BAHAGIAN 5 (AKHIR)

234 18 0
                                    

"Encik Haqim ada?"

Penyambut tetamu itu seperti terpempan melihat kelibat Najah di hadapan matanya. Barangkali melihat penampilan Najah yang sedikit berbeza. Jika dahulu, Najah belum menutup aurat dengan sempurna, kini wanita itu masih bergaya seperti dahulu. Perkara yang membezakannya hanyalah wanita itu kelihatan lebih ayu bertudung labuh dan berbusana baju kurung kapas.

Sudah hampir dua tahun sejak kali terakhir Najah berjumpa dengan Safiyya tempoh hari. Najah sendiri meminta dengan Haqim untuk memberinya ruang selama dua tahun setengah untuk mencari apa-apa yang dia hilang selama ini. Haqim meredakan pemergian Najah dan berjanji tidak akan mengganggu wanita itu sepanjang masa berkenaan. Sempat juga Haqim menitipkan pesan kepada isterinya itu agar menjaga diri dan hubungan dengan Allah.

"Sekejap ya Puan, kalau ikutkan jadual Encik Haqim ada mesyuarat dengan mainboard hospital sampai jam 12 tengah hari ni. Saya kira sebentar lagi Encik Haqim akan-" Kata-kata penyambut tetamu itu terhenti.

"Najah?" Satu gema suara menyapa mereka.

Najah berpaling dan tersenyum nipis. Memandang wajah yang sekian lama tidak menghiasi ruang matanya. Dalam diam dia mengakui ketampanan Haqim yang sedikitpun tidak berubah seakan lelaki itu kalis dimakan usia. Keheningan menemani mereka berdua untuk pertama kali dalam 2 tahun. Seolah-olah roman masing-masing memeluk pawana menzahirkan rindu yang menyubur tinggal masa menuai kasih.

"Farhah, minta tolong clearkan jadual saya harini boleh?" Ujar Haqim dengan pandangannya masih terpateri pada wajah isteri tercinta.

Tanpa menanti balasan, Haqim mengajak Najah masuk ke dalam ruang pejabatnya. Haruman yang dia garap dari Najah tetap sama. Wangian yang dia suka sejak tahun pertama mereka bergelar suami isteri. Eternal Garden by Gucci.

"Abang apa khabar sekarang?" Najah memulakan bicara. Haqim sedikit terkejut namun cepat-cepat dia memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi mendengarkan tutur kata Najah. Tiada lagi panggilan berbaur dingin bermelodikan nada benci dan sakit hati. Dalam diam, Haqim berdoa agar pertemuan kali ini membuahkan hasil yang baik dan bukan sebaliknya.

"Alhamdulillah, doing as fine as you can see Abang sekarang." Jawab Haqim lembut. Matanya tak lepas pandang penampilan isterinya. Tiada lagi tatarias yang setiasa menemani wajah isterinya di saat ingin keluar rumah, tudung yang sedikit singkat dan hanya melitupi sehingga leher sahaja. Tiada lagi, busana kasual kebiasaannya melainkan kurung kapas yang tersarung pada badan ramping isterinya itu.

"Safiyya dan Uwais?" Najah menyoal lagi. Kali ini Haqim tersentuh. Najah sesungguh seorang wanita yang kaya dengan kasih sayang. Masih dia teringat pertemuan terakhir mereka dua tahun lepas. Di samping meminta izin berkelana tanpa berita selama 2 tahun setengah, Najah berpesan agar dia tidak sesekali mengabaikan kebajikan terhadap Safiyya dan Uwais. Isteri pertamanya itu juga turut meminta agar dia cuba menyemai rasa sayang terhadap Safiyya yang sepuluh tahun lebih muda berbanding dirinya sendiri. Syukur, berkat masa yang Najah berikan pada mereka berdua, pernikahan yang pada asalnya atas dasar menjaga menjadi pernikahan berlandaskan cinta berteras agama.

"Mereka juga baik-baik sahaja. Safiyya selalu bercerita dengan Uwais mengenai sayang. Saban hari Uwais tak sabar nak jumpa dengan Najah." Haqim mengulum senyum manis.

"Alhamdulillah."

Sepi mengisi ruang seketika. Hanya kedengaran sayup-sayup bunyi aliran udara dari penghawa dingin yang terpasang di sudut ruang kerja pengarah Hospital Vendure itu. Najah bermain dengan jarinya sendiri. Dia jadi kekok berhadapan dengan suaminya sendiri setelah hampir genap dua tahun dia menuntut ilmu di Taarim, Yaman. Keadaan di sana yang memelihara wanita sepenuhnya dari interaksi dengan ajnabi menjadikan Najah segan walaupun dengan suaminya sendiri.

