Bab 7

116 3 0
                                    


IRFANA terduduk apabila dia mendengar kata-kata lelaki-lelaki yang datang.

"Encik salah faham ni. Saya memang datang ke sini. Tapi, nak buat perkara yang encik kata tu tak mungkinlah. Saya bukannya jenis semberono saja nak tidur dengan perempuan." Fadi membela dirinya. Dia memandang lelaki-lelaki di depannya. Argh, semuanya tidak kena. Apabila rupa dia dan Irfana memang menjurus ke arah itu.

"Kalau kami tak terima laporan kami tak akan datang. Dua laporan yang kami terima. Kami tak boleh pejam sebelah mata untuk perkara zina."

"Kau pula macam mana ada kat rumah pagi ni. Bukan ke kau kerja?" tanya Fadi kepada Irfana. Sakit hati apabila Irfana mendiamkan diri. Dia saja yang berusaha membela diri.

"Saya memang cuti hari ini. Encik, kami tak buat apa yang encik cakapkan tu. Saya ni bersembang pun tidak dengan dia selama dia di sini." Irfana menahan diri daripada menangis. Bergetar suaranya.

"Kami tak tahu yang itu. Apa yang kami semua tahu apa yang kami nampak tadi. Amat mencurigakan dan bagi kami itu sudah boleh membolehkan kami menuduh kamu berdua melakukan zina."

"Allahuakbar..." Perlahan suara Irfana.

"Kat rumah ni ada orang selain daripada kami," kata Irfana.

"Kalau ada, mesti orang dah muncul kan. Sudah hampir setengah jam , tak ada orang yang keluar dari rumah pun," balas salah seorangnya.

Irfana menelan liur. Fadi mendengus kuat.

"Kalau kami bersalah apa yang kami harus buat. Denda dan penjara?" tanya Fadi. Dia mampu membayar denda dan dia akan terus pulang. Sakit hati apabila perkara memalukan ini terjadi dengan dirinya. Tak pernah sekalipun orang pejabat agama menyerbu rumahnya, walaupun dia dan kekasih hati selalu bersama di situ. Tapi, kalau serbu pun nak boleh buat apa. Ada orang lain lagi.

Denda dan penjara? Irfana terkaku. Dia manalah ada duit nak bayar denda. Agaknya kalau tak bayar denda kena penjaralah. Irfana menangis tiba-tiba. Mestilah kena ada penjamin. Siapalah yang sudi menjaminnya?

"Buat apa ramai-ramai kat rumah saya ni?" tanya Puan Ilah. Dia memandang mereka semua dan melihat ke arah ruang tamu rumahnya. Dia mengelipkan matanya berkali-kali tidak percaya dengan apa yang dia lihat sekarang. Mana Fazra? Itu bukan Fazra.

"Kami tangkap dua orang ni, mereka disyaki berkhalwat."

"Mana angah, Fana?" tanya Puan Ilah tidak mempedulikan apa yang diberitahu oleh pegawai tersebut. Irfana memandang Puan Ilah. Tengoklah, apa jadi sekarang pun dia buat tak tahu saja. Yang penting anaknya saja. Puan Ilah tidak mempedulikan mereka semuanya. Sebaliknya dia terus masuk ke dalam rumah. Berjalan laju menuju ke bilik Fazra.

Menolak pintu bilik Fazra.

"Angah!" Jerkah Puan Ilah. Mukanya memerah melihat Fazra pulas di atas katil.

"Eh, ibu." Terpisat-pisat Fazra bangun. Lamanya dia tidur.

"Tok Imam tak datang ke ibu?" tanya Fazra.

Menggeriut gigi Puan Ilah apabila Fazra bertanya begitu. Kenapalah dia boleh tidur sampai tak sedar langsung. Puan Ilah tidak banyak bercakap sebaliknya dia menarik tangan Fazra.

"Tu, tok imam dengan orang pejabat agama. Kamu buat apa angah sampai tertidur macam ni. Orang lain yang kena tangkap basah dengan Fadi."

"Siapa?" Terpinga-pinga Fazra.

"Fana!"

"Hah!" Fazra terduduk di tepi dinding. Dia ternampak Fadi dan Irfana duduk tidak jauh antara diri mereka. Rasa nak pengsan saja melihat kedua-dua berdiri di situ.

"Fana... Fadi!" suara Iswadi pula menerjah. Semua mata memandang ke arah Iswadi. Muka Iswadi terus berubah. Dia tahu perancangannya memang menjadi. Tapi, bukannya menjadi dengan dia. Fadi yang berada di tempatnya.

"Along, tolong Fana along. Fana tak tahu apa-apa pun." Irfana baru bersuara selepas melihat Iswadi. Dengan Iswadi saja dia boleh berharap, walaupun tipis.

Fadi mendengus. Mana boleh tak tahu. Ini rumah dan kampung sendiri kut. Pegawai itu memberitahu mereka akan membawa Fadi dan Irfana ke balai polis, sebelum diambil tindakan lanjut oleh pejabat agama.

