Prolog: Enter

1K 186 79
                                    

Gelap. Sebuah rumah yang disewa di tingkat lapan pangsapuri itu gelap gelita. Langsir tingkap yang ditutup rapat, langsung tidak dibuka. Cahaya lampu dari luar pangsapuri bagaikan tidak tembus sulaman kain tebal langsir itu. Walaupun waktu sudahpun tengah malam namun bandar itu masih sibuk. Masih bercahaya. Kota yang tidak pernah tidur. Seperti dirinya.

Hanya bilik tidur yang disinari cahaya. Itupun cahaya daripada komputer. Bunyi tetikus yang ditekan berkali-kali memenuhi ruang bilik. Matanya luas menatap skrin komputer. Masih tidak berhenti bermain permainan video. Lelaki itu terlalu asyik.

Kali ini sudah masuk malam yang kelima dia terjaga walaupun jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Tidak ada sesiapa yang berani mengarahkannya untuk tidur awal. Ibu? Ayah? Orang tua itu sudah bercerai. Membawa haluan masing-masing dengan pasangan baru. Adik beradik? Dia anak tunggal.

Dia tinggal seorang diri di sebuah pangsapuri lama. Sebuah pangsapuri murah. Memang patut ianya murah. Keadaan pangsapuri itu seperti bangunan terbiar. Tandas pula kadang-kadang ada air, kadang-kadang tidak.

Tidak ramai yang menyewa bilik di pangsapuri itu melainkan mereka yang benar-benar tiada duit. Tetapi, ada juga yang menyewa kerana tidak mahu membazir duit menyewa pangsapuri mewah.

Untuk menyara hidup sendiri, dia berniaga secara dalam talian, menjual akaun permainan video. Disebabkan itulah, dia sering berjaga. Gigih mencari duit kerana esok ialah hari di mana dia harus melunaskan sewa rumah. Namun, tidak ramai yang mampu membeli akaun permainan video yang dijualnya. Harganya terlalu mahal.

Komputernya pula satu-satunya benda yang dibeli menggunakan duit titik peluhnya sendiri sebelum dia dibuang kerja dari sebuah kilang kerana sengaja menumbuk salah seorang pekerja.

Tiba-tiba, skrin komputer memaparkan tulisan "Anda Telah Kalah". Dia menghempap tetikus dengan kuat. Berdecit kerana tidak puas hati. Roman wajahnya berubah marah. Hatinya panas membuak-buak bagaikan sedang mendidihkan darah. Badannya terasa hangat.

"Tak guna! Dah banyak kali aku cuba tapi masih lagi kalah! Bodoh punya game! Kenapa pusingan ni susah sangat? Sekali lagi!" monolognya sendiri.

Ingin sahaja memulakan semua permainan, skrin komputernya menjadi gelap seketika. Dia bingung. Sebelum ini tidak pernah pula terjadi hal seperti itu.

"Kenapa pula dengan komputer ni? Takkanlah dah rosak?" Dia menampar-nampar skrin komputer.

Tiba-tiba, skrin komputer kembali bercahaya. Tetapi bukan permainan video yang ingin disambungnya terpapar, malah sebuah iklan. Iklan yang dipenuhi dengan tulisan berwarna putih di dalam sebuah kotak berwarna hitam berjalur putih.

Dia tidak memperdulikan iklan tersebut. Berkali-kali tetikusnya ditekan. Kekunci home juga ditekan tetapi skrin komputer masih lagi memaparkan iklan itu. Dia yang tidak puas hati, menarik nafas dalam. Cuba bertenang. Bukan kali ini sahaja dia berdepan dengan iklan, sudah banyak kali. Tetapi, iklan kali ini agak aneh.

Dia membuka mata seluas-luasnya sebelum membaca tulisan pada iklan tersebut;

"Banyak hutang? Hidup sempit? Ingin menjadi kaya dalam waktu terdekat? Jika anda seorang yang suka akan permainan, boleh sertai kami dalam satu permainan yang menawarkan wang tunai sebanyak 10 juta Dollar. Isi borang penyertaan di laman 'seterusnya' jika anda berminat."

Dia yang membaca iklan itu dengan suara hati, ingin tergelak. Tidak pernah dia melihat iklan sebegitu sebelum ini. Iklan aneh. Siapa yang sanggup menawarkan wang tunai sebanyak itu sebagai ganjaran kepada pemenang? Mustahil ada!

Tetapi, jika iklan yang dibacanya tadi benar, mungkin ini ialah satu-satunya peluang yang dia ada untuk membayar sewa rumah dan menjadi kaya dalam waktu yang singkat? Lagipun, dia memang handal dalam bermain permainan video.

MAFIA GAMEWhere stories live. Discover now