Bab 1

338 7 0
                                    


"KAU ni dah berapa kali aku cakap jangan balik lambat!" Suara jerkahan itu membingitkan telinga Irfana. Kakinya terpaku di depan pintu gril di ruang depan rumah. Kalau sehari tidak menjerkahnya itu bukannya nama Puan Ilah. Telinganya sudah mangli dengan jerkahan itu. Kadang-kadang saja dia terkejut. Satu kampung tahu bagaimana perangai dan mulutnya yang suka suki saja nak mengata orang. Tapi, kalau bab keluarga sendiri dia canangkan yang baik-baik saja.

"Fana ada overtime, mak ngah." Perlahan Irfana menjawab. Terpaksa menggantikan kawannya yang ada hal keluarga. Terpaksalah dia bekerja sehingga ke maghrib. Dia pun tak mahu balik lewat macam ni. Risau juga sebabnya dia hanya menaiki basikal selepas turun dari bas. Walaupun hanya 5 minit saja perjalanannya untuk pulang, tapi apa saja boleh berlaku jika pada waktu malam.

"Overtime setiap masa, tapi tak juga kau senang." Puan Ilah menjuih. Menyampah sebenarnya apabila Irfana tinggal dengan mereka. Tapi, sudah wasiat abangnya mahukan begitu, dia terpaksa juga. Lagipun sebenarnya tanah yang mereka duduki sekarang ini adalah milik arwah abangnya. Tapi, itulah hanya dia dan suaminya saja yang tahu kebenarannya. Jika tidak difikirkan wasiat dan tanah ini, sudah lama dihalau Irfana dari rumah ini. Lagipun, dia boleh buat Irfana sebagai orang gajinya. Orang gaji tak berbayar. Dia sebagai majikan pula yang dibayar. Pandai-pandai saja dia meminta Irfana memberinya duit.

Mana nak senangnya mak su, separuh gaji Fana jadi hak milik mak su. Hatinya mengerutu. Jika diikutkan hati sumpah dia tak akan berikan wang gajinya. Penat dia bekerja , tapi Puan Ilah ambil separuh. Tapi, bila memikirkan sejahat-jahat Puan Ilah dengan mulut tidak pula dia dihalau. Kalaulah dihalau di mana dia mahu tinggal. Lagipun, dia bukan biasa dengan tempat ini. Sini bukan kampungnya. Selepas arwah ayah meninggal dia datang tinggal di sini. Pejam dan celik sudah hampir 10 tahun dia tinggal di sini. Tapi, boleh dibilang dengan jari dia keluar dari rumah ini. Puan Ilah tak suka dia keluar merayap. Dunianya hanya kerja dan rumah ini sahaja.

Irfana melangkah masuk ke dalam biliknya di tepi bilik air. Puan Ilah hanya membina bilik itu dengan papan playwood saja. Itupun sudah berlubang di sana dan sini. Dan dia terpaksa menutupnya dengan salotep putih dan ditindan dengan salotep hitam di sebelah dalamnya. Bimbang ada yang mengendapnya nanti. Mujurlah suami Puan Ilah bekerja sebagai pemandu lori. Jadinya dia jarang berada di rumah. Seminggu sekali barulah dia akan pulang. Ataupun kurang.

Baru saja mahu meletakkan kepalanya di bantal, Puan Ilah sudah menjerit memanggilnya. Dia keluar ke dapur memandangkan dapur itu bersambung dengan biliknya sekali.

"Ada apa mak su?" tanya Irfana. Dia memandang pisang separuh masak ada di atas meja makan.

"Kau goreng pisang ni. Pak su kau nak balik malam ni." Dia menolak sesikat pisang itu ke depannya. Selepas itu dia melenggang masuk ke ruang tamu. Irfana mengeluh. Letih , tapi terpaksa juga dia menggoreng. Nanti bingit pula telinganya dengan bebelan tak berguna Puan Ilah. Patutlah suami dia suka balik seminggu sekali. Sebab Puan Ilah suka membebel. Anak-anak dia pula semuanya tinggal jauh dan jarang balik. Sebab apa jarang balik, sebab bebelan dialah. Anaknya yang sulung sudah bekerja dan yang bongsu masih belajar dan sedang berada di tahun akhir.

Selesai menggoreng pisang dia meletakkan bekas itu ke bawah tudung saji. Biarlah mereka cari makan sendiri.

"Hah, tunggu apa lagi. Hidangkanlah. Pak su dah sampai." Puan Ilah mengarahkan Irfana.

Irfana memejamkan matanya untuk menghilangkan rasa sakit hati. Kalaulah... terlalu banyak kalau sebenarnya. Andai dia kuat untuk melarikan diri. Bukannya dia tidak mampu, tapi rasa terhutang budi itu yang membuatkan dia masih di sini.

Lebih baik dia bancuh air kopi panas, tak mustahil nanti dia kena bancuh pula jika tidak berbuat demikian. Dia keluar menatang dulang.

"Lambat betullah." Puan Ilah merungut sambil mencebik. Muka tak pernah manis meskipun sudah banyak yang Irfana buat untuk dia.

"Ilah, kenapa tak tolong Fana hidang air untuk abang. Tak ingat ke abang penat cari rezeki ni." Encik Faizul menegur Puan Ilah. Lagilah muka dia masam mencuka apabila ditegur di depan anak saudaranya. Gatal betul mulut suaminya ini. Nak menangkan Irfana.

"Yalah, yalah, Ilah tuangkan untuk abang." Puan Ilah menjeling suaminya. Dalam hati sakit yang teramat sangat.

"Kan bagus macam tu." Encik Faizul menyengih.

"Air kopi ni selalu sedap kalau Fana yang bancuhkan." Encik Faizul memuji Irfana. Lega hati Irfana apabila ada juga orang yang menghargainya. Lega pun kena beringat juga, sebab mata Encik Faizul kalau memandangnya serupa nak menelannya saja. Dia berjaga-jaga dengan Encik Faizul. Dia tak berapa nak percaya.

"Fana tak makan dengan kami sekali?" tanya Encik Faizul.

"Fana dah kenyang." Irfana menolak sopan.

Mana mungkin duduk bersama dengan mereka. Nanti tak pasal-pasal Puan Ilah menjerkah pula.

"Amboi, memuji pula. Abang ni ada apa-apa ke?" Puan Ilah menjeling suaminya.

"Apa pulak?" Encik Faizul tak tahu apa maksud Puan Ilah. Ataupun dia pura-pura tidak tahu.

Ketika itu Irfana sudahpun laju melangkah meninggalkan kedua-dua suami isteri itu. Gayanya itu bukan nak marah suaminya yang memuji Irfana, tapi Irfana yang akan disemburnya dulu. Pintu bilik ditutupnya rapat dan siap dengan menguncinya sekali.

Selesai mandi, Irfana terus mengurung diri di dalam bilik. Selepas solat Isyak pun dia tidak keluar. Kalau Encik Faizul balik dia memang suka mengurung diri di dalam bilik. Malas nak bertembung dengannya. Pandai-pandailah dia elakkan diri. Kalau ternampak dia saja, Encik Faizul akan bebrual-bual dengannya dan mata itu pula serupa nak menelannya saja. Irfana takut.

"AKU dah jemulah kerja kat sini." Tiba-tiba Annara merungut.

"Kau nak pergi kerja kat mana pula?" tanya Irfana. Dia memandang Annara.

"Aku ingat nak kerja dengan kakak aku di KLlah. Kerja kat sana. Kau nak ikut tak?" tanya Annara. Dia memandang Irfana.

"Tak naklah." Irfana menggelengkan kepalanya. Dia tak biasa dengan bandar besar begitu. Nanti kalau dia terpesong macam mana? Siapa yang nak menolongnya. Takut terkena kejutan budaya sebenarnya.

"Lari ajelah dari rumah tu Fana. Kau bukannya senang pun duduk dengan mereka. Kau nak tunggu Encik Faizul tu ngap kau baru kau nak lari." Annara menjuih. Macamlah dia tak perasan pandangan Encik Faizul tu kepada Irfana. Pandangan jantan kempunan. Walaupun hanya sekali mereka bertemu. Walaupun di tempat awam pandangannya itu tetap nampak macam kempunan.

"Haisy, kau ni kenapa cakap macam tu." Irfana menolak bahu Annara.

"Mustahillah kau tak perasan pandangan pak su kau tu." Annara mencebik apabila menyebut nama bapa saudara Irfana. Irfana jongketkan bahunya. Dia tahu dan dia masih bertahan sebenarnya. Selagi tidak menyentuhnya dengan niat mahu mencabul atau merogol, dia akan bertahan.

"Dahlah. Jomlah kita masuk. Rehat pun dah nak habis." Irfana mengajak Annara. Dia bangun dari kerusi simen di belakang pasar mini tempat mereka bekerja.

"Jomlah Fana. Kalau nak dibandingkan keputusan STPM aku dengan kau, kau dapat terbaik kut. Banyak kerja yang menanti kau kat sana. Tak payah dah kerja dengan pasar mini kedekut ni." Annara memujuk Irfana. Annara menjuih. Kalau boleh sampai empat hasta.

"Kedekut pun dah 5 tahun kerja kat sini tau. Kau tu awal setahun daripada aku ni." Irfana ketawa kecil. Dia menggelengkan kepalanya.

"Huh, balik-balik itu juga yang kau kondem. Dahlah. Kalau tak nak pergi pun tak apalah. Tapi, aku tetap tunggu kau kat sana." Annara memang sudah nekad untuk berhenti. Esok dah masuk bulan baru. Gaji pun dah dapat. Sebab itulah dia bersungguh mahu meninggalkan kerja ini.

"Nara, jangan lupakan aku kalau kau dah kerja kat sana tau. Mana tahu suatu hari nanti aku pergi cari kau kat sana." Irfana ketawa kecil.

"Hmm, aku rasa kau tu nak tinggal kat sini sampai mati. Sampai Puan Ilah bebel kau tu mati." Annara memang tak sayang mulut. Annara tahu segalanya tentang Puan Ilah yang memang mendera mental Irfana. Irfana saja yang masih buat tak tahu.

BÎASA ITU CINTAWhere stories live. Discover now