PROLOG

66 6 0
                                    

NAINA bersandar bahu pada bingkai pintu. Matanya singgah pada kedua ibu bapanya yang berdiri bersebelahan. Kemudian, dia memandang Suha dan lelaki berbaju putih yang saling berpegangan tangan. Sayu jiwa melihat sebelah tangan lelaki itu menggenggam cadar katil untuk menyembunyikan perasaan pilu. Perlahan-lahan Naina melentokkan kepala pada bingkai pintu. Setitis air matanya jatuh.

"Shh... Saya cintakan awak, dunia dan akhirat. Tak ada perempuan lain selain awak, Suha. Tak akan ada..."

Sebaknya suara lelaki itu memilukan jiwa Naina. Dia melihat kakaknya mengawang-awangkan tangan. Air mata kakaknya turut jatuh sehingga membasahi bantal. Sesekali kakaknya jatuhkan tangan kerana lelah.

"Saya sayangkan awak, Suha. Tak kira dalam situasi apa pun, saya hanya cintakan awak. Walaupun kita terpisah, hati saya tetap untuk awak. Saya..."

Lelaki itu tidak dapat menghabiskan bicaranya. Naina tahu, lelaki itu sedang menahan tangisan. Dia lihat saja lelaki itu menjatuhkan dahi pada isi katil yang kosong. Tangan itu semakin kuat menggenggam cadar hospital.

Bahu kakaknya berhinggut kuat selepas itu. Naina sendiri tidak dapat menahan sayu. Bahunya ikut berhinggut-hinggut. Selang sesaat, dia menoleh pada kedua orang tuanya yang turut basah dengan air mata. Ibunya tidak berhenti-henti mengelap air mata dengan hujung lengan baju.

Suha disayangi ramai. Tapi kakaknya diuji dengan berat. Dalam sayu, Naina tersenyum nipis. Ketika Suha berjuang melawan kesakitan, ada seorang lelaki yang mencintai kakaknya dengan hebat. Lelaki yang menyayangi kakaknya dengan tulus meskipun kakaknya tidak sempurna seperti manusia lain. Malah, lelaki itu merancang untuk menikahi kakaknya esok. Di sini. Di dalam wad ini. Sebagai bukti cinta mereka.

Dalam diam, Naina membaca bahasa isyarat yang Suha tujukan buat lelaki itu.

'Saya minta maaf. Saya minta maaf.'


Itu yang diulang oleh kakaknya berkali-kali. Kekasih kakaknya menggeleng laju. Renungan lelaki itu cukup dalam, seolah-olah tidak bersedia mahu melepaskan kekasihnya dari dunia ini.

"Apa salah awak sampai awak minta maaf? Tak ada Suha. Tak ada. Berhenti menangis sekarang. Saya cuma nak habiskan waktu bersama awak. Saya cintakan awak, Suha. Saya betul-betul..."

Lelaki itu menyuruh kakaknya berhenti menangis tetapi lelaki itu sendiri tidak dapat menahan keperitan.

"Cintakan awak..." sambung lelaki itu. Menekan nadanya seperti mahu memberitahu satu dunia bahawa cintanya bukan sekadar luahan di bibir.

"Keluar dulu. Biar Suha dan Ayaaz sendirian."

Naina menoleh. Entah bila, ibu dan ayahnya sudah berjalan keluar dari bilik wad. Perlahan-lahan Naina berundur dan menutup pintu. Di luar, dia memandang ibunya yang menekup wajah sendiri.

"Saya tak tahan tengok Suha macam tu, abang. Saya nak anak saya... saya nak Suha."

Merembes lagi air mata Naina. Dia mahu mendapatkan ibunya tetapi ayahnya terlebih dahulu memeluk bahu ibu. Termati terus langkahnya. Dalam diam, dia mengundurkan langkah.

"Itu takdir Suha." Cengkaman ayah pada bahu ibunya semakin kejap.

Naina menunduk. Dia sendiri tidak tahu perlu berbuat apa ketika ini. Dia cuma mampu menangis dan simpati. Menahan rasa sebak, pilu dan sayu yang teramat sangat memikirkan kakaknya yang sedang melawan kesakitan.

"Tak sepatutnya Suha di sana."

Terpanggung kepala Naina tatkala suara garau ayah menyapa telinga. Tanpa sengaja, pandangan matanya dan ayah bertemu.

"Lebih baik orang lain di tempat Suha."

Zap!

Jantung Naina bagai direntap bila sepasang mata helang ayahnya terhala padanya. Lutut Naina melemah. Seluruh tubuhnya terasa menggeletar. Namun, dia tahan dengan mengepal tangannya sekuat mungkin.

"Saya bawa awak pergi makan. Awak belum makan lagi." Ayahnya menoleh ke arah lain seraya bersuara. Tak sampai beberapa saat, ayahnya sudah membawa ibunya menjauh.

Naina pandang saja kelibat ibu dan ayah yang semakin menghilang.

Lambat-lambat dia mendapatkan dinding Tangan ditahan pada dinding dengan harapan dia dapat berdiri teguh selepas sedar apa maksud daripada kata-kata ayah. Namun, dia jatuh juga.


Dia juga belum makan. Tapi tak ada sesiapa risaukan dia. Dia tertawa pedih. Sehinggalah, tawa pedih itu berubah menjadi air mata yang sukar dihentikan.

Mungkin benar, sepatutnya dia yang ada di tempat Suha.

Tangisan dilepaskan semahu-mahunya sehinggalah pintu bilik wad terbuka. Tidak sempat dia berdiri, tubuh kekasih kakaknya sudah berdiri tegak menghadapnya. Untuk beberapa saat, pandangan mata mereka saling berlaga.

"Suha panggil awak."

Naina sapu air mata. Nama Suha seperti mengalirkan semangat dalam dirinya. Jiwa yang rapuh tadi, dikukuhkan semula sebelum berdiri. Untuk sekali lagi, dia dan lelaki yang akan bergelar abang iparnya itu saling menatap. Sehinggalah lelaki itu melarikan wajah dan terus berlalu.

Naina menoleh, memandang susuk tegap yang beredar dengan langkah yang tidak kemas. Dia tertanya-tanya, apa perasaan lelaki itu saat berdiri di depannya yang saling tidak tumpah dengan wajah Suha.

Adakah lelaki itu juga rasa, sepatutnya dia yang terbaring di sana bukannya Suha?



Jangan Lafazkan Sumpah CintaWhere stories live. Discover now