"Hei, kau budak kecil jangan nak campur urusan orang tualah! Ke tepi!" Tengking lelaki itu. Menghalau.

Bahkan Aliya masih lagi tidak berganjak walau setapak. Malah dipeluk tubuh Ezran tanda tidak akan sesekali membiarkan lelaki itu menyakitinya lagi.

"Liya tak benarkan pak cik pukul dia!" Jerit Aliya. Siap tayang muka terpaling garang yang dia ada.

"Ish, degil betullah budak ni!" Terus lelaki itu bergerak mendekati mereka berdua. Ezran sudah geleng kepala. Jangan ditarik budak kecil itu pergi daripadanya. Dia tidak mahu dipukul lagi!

Namun, tak sempat hujung jari hendak menyentuh tiba-tiba...

"Jangan sentuh kulit budak perempuan tu!" Suara wanita itu mencelah, jelas berbaur amaran. Semerta menghentikan perbuatannya. Segala kekecohan yang berlaku sekejap tadi berhenti sekelip mata seolah-olah ada satu kuasa yang telah muncul dan mematikan suasana itu. Laju kepala menoleh ke belakang.

Melilau anak mata mencari siempunya suara yang berani memberi amaran. Dan  disebelah kanannya, orang-orang mula bergerak berpisah kepada dua bahagian. Pengawal berpakaian serba hitam itu lekas melakukan tanggungjawabnya. Menolak-nolak tubuh yang degil untuk bergerak ke tepi. Mengosongkan laluan ditengah-tengah.

Tuk! Tuk!

Disebalik suasana yang senyap itu, bunyi kasut tumit tinggi mengena lantai. Melangkah setapak demi setapak ke hadapan.

Tenang dan serius.

Berhenti.

Anak mata Eva beralih seketika ke arah Aliya yang sedang memeluk lelaki tak dikenali itu.

"Liya, lepaskan lelaki tu." Arah Eva dengan nada suara mendatar. Tegas. Perlahan-lahan Aliya menjauhkan diri. Menurut arahan ibunya.

Kemudian, Eva menoleh memandang lelaki berbadan tegap itu pula.

"Kenapa buat kecoh dekat sini? Kau fikir ni gelanggang gusti ke nak pukul orang sampai macam itu sekali?" Soal Eva.

"Eh, kau tak tahu apa-apalah! Mamat ni yang sentuh anak aku. Dia cuba nak buat sesuatu yang tak elok tadi!" Bentaknya.

Eva diam tidak berkata apa. Sebaliknya menunduk melihat ke arah lelaki yang berwajah pucat penuh lebam itu, masih lagi sedang menangis. Aliya pula masih cuba untuk memujuk. Siap tepuk-tepuk lagi bahu lelaki itu. Lihat pada perwatakannya, lelaki itu tidak nampak normal seperti orang biasa. Takkanlah dia cuba nak apa-apakan anak mereka?

Apa-apa pun, dia tidak boleh mendengar suara dari sebelah pihak sahaja.

"Betul ke apa yang lelaki ni cakap? Kau cuba nak sentuh anak diaorang?" Soal Eva, dia mahu mendengar sendiri penjelasan daripada lelaki itu.

Perlahan Ezran menggeleng kepala. Dia mendongak, merenung tepat ke mata Eva penuh kejujuran.

"Sa... Saya cuma nak lap kesan comot aiskrim dekat bawah bibir budak itu aje. Le... Lepas tu. Dia pukul saya. Sumpah! Saya... Saya tak buat benda tak elok..."

"Hei, kau jangan nak tipulah!" Jerkah lelaki berbadan tegap itu. Dia hampir sahaja menyerang, bahkan Eva lebih pantas bertindak menarik bahu lelaki itu berundur semula sebelum dilayangkan tapak tangannya tepat mengena muka.

PAP!

Kuat bunyi yang terhasil. Sehingga terteleng kepala lelaki itu ke tepi. Dia tergamam.

Semua orang disitu juga terkejut melihat tindakan berani Eva menampar lelaki berbadan tegap itu.

"Berani kau tampar muka aku? Kau ni memang cari nahas betul!" Terketar-ketar giginya menahan geram. Diangkat sebelah tangan ingin membalas tamparan Eva, namun dua orang pengawal peribadi itu lebih pantas bertindak. Menyilang kedua belah tangannya ke belakang agar tidak boleh melakukan apa-apa.

EVAWhere stories live. Discover now