Semua soalan tersebut bermain di minda, tanpa ada siapa pun yang mampu menjawab...

***

Walaupun dia yakin ini adalah dunia sebenar, namun rasa ragu-ragunya masih ada. Apatah lagi apa yang berlaku di dunia ini sama seperti yang dilaluinya di dunia satu lagi.

Sebaik sahaja dia keluar hospital, terus dia memandang ke arah tiang yang sepatutnya disandari Luth. Namun ianya kosong... tiada sesiapa yang berdiri di sana. Tiada sesiapa yang memerhatikannya.

"Ayman? Kenapa?" Ustaz Amin menegur, menarik Ayman kembali ke dunia nyata.

"Ah, tak ada apa-apa." Ujarnya sebelum mengukir senyum.

Setibanya di rumah, perkara yang sama berulang lagi. Tepat pukul lapan malam, dia turun bersama tongkatnya lantas duduk di meja bersama-sama keluarganya. Makanan yang dihidangkan juga berasaskan daging.

Ayman ragu-ragu. Dia masih berfikir sama ada patut makan atau tidak. Garfu yang dipegang diguna untuk mencucuk-cucuk daging itu sementara dia termenung.

Perbuatannya telah menimbulkan perasaan hairan seisi keluarga.

"Ayman, kamu tak nak makan ke?" Puan Farah menyoal prihatin. Wajahnya berkerut risau, takut-takut Ayman hilang selera melihat hidangan ini.

"Bukan tak nak makan, cuma... ni daging apa?"

Ketiga-tiga ahli keluarganya berpandangan sesama sendiri. Hairan dengan soalan yang diajukan seorang Ayman Mikael.

"Daging lembu."

Ayman melepaskan nafas lega. Pun begitu, dia masih tidak punya selera untuk memakannya. Bagaimana rasa daging khinzir yang memasuki mulutnya tempoh hari masih terngiang-ngiang di fikiran. Selepas kejadian yang dialami ketika koma, besar kemungkinan dia tidak akan memakan daging lagi.

Gelas berisi air dicapai. Belum sempat gelas itu menyentuh bibir, ia diletakkan ke bawah kembali. Air di dalam gelas itu diperhati, lama.

Sekali lagi, dia ragu-ragu. Air ini warnanya tidak tumpah seperti arak yang ibunya sediakan di dalam koma. Ianya sama. Teramat sama.

"Itu jus, sayang." Puan Farah bersuara apabila menyedari perbuatan anaknya. Ayman sekadar tersengih.

"Umi, abi... Ayman rasa tak sedap badanlah. Ayman naik dulu, ya?"

Akhirnya, Ayman menaiki tangga ke bilik tanpa mengisi perut dengan apa-apa juadah.

***

Malam itu, dia tersedar. Sama seperti mimpi ketika koma. Dia bangun. Akibat rasa panas yang amat, dia akhirnya menuruni anak tangga untuk ke dapur.

Gelas dicapai, air diisi lantas ia diteguk dengan penuh dahaga. Selesai sahaja minum, dia berjalan ingin ke bilik semula. Namun satu suara yang sedang tergelak kecil menghentikan perbuatannya.

Dia menjenguk kepala ke ruang tamu. Bersama jantung yang berdegup kencang, dia memerhati.

Seperti yang dijangka. Kakaknya Alya berada di sana.

"Kak?" Panggilnya.

"Eh, Ayman?" Alya berpaling dari sofa.

KOMA (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now