"Perempuan kampung macam kau memang jahat kan. Pantang tengok lelaki kaya terus merancang kerja kotor!" Fadi menuduh Irfana. Fadi meludah sebelum masuk ke dalam van. Irfana menelan liur apabila dituduh sebegitu rupa. Dia tak pernah ambil kisah pun pasal orang lain.

Iswadi mengekori van dengan kereta Fadi. Fadi memang mampu bayar denda. Tapi, macam mana dengan Irfana. Kalau tak mampu bayar, Irfana mesti ke penjara rasanya. Rasanya kena kedua-duanya sekali. Denda dan penjara.

"Kita suruh Fadi bertanggungjawablah. Malu muka ibu ni. Kalau dengan kamu ibu tak rasa sangat. Ini tidak! Budak Fana tu yang kena. Yang kamu angah kenapa tidur tak ingat dunia?" tanya Puan Ilah. Dia tidak puas hati apabila lain yang dirancang lain yang menjadi.

"Mana angah tahu,ibu."

Fazra pelik kenapa dia tertidur sampai tak ingat langsung. Mungkin semalam dia tidak lena tidur kerana asyik memikirkan hal ini.

"Habis tu sekarang macam mana dengan Fana ni?" tanya Fazra.

"Along kenapa diam saja?" tanya Puan Ilah.

"Along tak tahu nak kata apa, ibu." Iswadi masih dalam keadaan kecewa. Kecewa kerana bukan dia yang ditangkap khalwat dengan Irfana. Kalau begitu sejak awal tadi lagi, dia akan beritahu semua orang dia akan berkahwin dengan Irfana. Ibunya pun tak akan dapat kata apa-apa lagi.

"Fadi tolonglah kahwin dengan Fana. Mana mak su nak letak muka mak su dekat orang kampung. Mak su tahu kau orang tak buat apa-apa pun, tapi mulut orang kita tak boleh tutup. Tolonglah Fadi." Tiba-tiba Puan Ilah merayu kepada Fadi ketika mereka sudah berada di pejabat agama.

"Ibu!" Serentak suara Fazra dan Iswadi memanggil Puan Ilah. Masing-masing membulatkan mata memandang Puan Ilah.

Fadi menggelengkan kepalanya dengan rayuan tak masuk akal itu. Ingat dia teringin sangat nak kahwin dengan perempuan kampung yang berhati busuk macam Irfana. Entah-entah satu keluarga merancangnya. Lepas tu pura-pura tak tahu. Babak macam ni selalu ada dalam drama tv. Sesibuk mana pun dia ada juga menonton drama. Sebab itulah dalam keadaan begini dia boleh terfikir pasal drama.

"Mak su, saya tak teringin nak kahwin dengan perempuan ni." Fadi menjeling Irfana yang memang mendiamkan diri.

"Tolonglah Fadi. Kahwin cuma nak tutup mulut orang kampung saja. Lepas itu ikutlah Fadi nak buat apa pun kat dia." Puan Ilah mula merancang rancangan yang bermain di kepala secara spontan.

"Ibu, along tak setuju. Cukuplah kita bayar denda dan Fana pun tak mahu kahwin dengan Fadi." Iswadi menolak rancangan ibunya. Iswadi memandang Irfana yang menunduk sejak tadi.

"Along, jangan pandai-pandai. Along tak tahu mulut orang kampung kita. Sampai tujuh keturunan pun masih bercakap perkara yang sama." Puan Ilah menguatkan hujahnya.

"Bolehlah ya, Fadi. Tolong mak su. Lagipun tak akan ada sesiapa pun sebelah Fadi akan tahu." Puan Ilah memujuk lagi.

"Ibu, kalau Fadi tak mahu tak payah paksalah." Giliran Fazra pula. Tak sanggup pula dia melihat mereka berdua bergelar suami dan isteri, meskipun mereka terpaksa. Puan Ilah menarik tangan Fazra.

"Angah diamlah. Sekurang-kurangnya kita tak payah bawa keluar duit denda. Along kamu tu sah-sah akan tolong Fana. Kalau kahwin semua kos tu akan ditanggung oleh Fadi. Lagipun, Fadi tak kisah pun dengan amaun tu. Lagipun, kalau Fana kahwin pun kita senang juga. Fana tu ikut aje cakap ibu." Puan Ilah sudah ada perancangan dalam kepalanya.

"Tapi, ibu macam mana dengan angah ni. Angah yang nak kahwin dengan Fadi." Fazra tunjuk dadanya sendiri. Siapa tak ingin kahwin dengan lelaki macam Fadi. Cukup pakej. Tapi , kalau tak kahwin pun rasanya Fazra sanggup menempel.

"Tak jadilah angah. Benda dah jadi macam ni kita kena rancang lainlah." Puan Ilah menarik tangan Fazra kembali ke tempat mereka berdiri tadi. Fazra mendengus.

BÎASA ITU CINTAWhere stories live. Discover now