Najah kumpulkan cebis-cebis kekuatan yang dia ada untuk membalas pandangan redup yang dihulurkan oleh Haqim.

"Najah, nak minta maaf. Minta maaf untuk semuanya. Minta maaf sebab tidak bersifat memahami. Minta maaf sebab lontarkan bermacam-macam tuduhan pada Abang. Minta maaf sebab tak pernah nak cuba berbaik dengan Abang." Tutur Najah tenang.

Haqim kini bagaikan dihujani ketenangan. Bahagianya bukan kepalang. Tidak sia-sia dia memanjatkan doa kepada yang Maha Esa agar melembutkan hati wanita yang sekian lama bertakhta dalam singgahsana hatinya itu. Tanpa sedar, ucapan syukur meluncur keluar dari dua ulas bibir Haqim. Tangan kekar itu menarik Najah ke dalam pelukan. Ucapan syukur tidak henti-henti menemani mereka waktu ini. Badan Najah yang sedikit mengeras itu mulai membalas pelukan Haqim.

"Najah tak ada salah apa pun dengan Abang. Abang yang bersalah kerana terlalu lama Abang simpan rahsia ini. Abang terlalu tamak dalam menjaga dua hati sehingga Abang sendiri yang menggores luka pada jiwa Najah. Ampunkan Abang ya sayang. Syukur Allah bawa kita kembali seperti ini." Usai berkata-kata, Najah meleraikan pelukan dan menggapai tangan kekar milik Haqim. Dia menyalami tangan itu lama. Sempat Haqim mengusap perlahan ubun-ubunnya dan melabuhkan ciuman kasih di tempat yang sama. Air mata mula membasahi belakang tapak tangan yang berada pada Najah.

Sejenak pintu diketuk dari luar. Najah dan Haqim keduanya menalakan pandangan pada pintu yang kini terbuka separa luas. Seorang kanak-kanak lelaki kecil kelihatan berlari anak menghampiri Haqim sebelum naik ke riba lelaki itu. Najah mengutus senyum buat Safiyya yang kelihatan sangat-sangat terkejut dengan kehadirannya. Dia mendepakan tangan persis seorang kakak yang bersedia menyalurkan kehangatan pelukan buat adiknya. Safiyya dan Najah berpelukan sementara.

Haqim hanya memandang dua figura yang dia kasihi kini. Pandangan matanya bertembung dengan dua iris redup milik Najah. Wanita besi yang suatu masa dahulu amat sukar dilenturkan. Berbekal usaha, sabar dan doa yang dilayangkan  ke langit ke tujuh, Tuhan semesta Alam; Allah Azza Wa Jal,  bayar kesabaran yang dilaburkan oleh Haqim dengan hidayah yang dicampakkan dalam diri isterinya setelah orak ranjau yang terpaksa mereka tempuhi.

Najah menghela nafas lega. Ketenangan yang bertandang dalam dirinya sejak dia mengambil keputusan untuk mula melibatkan Allah dalam segenap pekara mahupun sekecil-kecil perkara tak pernah kunjung habisnya. Pilihan Najah untuk berhijrah dan mula menaruh seratus peratus kepercayaan dan reda pada Allah tidak pernah gagal menjadikan dirinya seorang yang lebih baik dari masa ke masa.

Sungguh percaturan Allah itu indah. Hanya manusia sahaja yang tanpa segan silu meragui kesempurnaan dan kebitaraan perancangan Pencipta mereka buat mereka. Hanya manusia sahaja yang tidak henti-henti menyalahkan takdir. Sedangkan saat reda pada ketentuan Ilahi mengalir dalam jiwa seorang Muslim, maka reda Allah pasti menyusul. Sesungguhnya berbekalkan reda Allah Azza Wa Jala, tiada apa yang akan merisaukan seorang hamba, meniupkan galau seterusnya membawa kedurjaan kerana reda Allah lebih berharga dari dunia dan seisinya. Najah teringat tafsiran ayat al-Quran yang dibekalkan Ustaz Saiful dalam salah satu kuliahnya iaitu:

Balasan mereka di sisi Tuhan ialah Syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah redha akan mereka dan merekapun redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

(Surah Al-Baiyinah; Ayat 008)

Syurga itu mahal. Maka bayaran untuk ke Syurga bukan juga calang-calang. Ujianlah cara seseorang dikurniakan tiket untuk ke syurga Allah yang kekal abadi. Sabar dan reda adalah antara sebaik-baik bayaran seorang hamba. Semoga Allah merahmati mereka-mereka yang sedang diuji, memberi kemudahan kepada mereka dan melapangkan jalan mereka.

Tamat Qalam: rsya_rose

ESKAPISME | SHORT STORYTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon