Bahagian 1 - 2

2 0 0
                                    


Pak Long dan ayah aku turun dari rumah. Yang lain semuanya la sibuk nak ikut tapi Nenek tepuk-tepuk lantai dengan kuat.

"Jangan nak mengada-ngada nak pergi jugak. Maghrib dah ni. Karang korang pulak kena sorok!" Nenek menjegilkan mata ke arah kami semua.

Mata Nenek lagi menakutkan dari hantu maka kami terpaksa akur. Aku ni memang nak sangat ikut ayah aku pergi cari Syariman tapi apakan daya. Karang tak pasal-pasal kena cubit dengan Nenek.

Tak lama kemudian, Pak Long dengan Ayah balik semula.

"Ha, jumpa tak si budak Syariman tu?" tanya Mak Long.

"Belum. Dah puas azan tapi tak jumpa. Tempat terakhir budak lain nampak dia dekat pokok pisang sana tu," jawab Ayah. "Imam suruh ke masjid, buat solat hajat. Lepas tu sambung balik cari dia. Rasanya dekat kawasan ni je ni."

Maka Nenek, Pak Long dan Ayah ke masjid. Mak dengan Mak Long duduk rumah, jaga kami semua. Nanti ada yang turun merayau pulak. Aku dengan sepupu-sepupu aku, Fatima dengan Hasanah berborak-borak dalam bilik, bercerita tentang Syariman yang hilang. Sedang rancak berborak, kami dengar suara-suara orang yang balik dari masjid. Apa lagi, kami bertiga buka tingkap.

Ramai yang sedang mencari Syariman. Imam laungkan azan dekat pokok pisang. Beberapa kali jugak la dia azan.

"Dah jumpa! Dalam reban ayam!"

Ramai pergi ke reban ayam termasuk adik-adik aku. Aku dengan yang lain menjengah dekat tingkap. Nak keluar tapi nanti kena marah. Baik jengah dari dalam bilik je. Aku tak berapa nampak Syariman masa tu tapi bila mata aku menghala ke pokok pisang yang tak jauh dari situ, ada seorang perempuan berambut panjang, berpakaian lusuh dan berwajah yang menakutkan berdiri dekat situ dengan pandangan yang bengis. Lepas tu, dia terus hilang.

Aku tahu Fatima dengan Hasanah tak nampak perempuan hantu tu. Aku seorang saja yang nampak tapi aku tak beritahu mereka apa yang aku nampak tadi. Aku diam je. Kalau aku beritahu, sama ada mereka tak percaya atau mereka akan jadi takut.

Esoknya kecoh kisah Syariman kena sorok hantu. Kami pergi rumah Pak Zaid untuk melawat Syariman. Dengar kata masa orang jumpa dia dekat reban ayam tu, baju dia dah koyak-koyak. Dia memang dalam ketakutan. Bila dia dah okey sikit, Pak Zaid tanya la apa jadi. Dia cakap ada perempuan panggil dia. Bila dia datang dekat, muka perempuan tu menjadi hodoh lalu peluk dia. Tiba-tiba dia dah ada dalam reban ayam. Dia nampak orang sedang panggil nama dia. Dia cuba menyahut tapi orang tak dengar sahutan dia. Puas dia menjerit sampai serak suaranya.

Nasib baik Syariman dijumpai semula. Kalau tak, memang bermalam dalam reban ayam tu la jawabnya. Sejak dari peristiwa tu, semua dah tak berani main sorok-sorok waktu petang dan semua dah mula takut nak lalu dekat pokok pisang terutamanya waktu senja. Budak-budak lelaki pakat main layang-layang atau main basikal, ronda-ronda kampung. Memang tak ada langsung aktiviti main sorok-sorok walaupun waktu pagi. Main dalam rumah je, lagi selamat.

Hampir seminggu lebih aku ada dekat kampung. Mak dan Ayah dah balik ke rumah semula sebab mereka kerja. Aku memang seronok duduk kat kampung sebab aku boleh main dengan Fatima dan Hasanah. Kalau kat rumah, aku main dengan jiran-jiran tapi Mak aku tak suka aku main kat luar lama-lama. Dia suruh aku tolong dia masak atau kemas rumah. Sebab tu aku kalau boleh nak keluar dari rumah tu. Asyik aku je yang buat kerja. Tapi aku tak suka duduk asrama. Aku tak boleh tinggalkan benda yang aku sayang – TV.

Musim hujan dah pun bermula. Setiap petang kami terpaksa duduk dalam rumah sebab hujan. Nenek dan Mak Long tak bagi kami turun rumah, main dengan kawan-kawan. Aku dengan yang lain main batu seremban tapi lama-lama bosan. Kadang-kadang kami tengok TV, kadang-kadang kami main dalam bilik je, main Mak-Mak. Nak pergi ke pondok, memang tak boleh la musim macam ni.

NAMPAKWhere stories live. Discover now