BAB 04

27 5 1
                                    

Hari-hari yang berlalu terasa begitu memenatkan. Seorang diri di rumah menyelesaikan tugas sebagai kakak dan anak tetap aku tempuh dengan sabar.  Ada ketika aku rasa mahu rebah dan tak mahu bangun lagi. Biar penat ini hilang di bawa mimpi yang panjang. Tetapi seorang Asma Rayyana tidak boleh cepat mengalah kerana banyak lagi impian dan cita-cita yang tidak tertunai. Itu pun gara-gara amarah ayah yang tidak berkesudahan.

Ayah masih begitu. Empat tahun aku mempelajari ilmu kejuruteraan awam empat tahun jugalah ayah tunjuk muka tidak puas hati. Ada ketika mukanya akan manis apabila berkumpul bersama-sama anak-anak. Tetapi apabila aku dan ayah sahaja bertemu dua pasang mata air muka ayah akan kembali ketat dan serius.  Harus bagaimana  untuk aku buang keruh di muka ayah agar kembali bersinar seperti dulu. Perlukah aku sambung belajar dan ikut kemahuannya yang lalu. 

Tak perlu! 

Lalu aku hembus nafas berat. Mustahil untuk aku menjadi seorang guru seperti yang ayah mahu. Aku tidak nampak langsung peluang itu ada untuk aku. Ayah begitu obses dengan profesion perguruan. Ya, aku tahu sebab arwah emak adalah seorang guru yang berdedikasi. Kata ayah, bila jadi cikgu banyak masa luang untuk diri sendiri dan juga keluarga. Tetapi aku lebih suka dengan bidang yang telah pun aku selesaikan  dua minggu lepas. Aku mahu jadi jurutera yang berjaya tetapi bila muka ayah masih begitu aku rasa peluang yang sudah ada jadi sempit pula. Hati aku walang.

Ah, aku kena tolak tepi kesukaan aku! Aku kena cari peluang lain agar ayah akan kembali tersenyum dan melayan aku macam dulu-dulu. 

Di siang hari ketika adik-adik aku berada di tempat belajar masing-masing aku buka laptop. Cari peluang pekerjaan  melalui media sosial. Berharap juga akan ada rakan-rakan sealiran yang tag aku dalam Facebook. 

Hampa! 

Hanya ada iklan bekerja dari rumah sahaja. Aku tak berapa suka dengan iklan begitu. Entah betul entah tidak dan aku tak berminat.

Sudah dua minggu aku asyik di rumah. Tidak berasa bosan pun tetapi aku malu bila ayah yang banyak keluarkan duit. Aku mahu mencari duit untuk membantu ayah yang hanya bekerja sebagai posmen. Itu pun beberapa tahun lagi akan pencen wajib.

Gagal mendapatkan iklan yang bersesuaian dengan kelulusan, kaki aku arah ke laman rumah. Sementara menunggu matahari tegak berdiri aku kemas stor yang ada di depan rumah. Nampak berserabut dengan pelbagai jenis barang elektronik yang dihantar orang untuk dibaiki ayah. Selain menghantar surat dan bungkusan ayah juga mengambil upah membaiki segala jenis barang elektronik yang terpakai. Itu kemahiran ayah dan dapatlah juga seringgit dua buat ayah beli teh ais ikat tepi. 

Eh, tiberrr!

Keluar dari stor aku terdengar suara Nek Zakiah memanggil aku dari pagar sebelah.

"As, tolong nek kejap," panggil wanita itu dengan tangan yang terlambai-lambai ke arah aku. Aku sapu habuk-habuk yang melekat ditudung dan pakaian lalu melangkah menghampirinya. Ingatkan nak jumpa di tepi pagar tetapi Nek Zakiah kuis aku suruh masuk ke dalam rumah dia.

Aduh, segan!

Walaupun Nek Zakiah baik hati tetapi aku tak pernah jejakkan kaki ke rumah dia yang dah macam istana raja. Rumah kayu tetapi masyhur kerana keunikan binaannya seperti rumah orang Minangkabau padahal duduk di Pantai Timur.  Nek Zakiah orang paling kaya dan terkenal di kampung aku. Masakan aku hendak mencemar duli di istananya.  Tetapi mengenangkan kebaikan orang tua itu aku hayun juga kaki aku masuk ke dalam kawasan rumahnya. Nek Zakiah sedang menunggu di anak tangga.

"Nek nak minta tolong As jahit tempat yang terbuka ni. Nek sayang sangat dengan baju ni," beritahu Nek Zakiah apabila  aku sudah sampai di anak tangga dan Nek Zakiah sudah labuhkan punggung di atas jemuran.  Siap duduk bersila lagi.

