singgah di pipinya. Sangat membingitkan telinga.

"Mampus lebih baik daripada kau terus menyusahkan hidup aku!"

Dia hanya memejamkan mata. Kata-kata itu sudah biasa. Tapi ketakutan tetap tidak pernah padam dalam dirinya.

"Kenapa kau tak mampus je dari dulu, hah!? Hidup menyusahkan orang!"

Dia hanya diam. Bukan kerana setuju. Tapi kerana bertahan adalah satu-satunya cara untuk dia terus hidup.

Hidup?

Itukah yang dia mahukan sekarang ini?

Adakah nyawanya masih berharga seperti nyawa orang lain?

Perlukah dia bertahan dan hidup dalam neraka dunia yang diciptakan sendiri oleh keluarganya? Adakah dia mampu untuk terus bertahan dalam penjara yang menyesakkan dada ini?

Dia sendiri tiada jawapan bagi soalan tersebut.

Beberapa minit kemudian, bunyi pintu bilik dihempas kuat menandakan episod penderaannya kali ini sudah berakhir.

Dum!

Tapi hanya sementara kerana dia tahu bahawa dia tidak akan pernah terlepas daripada genggaman dendam abangnya itu selagi mereka masih tinggal di bawah bumbung yang sama.

Matanya dibuka memandang siling dengan seribu satu perasaan yang tidak terungkap. Dia sudah penat. Terlalu penat untuk hidup dalam dunia yang cukup menyiksakan ini.

Di matanya, hanya ada siling rumah yang kusam. Siling yang menjadi saksi kepada segala keperitan yang dipendam selama ini. Setiap penderaan, setiap penyeksaan dan setiap jeritan kesakitan dia disaksikan oleh siling yang kusam itu sejak dahulu lagi.

Azalea masih di situ. Terbaring. Mata terbuka kosong. Nafas tercungap, dada naik turun perlahan. Tiada air mata yang keluar. Entah kerana sudah habis, atau hati yang sudah terlalu beku untuk merasa.

Yang pasti, dia penat dan cukup lali dengan semua ini.

Di sudut hati kecilnya, hanya ada satu azam yang masih tinggal.

Dia akan keluar dari neraka ni. Satu hari nanti. Dan dila masanya tiba, dia tidak akan pandang ke belakang lagi.

Beberapa saat kemudian, dunianya menjadi gelap dan sunyi. Tiada lagi siling kusam dan mungkin ini pengakhiran hidup bagi insan seperti dirinya.

Mungkin itu lebih baik daripada terus menderita. Daripada terus sakit. Daripada terus terseksa.

Ya Allah, jika ini yang terbaik buat keluarga ini, aku reda. Ambillah nyawa ini.

USE̶L̶E̶S̶S̶ [SU]Stories to obsess over. Discover now