Part 6 (edited)

69.9K 3.6K 590
                                    

Belum sempat daun pintu ditutup rapat, Haura berlari masuk semula ke dalam bilik. Mujur dia teringat tentang dokumen yang ditinggalkan di atas meja sebelum meninggalkan rumah. Satu hal pula perlu berpatah balik, dua kali kena hadap trafik jalan raya pagi-pagi ni.

Sunyi aja keadaan rumah. Sekali-sekala kedengaran bunyi burung tuwu jantan di pagi hari yang cuba mencari perhatian pasangan. Dari sekolah lagi, bunyi burung tuwu sudah menjadi bunyi yang lazim bagi setiap pelajar. Jika bunyi tersebut yang datang menyapa sebaik sahaja dia celik sahaja mata, bermakna tinggi kebarangkalian dia tidak sedar akan bunyi jam locengnya sendiri.

Satu persatu anak tangga diambil Haura, makin ceria harinya bila dia perasan akan hidangan sarapan pagi yang sudah terhidang. Kedua tangan menggenggam bahagian belakang kerusi meja makan, anak mata jatuh pada bekas berisi dua bekas mee hoon yang masih lagi mengeluarkan haba pana dek baru sahaja diangkat daripada kuali. Satu bekas berisi mee hoon dengan campuran sayur-sayuran, satu lagi hanya mee hoon goreng semata, khas untuk Haura.

Labuh sahaja punggung Haura, Mek Jah terus menyedok sedikit mee hoon goreng kosong ke dalam pinggan kaca. Ditolak pinggan tersebut pada si bongsu. Terpaksa dia bangun awal hari ini hanya untuk menyiapkan sarapan buat Haura. Daripada semalam lagi si bongsu sudah beritahu akan jadual dia untuk hari ini. Haura ni, bukan boleh terlepas makan. Pantang lewat sikit, ada aja penyakit yang datang. Jika bukan sakit perut, pening kepala. Dulu, waktu Haura masih bersekolah, Dato' Azham lah yang paling risau akan anak bongsu dia yang seorang ni. Sejak Haura bula masuk ke universiti, kurang sikit resahnya.

Garfu yang menyenduk sedikit mee hoon dalam pinggan ditiup sedikit sebelum disuap Haura ke dalam mulut. "Sedapnya, Mek Jah! Mek Jah dah makan? Haura suapkan!"

Kecil tawa Mek Jah, suapan si bongsu diterima juga. Ada aja telatah Haura di pagi hari.

"Mek Jah," Lembut aja panggilan Haura. Terkeseng-keseng aja senyuman yang diberi.

Dikerling Haura dengan senyuman seolah-olah tahu menahu dengan isi hati so bongsu. Terjongket naik kening Mek Jah, ternanti-nanti sambungan kata-kata daripada Haura. "Nak apa, Haura?"

"Eh? Mana Mek Jah tahu Haura nak something ni!" Air teh dituang pada cawan teh sebelum dihulur pula pada Mek Jah.

"Mek Jah dah kenal Haura dari lahir, sayang. Dah tahu perangai anak Mek Jah yang seorang ni." Cawan teh yang dihulur Haura dibawa ke birai bibir. Mahu melecur kalau dia ikut aja lagak si Haura yang meneguk aja isinya panas-panas sebegini. Perangai Haura, sebiji macam Dato' Azham. Gemar sangat minum air panas-panas.

"Haura kan Mek Jah.. teringin sangat nak makan siakap tiga rasa! Balik kerja kita masak sama sama, boleh? Baru sweet!" Kepala Haura disandarkan pada bahu Mek Jah, diusap-usap lengan Mek Jah sambil menyarungkan senyuman manis. Ini semua padah banyak sangat tengok video-video masakan sebelum tidur, habis semua masakan dia teringin hendak makan.

Boleh diagak sudah Mek Jah dengan dah apa yang hendak diucap. Perangai Haura dari kecil, suka sangat mengidam makanan itu ini mengalahkan orang mengandung. Gasak bakal suami perlu layan kerenah si Haura ni mengidam waktu mengandung jika waktu bujang aja dah teruk macam ni. "Ha, yelah. Tak payah tunggu Haura pun tak apa, Mek Jah boleh masak sendiri. Senang je. Nanti Mek Jah suruh Pak Din belikan barang. Kamu pergi kerja hati-hati. Tak nak tunggu mama papa turun dulu ke?"

Terburu-buru pinggan dan cawan dicuci. Ralit sangat dalam percubaan untuk membodek Mek jah hingga tidak sedar akan cepatnya masa berlalu. Kasut tinggi sudah dicapai Haura sebelum disarungkan pada kaki. "Tak kot, Mek Jah. Peguam Haura kena masuk court harini. Dia ada kes! Haura kena singgah office, ambil fail, lepastu kena gerak mahkamah pula. Haura pergi dulu tau, Mek Jah. Eh, Pak Din. Baru sampai?"

Peluang Kedua Buatku [𝒸]Where stories live. Discover now