LELAKI BATU Bab 12

68 3 0
                                    

Hanya beberapa langkah sahaja lagi, Alya berhenti. Dia berpaling ke arah abinya.

"Abi!"

"Ya, sayang. Nak lollipop tak?"

Altaf ikut duduk berdiri lutut, merendahkan diri untuk anaknya sambil menghulurkan lollipop.

Telunjuk Alya lurus ke arah uminya seraya berteriak, "Umi!"

Hasya yang berdebar, terlonjak berdiri. "Ya, sayang! Datang pada umi, Alya!"

"Abi! Umi!"

Alya melangkah laju ke arah lelaki itu sambil telunjuk kecilnya asyik menunding ke arah Hasya.

"Abi! Umi!"

"Ya, sayang!"

Altaf memeluk erat anaknya sebaik sahaja Alya menerpa ke dadanya. Dia mengucup pipi Alya bertalu-talu sementara anak itu masih ketawa-ketawa menunjuk ke arah Hasya.

Hasya tergamam. Lollipop di tangannya jatuh ke tanah. Sepasang matanya hangat serta-merta. Dia cuba bersuara, tak mahu menerima keputusan itu. Ini semua tak adil. Pasti Alya memilih lelaki itu kerana siang dan malam mereka bersama. Sedangkan sudah dua bulan Alya tak melihatnya!

"Kami balik dulu. Nanti saya bawa Alya jumpa awak lagi."

"Tapi bila?" Hasya bertanya laju dengan nafas yang tertahan. Airmata sudah berjuraian. Sebak hanya Tuhan yang tahu. Dia mahu menerpa merampas Alya daripada lelaki itu tapi anaknya masih ketawa memandangnya sambil memaut erat leher abi.

Sanggupkan dia buat Alya menangis lagi seperti tadi?

'Nanti Alya trauma!'

Kata-kata Altaf tadi mengingatkannya. Langsung niat Hasya terbejat. Dalam payah, dia menahan diri dari rebah melihat Alya pergi.

"Alya, bye bye umi!" Lelaki itu mengajar anaknya untuk melambai ke arah Hasya sambil melangkah ke kereta.

"Bye bye, umi!" Laju sahaja Alya meniru. Lagipun, anak kecil itu sudah biasa berada dalam pelukan abinya saat melambai umi yang turun dari kereta untuk ke pejabat setiap hari bekerja.

Hasya gagahkan diri mengangkat tangan untuk melambai. Namun suaranya tersekat di kerongkong. Tangisannya mula menggila namun dia tak mampu melakukan apa-apa. Dia harus menerima pilihan Alya dan bersabar sehingga ada lagi ruang untuk berbincang dengan lelaki itu.

Tapi belum sempat dia mendapat peluang itu, keesokan harinya dia diserang ketika keluar dari kereta di kawasan pejabatnya.

"Berani kamu jumpa cucu aku, hah? Perempuan tak tahu malu!"

Hasya yang baru menutup pintu kereta tiba-tiba ditarik lengannya dengan kuat hingga tubuhnya terdorong dan terhentak ke punggung kereta yang diparkir di sebelah keretanya. Beg tangannya terpelanting ke atas jalan raya.

"Tak boleh hidup susah sikit, kamu tinggal budak tu macam tu saja! Lepas tu, kamu terhegeh-hegeh nak jumpa cucu aku! Dasar tak sedar diri!"

Perempuan yang dulu Hasya panggil mak memekik marah sambil menolak tubuhnya beberapa kali tanpa sempat dia berdiri tegak. Hasya terjerit kesakitan, tak sempat menepis atau mempertahankan diri.

"Aduh! Ya Allah... mak! Arrghhh..." Hasya yang terus ditolak-tolak hilang imbangan diri, terlentang jatuh di atas jalan bertar itu. Perit belakangnya hanya Tuhan yang tahu.

Hasya cuba sedaya upaya untuk bangun tapi... kepalanya tiba-tiba dicengkam kuat dan diangkat hingga dia terngadah kesakitan.

"Perempuan tak tahu malu! Berani kamu jumpa anak aku? Jumpa cucu aku, hah?"

LELAKI BATUTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon