LELAKI BATU Bab 9

56 4 0
                                    

Lelaki itu terus membatu sampai ke hari ini. Dia membiarkan Hasya terus tertanya-tanya, kenapa dia tiba-tiba tak pedulikan isterinya? Sedangkan selama ini dia sangat menjaga dan mencintai Hasya!

Apakah kerana dia tak suka ibu dan keluarganya diamuk begitu sampai sanggup berpisah dengan Hasya? Memang Altaf seorang anak yang taat. Tak pernah dia jumpa anak setaat Altaf. Tapi tergamak dia berpaling dari Hasya hanya kerana marahkan ibu dan ayah?

Hasya masih ingat bagaimana dia terkejut dan terpinga-pinga dengan sikap Altaf sehingga tak sedar ayah mengheretnya masuk kembali ke dalam kereta.

Tubuhnya ditolak masuk lalu pintu kereta ditutup keras. Waktu itu, ibu rupanya sudah berada di dalam. Bila Hasya cuba nak keluar semula, ibu tarik tubuhnya ke dalam dakapan. Dia peluk erat, tak mahu melepaskan biarpun Hasya meronta sekuat sisa tenaga yang ada.

"Sudahlah, Sya! Sudahlah!"

Ibu marah dan menangis serentak. Hasya tambah pening. Kereta sudahpun menderum kuat dan bergerak laju meninggalkan rumah itu. Semuanya berlaku terlalu pantas. Dia tak sempat menjelaskan apa-apa.

"Abang Altaf! Abang Altaf!"

Hasya menangis mengogoi dalam pelukan ibunya. Dia masih tak dapat menerima apa yang berlaku. Kenapa Altaf langsung tak bersuara. Kenapa Altaf membiarkan sahaja dirinya diheret ayah? Kenapa Altaf berpaling darinya tadi? Sanggup dia membiarkan isterinya dibawa pergi macam tu sahaja?

Dalam pada itu, Hasya teringatkan Alya. Anak kecil itu sedang tidur di bilik mereka. Bagaimana kalau dia bangun nanti? Dia pasti mencari umi!

Hasya meraung memanggil Alya dalam kereta sepanjang perjalanan ke rumah orang tuanya. Puas dia merayu sampai habis suara, meminta ayahnya menghantar dia balik ke rumah suaminya kerana dia tak sanggup nak berpisah dengan Altaf dan Alya. Namun sedikitpun rayuannya tak dipedulikan.

Tiba di rumah, Hasya diserang sakit di bawah rahim sebelum sempat dia masuk. Mujur dia berpaut pada gril besi yang terbuka sebelum rebah sambil mengerang kesakitan. Waktu itu, ada sesuatu mengalir basah ke kakinya.

"Allahu akbar! Darah, Sya!"

Ibu yang menerpa datang terpekik melihat lantai. Pantas dia memaut tubuh Hasya yang sudah melurut jatuh. Ayah juga berlari datang memaut Hasya ke kereta semula.

"Kita ke klinik!"

Ibu sempat mencari lapik sebelum Hasya duduk. Tubuhnya waktu itu tak tentu arah, sakit, lemah, pening, mual, semuanya berdatangan serentak. Dia menangis dan mengerang serentak hingga akhirnya tersandar tak sedarkan diri.

Hasya hanya sedar bila dia sudah terbaring di wad. Ibu yang setia menunggu di tepi katil bingkas datang lalu duduk di sisi Hasya yang terpinga-pinga bila memerhati sekeliling. Rasa sakit yang menggila di bawah rahim, belakang dan punggung sudah pun reda. Dia rasa lega namun keliru. Apa sakitnya?

"Kenapa Sya tak bagitau ibu yang Sya mengandung?"

Hasya terbeliak tak percaya. Berlari-lari anak matanya memikirkan keadaan diri yang asyik nak makan sejak akhir-akhir ini. Ada sahaja makanan kegemarannya yang dibeli dan dihidangkan Altaf di billik. Dia dengan Altaf memang selalu makan bersama dalam bilik kerana keadaan di luar tak sesuai untuk duduk berdua.

Badannya juga cepat letih dan lesu. Mujur ada suami yang suka memanjakannya. Tubuhnya selalu diurut sampai terlena. Suami!

Teringat yang dia dipaksa meninggalkan suaminya, Hasya serta-merta memegang tangan ibunya, "Ibu, Sya nak bagitau abang Altaf. Dia mesti seronok, bu! Dia memang nak anak lagi. Nanti dia mesti jemput Sya balik, bu! Sya nak balik..."

"Ya Allah, Sya! Sya... gugur..."

Hasya cengkam tangan ibunya sekuat hati. Kata-kata ibu seperti petir menyambar dalam diri Hasya. Tak! Tak mungkin!

"Minta maaf, sayang. Doktor kata... tak dapat nak selamatkan. Sya... Sya jangan sedih ya! Insya-Allah, nanti ada rezeki lagi. Sya masih muda..."

Dia tergeleng tak percaya. Tangisnya berhamburan walau dalam dia terpinga-pinga. Dia meraung sekuat hati kerana dia tak tahu lagi macam mana nak dilepaskan rasa kecewa yang mencengkam di hati. Macam mana nak ada rezeki lagi kalau dia terpisah dengan suami?

Dalam tangis hiba, Hasya tunduk pegang perut sendiri. Benih cintanya dengan Altaf baru sahaja pergi meninggalkannya. Teringat Altaf yang suka mengusap perutnya setiap kali dia berbaring di riba lelaki itu.

'Sayang, bila Alya nak dapat adik ni?'

Terketar-ketar bibir Hasya mahu berkata sesuatu tapi tiada kata yang mampu dia luahkan, hanya tergadah memandang ibu dengan deraian airmata. Dukanya jadi berganda. Waktu itu, Hasya rasa mahu mati sahaja!

Airmata hangat yang berlinang jatuh menyedarkan Hasya dari dibawa arus kenangan. Kenangan yang terlalu pahit namun tak pernah dapat dia lupakan.

Akhirnya Hasya bangun menuju ke bilik air. Dia berwuduk sekali lagi lalu duduk mengadap kiblat. Al Quran terjemahan dicapai lalu bacaan semalam disambung lagi bersama terjemahannya.

Hasya tahu, kantuk takkan kunjung datang bila dia terkepung dengan memori duka. Lebih baik dia mengalih perhatiannya kepada sesuatu yang lebih bermakna.

Terjemahan al Quran memang selalu berjaya menarik perhatiannya dari apapun. Dia bagaikan terbawa ke satu dunia lain yang penuh dengan khabar gembira dan peringatan. Usai membacanya, Hasya selalu rasa lebih dekat dengan Tuhannya. Hatinya akan bermuhasabah panjang dan segala masalah hidupnya akan terasa lebih ringan.

Berita tentang kehidupan di akhirat membuatkan dia rasa yang hidup ini amatlah singkat. Jadi apapun derita dan ujian, dia harus hadapi dengan rasa reda dan yakin dengan hikmahnya.

Dengan rasa-rasa itu, dia semakin kuat memujuk hati agar kuat bertahan, terus berdoa dan berusaha.

Demi Alya!


...BERSAMBUNG.

LELAKI BATUHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin