BAB 6

162 3 0
                                    


"IBU suruh siapa?" tanya Fazra perlahan. Bimbang juga rancangan mereka diketahui orang. Buat pula orang itu pergi bocor rahsia, tak pasal saja mereka semua kena.

"Jangan risaulah. Ibu buat rancangan baik punyalah." Puan Ilah yakin dengan rancangannya.

"Jangan nanti terbocor matilah kita ibu." Fazra tak puas hati lagi.

"Tak apa. Bukannya orang kampung ni. Nanti kalau orang kampung ni payah pula. Ibu dah beritahu dia satu cerita." Puan Ilah tersengih-sengih. Fazra pandang muka ibunya yang penuh keyakinan tentang rancangan mereka.

"Angah berharap sangat ni ibu," kata Fazra. Dulu tidak berfikir pun, tapi bila ibu beritahu perkara begitu , dia rasa macam betul pula.

"Yakinlah. Nak kaya, kenalah yakin." Puan Ilah menepuk lengan Fazra. Sama-sama mengangkat kening.

"Hai, dua beranak ni buat apa?" tanya Iswadi apabila sejak tadi dia melihat pasangan ibu dan anak ini sedang berbual. Serupa ada rahsia besar saja.

"Hai, along. Ibu dengan angah berbuallah. Lama kau orang tak balik. Bila balik waktu macam nilah nak berbual pun." Puan Ilah sengih.

"Hmm, teman berbual ada aje. Kenapa tak cuba berbual dengan Fana, ibu?" tanya Iswadi. Dalam diam dia mahu ibu menerima Irfana. Senanglah dia nak beritahu ibunya dia memang cintakan Irfana.

"Huh, jangan disebut budak Fana tu. Ibu tak ingin nak berbual dengan dia. Kerja dia kat rumah hanya buat kerja rumah saja." Puan Ilah menjegil matanya kepada Iswadi.

"Dah lama dia tinggal dengan ibu, apa salahnya ibu berbaik dengan dia," ujar Iswadi lagi.

"Along, ibu tahu kenapa along cakap macam ni. Jangan mimpi nak berkahwin dengan dia. Ibu tak benarkan. Jangan cuba jadi anak derhaka kepada ibu." Puan Ilah memberi amaran. Iswadi terdiam apabila bibir ibunya menyebut anak derhaka.

"Along ni tak faham-faham lagi ke? Sudah-sudahlah mimpi nak kahwin dengan Fana tu. Cari orang lain yang lebih bergaya dan cantik daripada dia." Bibir Fazra terherot-herot ketika berkata.

"Kau diam angah."

Iswadi terus berjalan pergi.

"Ibu suruh budak tu beritahu bila?" tanya Fazra tak sabar. Cuma menanti Iswadi pergi saja. Dia sudah tidak sabar untuk beraksi dan seterusnya bakal merubah kehidupannya.

"Esok. Kamu buat bagi jadi angah."

"Mestilah ibu." Fazra tersengih-sengih.

ISWADI mundar-mandir di bawah pokok tepi jalan. Dia terlalu serabut dengan ibu dan adiknya. Kedua-dua tidak menyokong hatinya yang berkenankan Irfana. Dia dah tak tahu nak berfikir buat macam mana. Kalau mereka menyokong tahulah dia nak memujuk Irfana. Dia yakin jika ibunya melayan Irfana dengan baik, Irfana akan menerimanya dengan tenang. Satu saja halnya, jika dia dan Irfana ditangkap basah, dia yakin nak tak nak kesemua mereka terpaksa menerimanya.

Tapi, macam mana nak buat? Iswadi puas memikir. Akhirnya dia menunggang motorsikal keluar dari jalan kampungnya. Dia yakin dia mampu buat. Mampu membuatkan Irfana bersetuju untuk menjadi isterinya. Biarpun, hal yang menyebabkan mereka berkahwin itu nampak tak elok. Yang pastinya, Irfana akan menjadi miliknya. Ibu dan Fazra kena menerimanya.

Iswadi menyerahkan duit yang sudah digulung kepada budak lelaki yang berdiri di depannya.

"Tak pernah saya buat kerja repot orang berzina ni, bang." Dia teragak-agak.

"Buat kerja baik nak takut apa," balas Iswadi.

"Kenapa abang tak repot sendiri?" tanya budak lelaki itu.

"Kena suruh orang lain repot." Iswadi menghulurkan lagi duit itu dekat dengan dada budak lelaki itu.

"Aisy, cuak juga saya ni, bang." Terketar-ketar dia mahu mengambil duit itu.

"Tak apa, orang tak akan kenal kau pun. Sebab dari kampung lain. Kalau repot bab ni orang tak akan tanya banyak. Orang akan terus pergi saja." Iswadi memujuk lagi.

"Sekarang ke?" tanyanya lagi.

"Esok pagilah. Kalau Tok Imam tanya dari mana kau tahu, kau cakaplah kau tahan burung kat situ. Sebab tulah kau tahu." Budak itu menganggukkan kepalanya apabila cerita itu masuk logik akalnya. Betul juga bukannya dia repot benda baik, tapi perkara tak elok.

