2 - Jatuh cinta pandang pertama

323 44 6
                                    

JATUH cinta pandang pertama? Mungkin itu yang Akhbar rasakan saat ini. Anggunnya Mawar membuat jantung Akhbar berdegupan tidak tentu arah.

Memerhati Mawar membelek ikan di pasar pun Akhbar nampak gadis itu kelihatan seperti bidadari yang berada di tengah-tengah taman bunga.

"Maaflah dato'. Ajak dato' ke tempat macam ni pula. Sekejap ya, tunggu Mawar pilih ikan tu haa." Mak Siah menegur dari belakang Akhbar. Terus terbang taman bunga Akhbar tadi, di ganti dengan hiruk pikuk di pasar pula.

"Eh, tak apa Mak Siah. Saya okey je ni." Akhbar mengoyak senyum semanis gula. Kalau begini indah punya pemandangan. Hari-hari ajak ke pasar pun dia setuju saja. Asalkan Mawar ada bersama.

"Err ... saya pergi tolong Mawar ya Mak Siah." Akhbar meminta diri mahu membantu anak dara Mak Siah itu. Mana tahu gadis itu memberi perhatian padanya.  Lengan baju di selinsing ke paras lengan. Dengan langkah penuh gagah dan bergaya dia menapak ke arah Mawar.
Sebaik saja dia menghampiri di belakang gadis itu.

"Dik, awak ni pandai berniaga ikan ke tak? Takkan nak masukkan ikan keli dalam plastik pun awak takut?" Nyaring suara Mawar menegur pemuda yang takut-takut mahu memegang ikan keli yang berada dalam tong ikan.

Akhbar menelan liur. Anak matanya jatuh pada ikan-ikan keli yang berkeletek dalam tong ikan itu.

"Saya baru kerja kak... serius, saya geli la kak. Tokey balik kejap, saya ganti dia kejap je kak... Akak belilah ikan lain. Ni, ikan merah ni. Sedap masak kari ni kak." Anak muda itu menunjuk ke arah pelbagai jenis ikan yang lain.

"Eh, budak ni. Masalahnya tekak akak ni nak makan keli bakar, bukannya kari ikan merah." Kecil anak mata Mawar mencerun remaja lelaki itu sambil bercekak pinggang.

"Ada apa ni?" tegur Akhbar mencelah. Terhibur pula dia tengok situasi begitu. Sudah terbayang-bayang dia menemani Mawar saban hari ke pasar sekiranya gadis itu menjadi suri hatinya. Cecehan Mawar pastinya bakal menjadi satu hiburan di halwa telinganya.
Mawar tertoleh ke belakang. Dato' Akhbar, kawan kepada Tan Sri Izhar itu.

"Ehem, I nak beli ikan keli tapi budak ni tak nak jual pula." Sindir Mawar. Pertama kali dia jumpa penjual begini. Orang nak beli, tapi tak nak jual.

"Tak, bukan tak nak jual tapi saya tak berani tangkap ikan keli tu..." Si pemuda membela diri. Kalau tahu, dia tak kerja kat pasar. Baik dia main games aje kat rumah.
Ternaik kening Akhbar.

"Awak nak juga ke ikan keli tu?" Soal Akhbar menoleh pada Mawar. 

Mawar mengangguk laju. Dia sudah siap list apa yang dia nak buat hari ini. Mana boleh tak jadi!

"Bagi plastik kat saya." Akhbar menghulur tangan meminta plastik dari pekerja itu.

"Pak cik nak buat apa?" Polos remaja itu bertanya.

"Pak cik?" Tinggi kening Akhbar terangkat. Dia nampak tua sangat ke?

Mawar kulum senyum diam-diam di belakang. Memang patut kut kena panggil pak cik. Buat-buat terkejut pula Dato' Akhbar ni.

"Yelah, pak cik nak buat apa plastik? Pak cik nak ikan ke?"

Eh, budak ni. Tak makan nasi ke sampai blur sangat ni?

"Ye, pak cik nak tangkap ikan keli ni. Dah awak tu penakut sangat. Macam mana boleh kerja jual ikan kalau penggeli macam ni?"

Akhbar capai sendiri plastik yang tergantung.

"Mak suruh sementara tunggu SPM. Saya tak nak tapi nanti tak dapat duit beli topup. Jadi, saya kerjalah." Tersengih budak lelaki itu mengaku dengan jujur.

Akhbar menghampiri tong ikan keli tadi. Tiba-tiba darah terasa berderau. Aduh, nak tunjuk hero tak kena gaya lah kau ni Akhbar. Padahal kau dan budak ni pun sama aje. Penggeli!

