BAHAGIAN 2

167 22 0
                                    

Sinar rawi mula menyimbah bumi, sejak Najah menunjukkan riak tidak peduli terhadap segala pujuk rayu Haqim yang berlarutan sehingga entah jam berapa tadi malam. Sedar-sedar sahaja Najah sudah terlena di birai katil bilik tetamu tingkat dua itu.

Najah bersiap awal pagi ini. Dia perlu segera bertemu dengan Angel. Rakannya yang bekerja sebagai seorang peguam di firma guaman terkemuka tanah air itu perlu dia tuju untuk menyelesaikan selirat dalam ruang mindanya. Kepala yang berdenyut-denyut kerana tidur dalam keadaan menangis malam tadi dia tekan-tekan sedikit di bahagian pelipis. Lautan jiwa Najah sedikit berombak melihat Haqim di atas ambal di hadapan pintu bilik tersebut.

Haqim terjaga dek pergerakan yang dihasilkan oleh Najah. Lelaki itu terpisat-pisat menggosok matanya. Dia segera bangun mendapatkan Najah yang sudahpun berada di tangga utama.

"Najah! Tunggu!" Najah kaku. Sedikit pun dia tidak menoleh. Dia hanya menanti kata-kata suaminya.

"Abang minta maaf. Sumpah Abang tak berniat menduakan Najah. Kita perlu berbincang. Bila Najah ada masa? Kita bincang ya sayang?" Suara itu merayu memohon secebis ruang untuknya daripada seorang isteri.

"Saya tak boleh berbincang dengan awak waktu ni. Saya ada appointment dengan patient. Tengoklah nanti malam macam mana. Saya pergi dulu." Balas Najah dingin. Dia sedaya upaya mengawal nadanya supaya masih menghormati insan yang memegang peran sebagai suaminya itu. Belum dia mahu turun terus, dia teringat pesan arwah Abahnya supaya jangan pernah keluar tanpa meminta izin dan menyalami suami. Najah mengeluh berat. Dia berpaling. Wajah lelaki itu dia telek sekejap. Betapa hatinya dipagut sendu dan sayu memandang wajah itu yang jelas tampak riak kerisauan dan kegelisahan padanya.

Najah mendekati dan mencium  belakang tangan Haqim perlahan. Dia menahan rasa ingin menangis saat itu. Haqim mengusap kepala Najah penuh kasih.

"Anggap sahaja Najah keluar dengan izin Abang. Abang tahu Najah perlukan masa." Hanya itu ayat terakhir yang bergema sebelum Najah atur langkah ke pintu utama mahligai mereka.

Seketika kemudian, deruman enjin Toyota Yaris meninggalkan kesyahduan antara penghuni-penghuni rumah agam itu.

-

Pertemuan mereka kali ini sejuta kali berbeza dengan pertemanan mereka selama ini. Meja yang selalunya menjadi tempat mereka bercanda tawa dan mengulum kasih dalam jiwa masing-masing kini menjadi saksi ketegangan sesebuah mahligai yang retak menanti belah. Najah mencicip perlahan caramel macchiato miliknya. Haqim masih berdiam diri dan memandang citra wajah isterinya itu. Wanita besi itu tampak tenang, tetapi bagi seseorang yang mengenali Najah sejak kali pertama mereka berjumpa di universiti suatu masa dahulu sehinggalah tujuh tahun menjadi imamnya, dia cukup kenal dengan ketenangan yang dipaparkan wanita itu. Tenang-tenang air di laut jangan disangka tiada buaya.

"Kalau awak nak tenung saya macam ni saja, boleh rasanya awak tenung puas-puas gambar perkahwinan kita yang ada dalam master bedroom tu. Melainkan awak dah buang gambar nikah kita." Ujar Najah selamba. Suara itu tidak lagi selunak suara yang pernah berdendang di salur auditori Haqim suatu masa dahulu.

"Abang minta maaf-" Najah menghentikan bicara Haqim dengan tapakbtangannya ditunjukkan pada lelaki itu.

"Saya muak dengan permintaan maaf awak. Masa saya tak banyak nak dengar perkara yang sama over and over again."nBalasnya dingin.

"Baiklah, Abang bernikah dengan Safiyya kurang setahun lepas. Mungkin Najah ingat Uwais itu anak Abang dan Abang bernikah dengan Safiyya semata-mata kerana kita belum ada zuriat."

"Exactly." Potong Najah. Haqim kelihatan mengeluh nipis melihat betapa dinginnya Najah dengannya. Sekuntum senyum pun tiada. Berdasarkan kaca mata Haqim, hati yang berbunga mekar disirami kasih dan rindu buatnya itu sudah mati. Melainkan hanya tinggal taman larangan berbunga mawar hitam berkawat duri benci dan tidak percaya.

"Percayalah Najah, Abang menikah dengan Safiyya atas sebab yang Abang tak boleh jelaskan pada Najah. Cukuplah Najah tahu Abang masih setia dengan Najah biarpun Safiyya sudah menjadi isteri Abang." Ujar Haqim satu persatu. Dia kelihatan serba salah. Mendengarkan itu, Najah senyum sinis.

"Sebelum ni saya sangka seorang Haqim Radzwan Bin Hanafi tidaklah sekejam mana. Rupa-rupanya, awak lebih kejam dari apa yang saya sangkakan." Balas Najah ringkas. Riak Haqim yang asalnya setenang lautan tiada berpenghuni kini berubah menunjukkan ombak-ombak kerisauan mula bergulung dalam mindanya.

