PROLOGUE

356 21 0
                                    

Najah melabuhkan punggung di atas pangkin milik Tok Ayah. Pemandangan yang nian menghijau di hadapan mata tidak sedikitpun berjaya menyuntik ketenangan di balik lipatan hati wanita awal 30-an itu. Bahkan, sebalik citra yang kelihatan tenang secara lahiriah itu, pelbagai perkara menyesakkan segenap ruang dalam kotak fikiran. Najah mengeluh buat ke sekian kalinya.

Ting!

Notifikasi yang sejak tadi tidak pernah segan silu menemani petangnya itu tidak sedikitpun dia endahkan. Bukan kepalanya tidak terganggu dek teguran Tok Ayah siang tadi. Dia hanya memerlukan secebis dua gulungan waktu untuk meleraikan segala ranjau yang menghiasi segenap taman fikirannya. Dia bukanlah Saidatina Asiyah yang bersuamikan Firaun tetapi setiap detik serangkai nama milik suaminya menghiasi ruang minda, dia bagaikan dijerut kawat berduri berbalut cemburu dan sakit hati. Haqim Radzwan Bin Hanafi.

Najah mengukir senyum kelat memandang skrin telefon pintar miliknya. Sekali lagi gulungan memori terbuka layarnya satu persatu persis layar perak yang tidak berbayar dan berkemudi. Dia menahan rasa perit yang mula menjalar dan menggigit segenap inci hati.

Tak akan pernah mampu kedua irisnya memadam bayangan lelaki yang disayangi sepenuh hatinya itu membawa pulang seorang wanita dan anak kecil dalam lingkungan usia setahun ke dalam rumah agam mereka. Najah mengharamkan dirinya memadamkan bayangan bagaimana dia tertipu dengan kata-kata suaminya yang memujuknya bahawa Safiyya hanyalah isteri rakannya yang terpaksa menumpang dalam rumah mereka sementara suami Safiyya itu bekerja di luar kawasan.. Betapa bodohnya seorang Najah yang tidak sedikitpun curiga akan perilaku suaminya itu. Dia melayan Safiyya bagaikan adik kandungnya sendiri tanpa dia sedar bahawa Safiyya itu bukanlah isteri teman suaminya melainkan isteri kedua suaminya sendiri.

Sudah hampir sebulan semenjak bejana rahsia milik suaminya itu pecah sehingga Najah membuat keputusan memohon penceraian dan meninggalkan mahligai yang dahulunya dibina dengan cinta bersulamkan kasih sayang yang tulus suci. Taman-taman bunga yang dijaga rapi dengan kesetiaan dan keikhlasan diracun sendiri oleh suaminya. Najah kini membina tembok kebencian berantaikan rasa terkilan yang menjadikan mahligai mereka persis penjara tanpa banduan.

Sudah sebulan juga Najah tidak ubah seperti layang-layang tak bertali. Bukan sekali dua Tok Ayah menasihatinya agar bersemuka dengan lelaki yang menyandang tugas sebagai suaminya tetapi entah kenapa, berbanding bertentang dua mata dengan Haqim, Najah lebih rela lari ke merata tempat.

Najah memejamkan mata. Cuba untuk meminjam kekuatan dari alam yang luas terbentang. Ruas-ruas kenangan mula mengisi setiap ruang kosong serebrumnya.

-

Najah tersenyum memandang Safiyya yang sedang leka mengagah Uwais. Dua mata bundar itu tidak pernah gagal meniupkan ketenangan dalam jiwa sesiapapun yang bertaut mata dengannya. Senyuman seribu makna dia ukirkan. Sebalik seribu makna itu, sebahagian besar jiwanya diamuk cemburu. Sudah hampir tujuh tahun jari manis kirinya berhias cincin perkahwinannya bersama Haqim, mereka masih belum dikurniakan zuriat. Senyuman Najah mula berubah kelat.

Sejenak bahunya terasa didakap dari belakang. Roman bauan yang dibebaskan jasad yang berada sangat akrab dengan Najah itu bagaikan pawana yang meniup pergi semua lamunan Najah.

"Comel kan? Abang suka betul tengok budak kecil macam Uwais tu. Anak kita nanti, agak-agak comel macam Uwais tak?" Suara garau milik Haqim menerobos masuk ke salur auditori Najah.

"Saya-" Balas Najah ringkas. Dia mematikan kata apabila suaranya mula bergetar. Dia ketap bibir perlahan. Tidak ingin getarannya berubah menjadi esakan kecil yang akan mengganggu dua beranak itu.

"Tak apa. Rezeki Allah yang bagi. Allah nak bagi masa kita berdua dahulu mungkin?" Segaris senyum yang diukirkan wajah kacukan Melayu-Cina itu bagaikan bah yang memadam segala api kerisauan yang selama ini menghanguskan sekeping hati hawa bernama Najah Hanisa itu. Belum sempat dia membalas, Haqim terlihat bergerak ke arah Uwais. Tubuh sasa itu tidak kekok langsung bermain dengan Uwais. Seperti seorang ayah dan anak.

ESKAPISME | SHORT STORYWhere stories live. Discover now