Perlahan-lahan aku naik dan duduk di depan Nek Zakiah. Mati-mati aku ingatkan dia nak suruh aku panjat tangga baiki lampu yang rosak. Maaflah yang tu aku tak pandai. Walaupun aku kak long, buat kerja lasak bukan bidang aku. Nama saja siswazah kejuruteraan tapi aku lagi suka buat kerja halus macam menjahit.

Opppsss!!!

Apakah sebab itu ayah nak aku jadi cikgu sebab aku bukan orang lasak. Jadi jurutera tak sesuai dengan aku.

"As, ni jarumnya."

Lamunan aku terhenti apabila Nek Zakiah hulurkan bekas berisi jarum dan benang yang sama warna dengan baju yang Nek Zakiah suruh jahit.

"Tua-tua macam ni manalah nenek nampak lubang jarum," omel Nek Zakiah dan kedengaran lucu di telinga aku. Jangan kata orang tua, orang muda yang rabun pun susah nak tengok lubang jarum yang kecil begini.

"Ini ke tempat yang terbuka tu nek?" soal aku apabila terjumpa tempat yang dia suruh aku jahit. Dia iyakan dan aku dengan pantasnya mencantum baju yang terbuka. Sekejap saja sudah siap. Lagipun bukannya besar sangat bukaan benang baju tu. 

"Cantik lagi baju ni, nek," puji aku sambil hulurkan pada Nek Zakiah.

"Itu yang nek nak sangat As jahit. Lagipun ini baju yang anak nenek hadiahkan masa hari raya lepas. Sedap pakai. Selesa. Kain pun sejuk je."

Aku angguk mendengar cerita Nek Zakiah. 

"Anak-anak nek tak balik ke. Rasanya esok dah start cuti sekolah?" tanya aku sekadar berbahasa.

"Sebab itulah nek suruh jahit sebab nak pakai. Esok anak sulong balik. Lusa yang nombor dua dengan nombor tiga. Yang nombor empat je tak balik sebab duduk Dubai. Rasa tak sabar nak jumpa cucu-cucu nenek semua."

Aku senyum. 

Bangga betul dengar tentang anak-anaknya. Semuanya menjadi orang-orang yang hebat dan berjaya. Seingat aku, ayah pernah beritahu semua anak Nek Zakiah belajar di luar negara. Memang tak hairanlah sebab Nek Zakiah orang kaya. Ada berekar-ekar kebun getah.  Sawah padi pun sama. Dicampur pula dengan  kebun buah-buahan yang berekar-ekar juga. Itu belum masuk lagi berderet-deret rumah yang dijadikan rumah sewa. Tambah lagi arwah suami Nek Zakiah pun orang kaya juga. Dapatlah tanggung anak sehingga ke luar negara tanpa menggunakan duit pinjaman. 

Untung badan mereka tapi aku tak dengki pun. Aku bahagia dengan kehidupan kami sekeluarga. Ayah tak kaya tapi masih mampu tanggung kami.  Adik-adik pun dapat belajar dengan baik. Cuma yang kurang pada kami adalah kasih sayang emak. Paling terasa tentulah Afza. Selepas dua tahun dilahirkan emak pergi buat selama-lamanya dan akulah yang menggantikan emak menjaga Afza sehingga besar.

"Eh, jauhnya. Dah ke mana. Nek tanya tak dengar ke."

Hah, aku kelipkan mata. Tersipu-sipu malu apabila khayal aku disedari Nek Zakiah. 

"Nek tanya apa?" soal aku malu. Tengah-tengah berborak sempat lagi melamun jauh.

"Nek tanya, As dah ada orang ke belum?"

Kening aku terjongket tinggi. 

"Hah, orang! Orang apa nek?" Aku balas soalan dia dengan soalan juga. Tergeleng-geleng Nek Zakiah sambil tersenyum panjang. 

"Nek tanya As dah berpunya ke belum?"

Aku berdehem. Tiba-tiba saja tersedak air liur sendiri. Aku balas dengan senyum malu.

"Belum lagi Nek. Kenapa?"

Eh, tetiba terlepas tanya pula aku! 

"Kalau macam tu nek nak masuk meminang As lah."

Hah, biar betul!

Terus aku tunjuk senyum tawar. Dada mula berdup-dap dup-dap bagai. Kerana tak selesa dengan luahan Nek Zakiah aku terus meminta diri dan bergegas pulang ke rumah.

Alamak, mati aku kalau dia betul-betul masuk meminang!

Tapi masalahnya untuk siapa?

Oh, no! Aku tak suka.

Tak suka!!!

The Most Wanted (PLAYER) LOVER (Completed) Where stories live. Discover now