"Encik Haqim. Komunikasi adalah kunci ikatan yang berkekalan. Kalau boleh saya umpamakan pernikahan kita ini seperti bahtera yang menyaksikan awak sebagai nakhoda dan saya pendamping awak. Segala monsun dan ribut dapat ditempuh kalau kita sentiasa jelas dengan keadaan dan strategi. Kalau atas asbab apa awak ambil Safiyya sebagai isteri kedua awak pun awak kunci rapat dalam peti besi yang saya tidak dibenarkan langsung membukanya, awak rasa saya boleh mengerti keadaankah? Awak rasa saya boleh faham dengan so called arahan awak? Lagi satu, Encik jangan perjudikan perkataan setia itu. Cuba awak bayangkan Safiyya ada dengan kita waktu ni. Apa dia rasa? Saya wanita dan saya mengerti perasaan wanita lain. Saya isteri, dia juga isteri. Sungguh tak adil awak mengait kata setia pada saya andai ada hati yang awak pertikaikan kedudukannya. Encik Haqim Radzwan Bin Hanafi, just to let you know, dengan cara awak ni, tak ada apa-apa kita boleh selesaikan. Silap-silap air yang mula memenuhi ruang bahan bakar naik terus melepasi dek ke bahagian penumpang bahtera. Faham maksud saya?" Najah tarik nafas sekejap. Dia bukanlah seorang peguam yang bijak dalam melontarkan kata, jauh sekali berhemah dalam budi bicara. Dia sendiri yakin, tujuh tahun cukup buat lelaki di hadapannya itu mengerti makna setiap metafora yang dia simpulkan.

Haqim sekadar menunduk.

"Anggap sahaja pertemuan petang ini tidak terjadi. Saya mohon sangat dengan awak. Jangan abaikan perasaan Safiyya. Dia isteri awak. Terutama sekali dia ada anak untuk dijaga. Dia lebih perlukan awak. Jangan sesekali ikat dia sekadar di atas kertas sahaja meski apa pun alasan awak memperisterikannya dulu. Saya tak mahu kerana mahu memuaskan hati saya, ada hati yang terluka. Saya pergi dulu, klinik perlukan saya."

Najah beredar membiarkan Haqim termangu-mangu sendirian. Mutiara jernih yang mula menitis satu persatu dia usap perlahan dengan belakang tapak tangannya. Bohong andai dia tidak sedikitpun terusik dengan kata-katanya sendiri. Suatu pembohongan besar sedangkan Najah sendiri merasakan peritnya takikan belati pada hatinya atas setiap butir katanya sendiri. Najah memandu ke stesen minyak terdekat. Di situ, dia menghabiskan sebehagian besar masanya meraung dan menangisi nasib yang menimpanya kini.

Haqim pulang dengan riak serabut. Safiyya menghampiri suaminya itu. Dia baru sahaja mahu menyapa dan mengambil beg bimbit yang dijinjing oleh Haqim sebelum lelaki itu bertindak menyentap tangannya menjauhi capaian Safiyya. Satu garis luka tergarit pada dinding hati rapuhnya. Sejak pernikahan mereka diketahui oleh Najah, lelaki itu berubah dingin dengannya. Mahu bercakap dengannya pun sudah acuh tidak acuh. Safiyya menunduk. Mutiara jernih yang mula bertakung di empangan matanya dia tahan dari dilepaskan.

Sudah berkali-kali Safiyya mengingatkan dirinya tentang keadaan mereka. Kedudukan dia sebagai isteri kedua suaminya. Betapa Safiyya selama ini menahan diri dari menagih kasih sayang berlebihan dari Haqim, lelaki yang menganggap dirinya sebagai adik kepada lelaki itu. Safiyya tersenyum perit memandang Haqim yang menghampiri Uwais yang sedang bermain sendirian di walker. Walang hatinya sedikit terubat melihat Haqim yang masih melayan Uwais dengan penuh kasih sayang meskipun darah milik Haqim tidak mengalir dalam pembuluh darah Uwais Haiqal. Jujur dia katakan, Haqim memang seorang lelaki yang baik. Meskipun mereka bernikah bukan atas dasar cinta, lelaki itu tidak pernah mengabaikan keperluan Safiyya dan Uwais. Sedikitpun dia tidak berasa kurang dengan layanan lelaki itu melainkan perihal cinta. Meskipun tidak pernah diperjelaskan padanya tentang betapa agung cinta seorang Haqim Radzwan buat Najah Hanisa, Safiyya masih belum buta untuk menyaksikan semua itu. Cemburu sudah terlalu biasa menggigit segenap jiwa Safiyya sehingga tiada lagi ruang yang berbaki. Dia perlu sedar kedudukannya dan keadaan mereka.

"Abang nak naik mandi dulu." Ujar Haqim. Lembut tetapi dingin. Nadanya yang tidak terlalu keras itu sudah cukup menyisipkan kedinginan ke pucuk hati Safiyya. Dia sekadar mengangguk. Matanya menghantar lelaki itu naik melalui tangga utama.

Safiyya mengeluh. Dia terbawa-bawa ke detik sebelum segala perkara ini terjadi.

ESKAPISME | SHORT STORYWhere stories live. Discover now