"Err... tokey tak ada ke?" Teragak-agak Akhbar mengambil penyauk.

"Tokey balik rumah kejap. Bini dia panggil basuh berak anak."

"Dato'. Lekaslah, kita dah lambat ni. Janganlah melayan budak ni." Mawar menegur rimas. Dok melayan sembang oula. Dia nak ikan keli tu aje.

"Awak nak berapa ekor?" Soal Akhbar berlagak selamba.

"10 ekor."

"10 ekor?" Mati aku! Akhbar rasa nak pengsan.

"Yelah, kan nak berkelah. Cepatlah, lambat pulak nanti. Nak perap ikan lagi ni." Gesa Mawar.

"Maaf, maaf cik, encik. Nak beli ikan keli ke?" Tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian lusuh dan memakai apron menghampiri mereka.

Fuh! Akhbar menarik nafas lega.

"A' ah ye. Nak sepuluh ekor ya. Tolong bungkuskan." Laju Akhbar menjawab.

Selesai membayar, Mawar menonong ke arah bahagian ayam dan daging pula.

Akhbar hanya mengekori dari belakang. Gadis itu sedikit pun tidak kekok dengan suasana pasar pagi yang riuh. Terbalik pula dengan dia.
Tak pernah-pernah dia jejak kaki pasar. Tapi demi si gadis jelita itu, terheret langkahnya menjejaki satu persatu lorong pasar.

"Jom, I dah dapat beli semua." Mawar mampir ke arahnya dengan gaya selamba. Seolah mereka sudah lama kenal.

"Oh, betul dah habis beli?" Soalnya memastikan Mawar tidak tercicir dari membeli apa yang dimahunya.

"Dah, cukup dah. Mak mana mak?" Kepala Mawar terteleng mencari ibunya.

"I suruh tunggu kat kereta tadi. Kasihan Mak Siah nak jalan satu pasar," balas Akhbar mengoyak senyuman manis.

"Oh, okeylah kalau macam tu." Mawar terus membuka langkah semula menuju ke tempat kereta Akhbar di parkir.

Nun, dari kejauhan sudah kelihatan Mak Siah membelek buah-buah jagung yang terdapat di seberang jalan. Sempat lagi orang tua itu.

Selesai masukkan barang-barang yang dibeli dalam bonet belakang kereta, Mawar menoleh pada lelaki yang membantunya di sebelah.

"Saya pergi panggil mak sekejap ya, dato'." Mawar meminta diri.

"Pergilah. Saya sejukkan kereta dulu. Panas pula hari ni. " Akhbar hanya mengangguk seraya mengoyak senyum. Mendongak, matahari sudah mula memancarkan cahaya terik walaupun jam baru menginjak jam sembilan pagi.

Mawar menapak ke arah Mak Siah.

"Mak beli apa?" Soalnya sebaik berdiri di belakang wanita separuh abad itu.

"Beli jagung ni haa. Si Irmal suka sangat."

"Mesti budak-budak tu tak sabar nak berkelah kan mak?" Mawar melarik senyum. Terbayang teletah anak-anak Tan Sri Izhar.

Kan seronok kalau Lea boleh ikut sama. Kemudian, senyum di bibir perlahan memudar.

"Mak, Wan ada cari mak?" Tanya Mawar teringatkan adiknya.

Terhenti tangan Mak Siah dari terus membelek jagung.

"Kenapa kamu tanya?"

"Bella bagitau Wan dah dua hari tak balik rumah. Tu yang Mawar tanya mak. Mana tahu Wan cari mak. Dia kan kalau tak ada duit cari mak." Mawar menjeling ibunya itu.

Adik lelakinya selalu buat hal. Sebab itu, dia tanyakan pada mak.

Kasihan adik iparnya itu. Lagi-lagi Lea, anak saudaranya yang tidak tahu apa-apa.

"Entah, tak datang pulak cari mak." Mak Siah menjongket bahu.

"Nasihatlah sikit dia tu mak... Dah ada anak bini janganlah buat perangai bujang lagi." Keluh Mawar.

"Yelah, nanti mak tegurlah dia. Dah, jomlah kita. Lama dato' tunggu nanti."

"Ini ya. Kirakan berapa."

Mawar menatap kesal belakang Mak Siah yang sedang menghulur beberapa ketul jagung pada penjaja yang menjual.

Mak selalu begitu. Mengelak apabila dia membangkitkan tentang hal satu-satunya adik yang dia ada itu.











KAU MAWARKUWhere stories live. Discover now