Bahagian 1 - 1

10 1 0
                                    


Balik kampung adalah perkara wajib setiap kali cuti sekolah. Biasanya kami akan balik seminggu atau kurang. Mak dan ayah aku bukan cikgu sekolah jadi mereka kena ambil cuti. Nak ambil cuti lama-lama bukannya senang. Kadang-kadang tu, masa raya je boleh merasa cuti panjang sikit dekat kampung.

Tapi kali ni, mak benarkan aku dan adik-adik yang lain tinggal dekat kampung selama 2 minggu. Yelah, UPSR dah habis. Cuti sekolah pula panjang. Sebulan la lebih kurang. Aku jarang dapat peluang keemasan ni jadi aku nak cuti aku betul-betul bermakna. Macam-macam aku plan dalam kepala apa aktiviti aku nak buat dengan sepupu-sepupu aku.

Aku teruja sampai aku tak dapat nak tidur sangat malam tu. Sekejap aku ke kiri, sekejap aku ke kanan. Lepas tu aku peluk bantal dan menjerit tanpa suara. Kalau aku jerit kuat-kuat nanti ayah aku marah pulak aku menjerit tengah malam buta. Akhirnya aku boleh tidur tapi agak lewat.

Aku bangun lebih awal dari biasa sebab aku tak sabar nak balik kampung. Usai solat Subuh secara berjemaah, aku terpaksa tolong mak dekat dapur dulu untuk siapkan bekalan makanan atas kereta nanti. Kami jarang berhenti makan kecuali perjalanan yang sangat jauh. Contohnya, nak ke Shah Alam. Biasa kami akan gerak sebelum Subuh. Ini nak ke Kota Bharu je. Perjalanan dalam 3 jam lebih. Jadi, mak dah siapkan bekalan makanan untuk kami makan dalam kereta.

Masa dalam perjalanan, aku ambil peluang untuk tidur. Walaupun aku tak berapa selesa tidur dalam kereta, tapi inilah peluang untuk aku tidur lepas Subuh. Kalau hari biasa, jangan harap la boleh tidur semula lepas Subuh. Bila dah puas tidur selama satu jam, aku akan menikmati keindahan alam dekat tepi tingkap. Ayah aku biasanya akan lalu jalan pantai sebab tak banyak kereta.

Akhirnya kami sampai dekat kampung, rumah nenek. Sebaik saja aku turun dari kereta, aku disambut mesra oleh dua orang aku yang perempuan. Aku terus angkat beg aku dan kami bertiga masuk ke bilik. Aku salin baju sambil berkongsi macam-macam cerita. Tapi tak boleh lama-lama sangat sebab nenek dah mula panggil.

Nenek sebelah mak aku memang garang orangnya. Dengan cucu pun dia garang kalau tak dengar cakap dia. Berlainan dengan nenek sebelah ayah. Dia baik dan selalu bagi duit lebih pada cucu-cucu perempuannya. Setiap kali raya, aku suka beraya dekat rumah nenek belah ayah. Aku akan dapat duit lebih dari adik-adik aku sebab mereka semua lelaki.

"Lepas ni tolong nenek masak dekat dapur. Jangan mengada-ngada nak tengok TV, nak tidur atau nak pergi merayau!" Nenek dah bagi amaran siap-siap. Adik dan sepupu-sepupu aku yang lelaki mengeluh. Aku tahu mereka nak ke sungai, tangkap ikan. Itulah rutin setiap kali balik kampung. Asyik nak ke sungai je.

Nenek masak singgang ikan. Lauk kegemaran aku. Makan dengan budu pulak tu.

Pergh!!

Sedap dia memang aku tambah nasi 3 kali. 3 kali!

Bila masak ramai-ramai, rasa seronok. Sambil masak sambil gosip-gosip. Ada masa kami kena marah dengan Nenek sebab gelak kuat sangat. Kami diam sekejap lepas tu sambung gelak balik. Selagi tak kena cubitan azimat Nenek, selagi tu kami buat benda yang dia marah. Haha!

Pada waktu petang, selepas Asar, kami semua akan keluar bermain. Yang lelaki dah berdesup awal lagi. Tapi mereka tak dibenarkan ke sungai. Jadi, mereka main sorok-sorok dengan beberapa lagi sepupu aku yang tinggal berdekatan. Kampung ni semuanya saudara-mara aku jadi kami semua kenal antara satu sama lain.

Aku dengan sepupu-sepupu aku yang perempuan main batu selambut (atau lebih dikenali dengan batu seremban) dekat beranda rumah atuk saudara aku. Kami kutip batu-batu kecil dulu sebelum main. Asalnya nak main congkak tapi buah getah tak banyak yang dapat. Nak cari nanti ambil masa pulak sebab kebun getah agak jauh. Nak cari buah getah tu satu hal pulak.

Sedang kami bermain, aku ternampak ada seorang perempuan berdiri dekat pokok pisang tak jauh dari rumah atuk saudara aku. Aku tak ambil kisah sebab aku yakin tu mak sepupu atau dua pupu aku. Aku teruskan bermain sehingga la Mak Long aku panggil untuk balik ke rumah.

"Balik! Balik! Dah nak Maghrib dah ni! Lewat balik, tidur dekat luar!"

Masalahnya bukan anak-anak dia je balik rumah, kami semua berhenti bermain dan terus bertempiaran balik rumah. Rumah atuk saudara aku tu sebelah je dengan rumah nenek. Mak Long aku pun duduk dengan Nenek jadi kami antara yang paling awal balik rumah. Aku terus pergi mandi, nanti kena berebut dengan yang lelaki pulak.

Nenek biasanya solat Maghrib dekat masjid dengan Mak, Ayah, Pak Long dan Mak Long. Kami yang kecil-kecil ni duduk rumah je. Jadi, kami biasa akan makan malam dulu. Sedang kami seronok makan malam, tiba-tiba ada orang ketuk pintu rumah.

Pak Long bangun lalu membuka pintu.

"Ha, Pak Zaid. Ada apa ni? Semacam je aku tengok kau tercungap-cungap ni?" tanya Pak Long. Aku dan yang lain berhenti makan dan pasang telinga. Nak jenguk dekat luar, takut Nenek marah.

"Anak aku, Syariman, dari tadi tak balik. Ada dia datang sini?" tanya Pak Zaid.

"Eh tak ada pulak," jawab Pak Long aku. Lepas tu dia berpaling ke arah kami. "Wais, kau ada nampak dia petang tadi?"

Sepupu aku Wais menelan nasi dulu sebelum jawab. "Tadi kami main sorok-sorok. Tapi tak jumpa pun dia. Ingat ke dia dah balik."

"Sah, kena sorok dah budak ni!" kata Pak Long. "Pak Zaid, mari kita panggil yang lain."

NAMPAKWhere stories live. Discover now