Bab 4 (Promosi)

13 3 0
                                    

Semalaman berada di atas jalan raya, tubuh Cempaka terasa lesu. Langkahnya ke sebuah taman berdekatan dengan rumahnya terasa berat. Apabila terlihat Embun dan Iqlil di situ, wajahnya terus berubah ceria. Melihat rakan-rakannya itu sahaja sudah mampu membuatkannya terasa gembira. Nampaknya, Zawani masih belum tiba dengan keretanya.

"Hai, Assalamualaikum!" Tegur Cempaka dengan lambaian tangan.

Embun yang sibuk membaca buku dan Iqlil yang leka menatap telefon pintarnya segera menoleh ke belakang. Masing-masing mengukirkan senyuman kepada Cempaka.

"Waalaikumussalam. Hai Cempaka," balas Embun, menutup bukunya setelah diletakkan penanda.

"Hai, hai! Waalaikumussalam," jawab Iqlil dengan lebih bersemangat. "Macam mana dengan majlis awak itu? Meriah betul saya lihat di story Instagram awak itu," sambungnya pula dengan teruja.

Cempaka tertawa kecil dengan keterujaan rakannya itu. Jika mereka tahu apa yang terjadi, pasti ada yang mengamuk dan memberikan pelbagai ancaman.

"Seronoklah juga. Berkumpul ramai-ramai satu keluarga kan? Bukan selalu." Cempaka berkata dalam keterujaan juga. Belum sempat Iqlil bertanya dengan lebih lagi, bunyi enjin kereta melepasi mereka menyelamatkan keadaan.

Sebuah kereta Alza berwarna kelabu berhenti di sisi jalan. Tingkap di bahagian penumpang dibuka oleh sang pemandu, terlihatlah Zawani sedang memandang mereka dengan hairan. "Suraya dengan Iman tidak sampai lagikah?"

"Belum. Lambat pula mereka hari ini," jawab Embun sambil memandang keadaan sekeliling. Kaca matanya dibetulkan agar tidak melorot ke hidung.

Beberapa minit kemudian, dua orang gadis dapat dilihat sedang berlari-lari dari kejauhan. Sebaik sahaja tiba di tempat menunggu mereka, Iman dan Suraya memohon maaf berkali-kali atas kelewatan mereka. Iman terlambat kerana dia membantu ibunya di rumah manakala Suraya pula terlajak tidur. Selepas itu, mereka berdua berjumpa di atas jalan secara kebetulan.

"Tidak apalah. Mari masuk cepat, nanti kita lambat. Hari ini aku bertugas di Unit Sirkulasi jadi lebih baik kau berdua masuk sekarang. Kalau tidak, aku tinggal." Zawani mengugut dalam nada garang. Tetapi mereka semua tahu bahawa ugutan itu hanyalah gurauan.

Tanpa membuang masa, Suraya dan Iman masuk ke dalam perut kereta. Maka dengan itu, Zawani terus memecut laju bagi menuju ke destinasi mereka, Perpustakaan Aksara.


📔📔📔📔📔📔


"Bosan," ucap Iqlil yang turut berada di meja sirkulasi bersama Zawani. Ini kerana beberapa orang pustakawan tidak dapat hadir untuk bekerja atas sebab mesyuarat di perpustakaan lain. Dengar cerita, Perpustakaan Aksara akan berkolaborasi dengan beberapa perpustakaan akademi dalam membantu mereka menyediakan bahan tertentu.

"Setuju," sambut Zawani sambil bermain dengan telefon pintarnya. Dia bersandar pada kepala kerusi, menggunakan kaki untuk menggerakkan kerusi tersebut ke kanan dan ke kiri.

Embun yang kebetulannya melalui kawasan itu lantas mendekati kaunter. Tangannya direhatkan pada kaunter bersama keluhan kecil. "Tidak seronoklah jika tidak ramai orang yang hadir. Buku pun tidak banyak untuk disusun pada rak," bebelnya.

Kini, ketiga-tiga pustakawan pelatih itu terlihat lesu di kaunter sirkulasi. Benar sekali, perpustakaan itu seperti sunyi dan angker kerana tiada pengunjung yang hadir. Mahu ke bahagian belakang perpustakaan pun terasa takut jika bersendirian.

"Wow, awak bertiga berkumpul di sini kenapa?" Suraya menyertai kumpulan tersebut di kaunter sirkulasi. Dia berdiri di sisi Embun, mengintai Iqlil dan Zawani di belakang meja kaunter.

Mission IM120 : Perpustakaan Aksara, Latihan IndustriWhere stories live. Discover now