"Tepi, aku nak keluar," kata Akram berbaur rajuk. Muka sehabis mungkin konon tak terkesan tapi jelas sangat apa yang dalam hati. Mendung kelabu dah mukanya hah.

Dia... tak boleh nak bayangkan kalau ada lelaki lain dalam hidup Mawar. Dia yakin selama ini Mawar tiada teman lelaki tapi macam mana kalau maklumat yang dia terima itu salah? Macam mana kalau memang ada lelaki lain dalam hidup Mawar?

"Siapa? Bila? Masa belajar? Atau masa kerja?" Tiba-tiba soalan tanpa pucuk pangkal itu meniti di bibir tak sempat dikawal. Bola mata berkaca nipis memandang ke dalam mata Mawar.

Mawar kerut dahi. Bingung. "Siapa apa?"

"Your first kiss. Dengan siapa?"

Terbeliak biji mata Mawar mendengar soalan Akram. Sedetik, tapak tangannya laju menampar dada bidang Akram.

"K-kau gila ke? Ingat aku tak kenal halal haram? Aku tak pernah cium mana-mana lelaki pun! Abah pun tak pernah!"

"Habis tu tadi kau cakap kau dah ada pengalaman."

"Aku... aku main cakap aje."

Akram diam. Dahinya berkerut merenung muka bersalah Mawar. Bahkan isterinya itu dah macam anak kucing baru lepas berak atas sofa. Terkebil-kebil memandang ke arah lain.

'Ah... Mawar, Mawar... Hebatnya kau dapat buat aku gila macam ni.'

"Kau rasa elok ke kau cakap macam tu kat aku? Suami kau." Dia bercekak sebelah pinggang. Separuh hati merasa lega, separuh lagi masih tidak senang.

Mawar telan liur. Angkat muka membalas pandangan Akram. Dia memakai baju T lengan pendek bersaiz besar. Jadi, hujung baju dipintal-pintal.

"Aku... mintak maaf sebab cakap macam tu. And aku nak kau tahu yang aku bukan perempuan yang... buat benda tak senonoh."

Mawar jeda sejenak. Kali ini dia sambung seperlahan mungkin dengan bibir sipi saja dibuka. "First kiss aku dengan kau."

"Hah?" Laju betul Akram menyua telinga dekat muka Mawar walau dia dengar setiap butir bicara Mawar. Rasa kurang senang perlahan-lahan tenggelam ke lubuk hati. Senyum nakal kembali bergayut.

Meski muka merona merah dek menahan malu, Mawar tetap keraskan kaki agar tak larikan diri. Tubuh Akram ditolak menjauh dan dia beranikan bertentang mata.

"Aku cakap, kau first kiss aku! Dengar tak? Kalau tak dengar, kau pergi korek lubang telinga kau sana!"

Tawa Akram meledak mendengar suara Mawar yang kuat dah macam guna pembesar suara ekspo. Merah menyala kulit muka. Malu ler tu!

Sarat dengan rasa cinta membuak, dia menarik tubuh Mawar ke dalam dakapannya dan Mawar tidak mengelak. Niat nak letak dagu di atas kepala Mawar tapi dek ketinggian mereka tak jauh berbeza, dia sedikit membongkok untuk meletakkan dagu di bahu Mawar pula. Sebelah tangan memeluk kemas tubuh Mawar, sebelah lagi mengusap-ngusap belakang tubuh Mawar. Lembut saja usapannya. Haruman losyen dipakai Mawar cukup menenangkan.

Mungkin kerana mulai terbiasa, Mawar kaku membiarkan. Dia tidak membalas pelukan Akram tapi tidak juga melawan. Kepala sedikit terdongak.

Jujurnya, dia selesa dengan hangat kulit Akram. Ada rasa mekar dalam hati tatkala tangan gekar Akram mengusap belakang tubuhnya. Aneh, bukan? Lelaki yang pernah dibenci mampu buat dia rasa sebegini. Rasa hangat yang selesa.

"Macam mana dengan kau?" Suara Mawar kedengaran memecah sepi selang beberapa minit.

Akram tidak berganjak. Masih memeluk tubuh Mawar cuma kali ini kepalanya ditoleh membuatkan nafasnya meniup batang leher Mawar.

Luka Seribu Rindu (Wattpad Version)Where stories live. Discover now