"Separuh lagi abang bagi selepas ni."

"Eh, ni pun dah banyak."

"Tak apa."

Lega apabila yang dirancangnya itu bakal menjadi kenyataan . Apa yang perlu dia buat dia perlu berada di rumah setiap masa. Ibu dia tahu akan pergi ke kebun sayurnya pada sebelah pagi. Fazra memang ada di rumah waktu itu. Tapi , dia akan uruskan Fazra. Fadi pula dia memang suka berjoging dari pukul 7 pagi sehingga ke pukul 9 pagi. Katanya dia suka ambil angin pagi. Tak tahulah dia berjoging sehingga ke mana. Tapi, itulah rutin hariannya.

Keesokkan paginya, Iswadi sudah bersedia untuk menjalankan rancangannya. Mula-mula dia ke dapur untuk menjalankan rancangannya untuk Fazra. Fazra akan bangun untuk minum pagi sebelum dia masuk tidur kembali. Selepas memasukkan ubat tidur yang telah dihancurkan dia letakkan air Milo itu di situ.

"Along, awalnya bangun hari ni?" tegur Fazra. Dengan muka yang masih sememeh, dia melangkah ke meja.

"Along memang bangun awal pun." Iswadi sengih.

"Yalah tu. Eh, mana ibu. Awalnya ibu pergi ke kebun." Fazra bertanya sambil menjawab sendiri.

Fazra capai cawan Milo yang berada di situ. Baru saja bibir mengena cawan, Fazra berhenti.

"Air Milo abang ke ni?" tanya Fazra sambil memandang Iswadi. Menahan debar, risau Fazra tidak jadi minum Milo tersebut.

"Tak. Minum ajelah." Iswadi naik risau bila Fazra berhenti untuk minum. Fazra jongketkan bahunya sambil menyisip Milo yang berasap nipis.

Iswadi mengeluh kelegaan apabila semuanya sudah selesai. Fazra sudah masuk ke dalam biliknya semula. Tiba-tiba telefon Iswadi berdering. Kata budak lelaki itu dia sudah membuat repot kepada Tok Imam.

Iswadi keluar untuk memberikan wang kepada budak lelaki itu. Dia yakin mereka mungkin akan mengambil masa untuk mengumpulkan orang ataupun orang dari pejabat agama. Semuanya akan memakan masa. Tapi, yang pastinya perkara itu akan jadi hari ini. Iswadi memecut motorsikalnya. Dia sudah berjanji akan berjumpa dengan budak lelaki itu di tempat kelmarin.

FADI melangkah masuk ke dalam rumah. Eh, sunyi pula rumah ini hari ini. Selalunya Fazra akan ada di ruang depan. Selalu bertegur sapa dengannya. Baju yang sudah basah dek peluh dia tanggalkan. Berjalan masuk ke dalam bilik Iswadi. Dibiarkan saja peluh yang meleleh menuruni ketak-ketak tubuhnya. Kalau begini setiap pagi, sahlah dia akan sentiasa sihat. Bezanya angin kampung dan bandar. Tiba-tiba ada suara memberi salam. Fadi mengerutkan muka sebelum keluar. Suara lelaki, tak apalah jika dia tidak memakai baju pun. Dengan hanya berseluar pendek dia keluar. Pintu dibuka dan terjengul muka-muka yang tidak dia kenali.

Ada dua orang anggota polis dan tiga orang yang memakai kemeja dan berkopiah. Dan tiga orang lagi memakai pakaian serupa tabligh. Berjubah dan berkopiah.

"Ya, ada apa encik?" tanya Fadi tidak tahu apa-apa.

"Kami menerima dua laporan di sini ada perlakuan tidak senonoh."

"Tidak senonoh?" tanya Fadi pelik. Apa yang tidak senonohnya. Sini rumah berkeluarga.

"Maksudnya ada perlakuan zina atau perkara yang menghampiri zina. Kami mahu memeriksa rumah ini. Sila beri kerjasama." Tegas lelaki berkemeja di depannya ini berkata.

Fadi tidak banyak cakap, dia memberi ruang kepada mereka. Siapa pula yang buat repot. Tak tahu ke ini rumah berkeluarga. Belumpun mereka melangkah masuk, tiba-tiba muncul Irfana dengan tuala yang menutupi kepalanya. Mukanya juga berpeluh-peluh bagaikan selepas berlari.

Matanya hanya memandang kesemua orang yang berada di depannya. Apabila memandang Fadi yang tidak berbaju , Irfana cepat memandang ke arah lain.

"Ini buktinya." Mereka semua memandang ke arah Irfana. Ya, kedua-dua mereka nampak pelik. Sementara Fadi tidak berbaju dan berpeluh-peluh. Irfana pula hanya menutup kepala dengan tuala dan juga dia berpeluh-peluh.

BÎASA ITU CINTAWhere stories live. Discover now