LELAKI BATU Bab 14

69 3 0
                                    

"Sya, abang jemput Mira. Dah kebetulan dia call abang sebab ada hal dia nak tanya."

Wafi sempat bercerita sebaik sahaja Hasya meletakkan juadah yang dibawanya di meja hidangan. Dia yang sejak petang semalam tak tentu arah, makin tak keruan jadinya bila mendengar kata-kata Wafi. Patutkah dia berjumpa dengan perempuan itu? Satu-satunya perempuan yang pernah hadir dalam hidup Altaf selain dirinya!

Hasya yang baru tiba di rumah itu awal-awal pagi bersama ibu dan ayahnya disambut mesra oleh mak teh dan pak teh yang muncul dari dapur. Riuh mereka mengajak sarapan bersama. Usai bersalaman, Hasya terus menyibukkan diri dengan persiapan majlis dengan alasan dia masih kenyang. Tak sanggup dia mahu duduk-duduk dengan mereka. Silap hari bulan, isu rumahtangganya jadi topik utama!

Dia melarikan diri dari Wafi, terus sahaja ke dapur mahu membantu apa yang patut. Mereka memang menempah makanan tapi pastinya ada sahaja menu dari air tangan tuan rumah. Susun atur dan peralatan juga perlu disusun sendiri.

"Altaf pun datang juga tapi lewatlah. Saja abang suruh dia datang lewat sebab nak elakkan dia jumpa pak lang dengan mak lang. Kalau Sya nak jumpa, baliklah lewat sikit. Biar pak lang dengan mak lang balik dulu. Nanti abang hantarkan Sya balik dengan Nurul."

Wafi datang juga menyempit di tepi Hasya yang menyusun bingka ubi kayu ke dalam bekas bertutup. Terus terdiam dibuatnya. Nak angkat muka pun dia tak mampu apatah lagi membalas pandangan Wafi. Berbolak-balik akalnya memikirkan, betulkah ini semua kebetulan atau pun...

"Sya, abang kata 'kalau'. Kalau Sya tak selesa, nanti balik je awal sikit dengan pak lang dan mak lang. Pandailah abang bagi alasan pada mama."

Hasya yang sudah selesai menyusun penganan segera mencari gelas. Tekaknya jadi kering tiba-tiba bila mendengar kata-kata Wafi. Peluang untuk bertemu lelaki batu itu memang sentiasa dinanti tapi di tengah-tengah ahli keluarganya?

"Alya?" Terus terlontar nama anak yang sentiasa di hatinya.

"Abang tak pasti. Tapi kata Altaf, susah sungguh nak bawa Alya keluar dari rumah tu. Doalah! Kalau dia bawa, Sya boleh jumpa malam ni."

"Amboi... korang berdua ni! Asyik berbisik je... sharelah dengan Kak Nurin!"

Terperanjat Hasya bila anak sulung mak teh itu muncul di belakangnya secara tiba-tiba. Mujur tak terlepas gelas dari tangannya. Dia yang sudah seperti separuh nyawa di dalam, terasa makin lembik lutut dibuatnya.

"Merepek jelah akak ni! Abang Bad mana? Orang nak mintak tolong dia anjakkan khemah tu sikit. Papa bising, tepi tu tak ada laluan."

"Ada kat atas tu! Kejap lagi turunlah dia. Nanti akak suruh dia ke depan."

"Okey. Orang tunggu kat depan. Kalau ada apa-apa, panggil ya!"

Kak Nurin gelak sambil sigung bahu Hasya. Dia buat bodoh sahaja, terus menadah air tapis tanpa sebarang reaksi. Kerana dia sebenarnya tenggelam dalam seribu satu persoalan dalam diri.

"Sya! Betul ke apa yang akak dengar dari mama? Terkejut akak, tahu tak? Takkan kamu nak berpisah hanya sebab keluarga? Tak boleh ke pindah keluar dari rumah tu?"

Terkelip-kelip Hasya diterjah soalan langsung dari Kak Nurin. Tak ada tapis-tapis lagi. Memang dulu, Hasya rapat dengan Kak Nurin. Dia tahu, bukan niat Kak Nurin untuk menjaga tepi kainnya tapi dia ikhlas mengambil berat.

Gelas yang penuh diletakkan sahaja di meja. "Itulah yang Altaf nak buat lepas kahwin, Kak Nurin. Dia tak sangka yang mak langsung tak izinkan dia keluar dari rumah tu. Ayah tu kan terbaring di katil. Memang harapkan Altaf kalau nak mandi atau nak cebokkan dia. Mak dah tak larat. Aina dengan Ikram memang tak pernah nak dekat dengan ayah."

LELAKI BATUOnde histórias criam vida. Descubra agora