BAB 5

122 3 0
                                    

"FADI, sampai bila kau nak duduk macam ni. Kecewa hanya kerana bunga sekuntum. Bunga kat dunia ni bercambah lagi. Kau petik saja yang mana kau nak." Iswadi menegur Fadi. Dia mengerling sekilas kepada Fadi.

"Bunga sekuntum tu tak sama dengan bunga yang lain. Kau jangan cakap banyak. Aku hanya nak tumpang duduk kat rumah kau saja. Kalau kau nak apa-apa untuk rumah kau ni beritahu saja aku." Fadi memandang Iswadi.

"Rumah aku ni macam nilah. Makan cukuplah. Makanan tadi sedap?" tanya Iswadi. Dia suka air tangan Irfana. Masakannya sentiasa kena dengan selera.

"Pedas sangatlah. Perut aku ni pedih dah." Fadi mengadu.

"Makanan tadi bukan rasa pedas sangat pun. Perut dengan lidah kau tu selalu makan makanan barat. Tu pasallah kena pedas sikit perut kau tu manja sakan." Iswadi sengih.

"Agaknya sepupu kau tu nak suruh aku balik kut. Aku rasa dia serabut aku ada sebab kena bertudung sentiasa." Fadi menggelengkan kepalanya. Pedas pun, dia bertambah nasi juga tadi. Sudah 3 hari dia di sini, makanan Melayu sudah mula terasa sedap di tekaknya.

"Itu aku sangkal. Fana tu sejak tinggal kat sini, seurat rambut dia aku tak pernah lihat." Iswadi beritahu perkara benar.

"Biar betul!"

"Kau ni takkan dah lupa pasal aurat perempuan. Kau belajar masa sekolah kan. Aku ni sepupu dia kut." Iswadi geleng kepala. Fadi hanya jongketkan bahunya.

"Tapi, bukan ke semalam kau cuba nak pegang tangan dia?" tanya Fadi.

"Aku tersilap." Iswadi menjawab sambil menyengih. Fadi senyum menyindir.

"Senang-senang kau cari orang lainlah."

"Kau ingat senang." Fadi tak sanggup. Cinta dan jiwanya hanya setia kepada yang satu. Dia akan pastikan akan menjadi miliknya semula. Lagipun bukan kerana orang ketiga pun. Kerana masalah mereka berdua saja.

"Kau tinggalkan kerja kau tu lama sangat tak apa ke?" tanya Iswadi.

"Ada pembantu yang aku boleh percaya."

"Aku nak jumpa sepupu akulah." Iswadi bangun.

"Is, kau sukakan sepupu kau tu ke?" tanya Fadi sambil mata memandang Iswadi.Sudah terang lagi bersuluh, Iswadi sukakan sepupunya. Tapi, Fadi bertanya juga.

Iswadi ketawa.

"Kau ni dia tu sepupu aku. Aku anggap dia macam adik aku sendiri."

Tak mungkinlah Iswadi mahu mengaku dia memang sudah lama jatuh cinta dengan Irfana. Tapi, Irfana tetap menolaknya. Irfana hanya menganggapnya sebagai abang saja.

"Bunga bukan sekuntum kan , Is." Fadi memulangkan paku buah keras.

"Betul tu. Bercambah bunga lagi. Jangan hanya tunggu bunga yang menyakiti kita saja." Iswadi pulangkan semula paku buah keras kepada Fadi. Fadi hanya menggelengkan kepalanya. Berpakat pula mereka berdua untuk paku memaku.

IRFANA mengeluh apabila melihat Iswadi sedang menunggu di tepi basikalnya.

"Lewat Fana balik hari ni?" tanya Iswadi seraya mengukirkan senyuman manis kepada Irfana. Mata Irfana hanya memandangnya sekilas sebelum menunduk semula. Naik segan apabila Iswadi selalu saja cuba mendekatinya.

"Hmm, bas tu lambat hari ni."

"Fana janganlah masam muka macam tu. Along datang ni nak temankan Fana balik ke rumah. Along tak ada nak buat apa-apa." Iswadi sengih.

"Janji tak mahu cakap yang along sukakan Fana." Irfana memandang Iswadi dengan mata yang berharap. Iswadi angkat kedua-dua belah tangannya tanda dia mengalah. Walaupun dalam hati macam mana dia nak mengalah apabila melihat sinaran mata Irfana. Tapi, demi menjaga hati Irfana dia sanggup. Iswadi senyum.

"Abang tolong Fana dengan basikal ni."

Mereka berdua hanya berjalan sambil Iswadi mengiring basikal.

"Fana suka kerja kat situ?" tanya Iswadi. Dia menoleh sekilas kepada Irfana.

"Hmm, nak cari rezeki. Kat pekan kecil macam ni susah nak dapat kerja elok. Mana yang ada rembat saja." Irfana sengih. Mana mungkin dia tidak impikan kerja yang elok daripada bekerja di pasaraya. Tapi, apa yang boleh dia buat, rezeki kerja lain tiada. Bukannya dia tidak minta kerja lain. SPA pun dia dah minta, tapi tak ada rezekinya.

"Lama along cuti kali ni ya," kata Irfana.

"Seminggu saja. Lepas jiwa Fadi tenang kami akan balik." Iswadi senyum.

"Along kerja dengan Fadi tu ke?" tanya Irfana sekadar ingin tahu.

"Taklah. Tapi, boleh dikatakan kami selalu jumpa juga. Sebab tulah dia ikut along balik kampung," terang Iswadi.

"Dia bukan kawan along ke?" tanya Irfana lagi.

"Kawan juga." Iswadi tak tahu nak menerangkan bagaimana hubungan dia dan Fadi. Nak kata kawan pun tidak juga. Mereka bertemu ketika syarikat mereka ada hal saja. Tapi, itulah walaupun tidaklah rapat, tiba-tiba Fadi minta untuk datang ke rumahnya. Itupun selepas secara tidak sengaja dia ternampak Fadi dan kekasihnya sedang bergaduh.

"Amboi! Dijemput pulang nampaknya!" Suara Puan Ilah menerjah ke telinganya selepas ternampak dia dan Iswadi. Irfana pandang Iswadi yang nampak terkaku. Terkejut kerana ibunya muncul di muka pintu secara tiba-tiba.

"Along ni terjumpa Fana kat depan tu saja." Irfana membela Iswadi. Nanti tak pasal-pasal dia membebel tak berhenti pula.

"Along sudahlah, ramai lagi orang kat luar tu. Bukannya ada dia saja." Puan Ilah menjuih. Tahu anak terunanya itu berkenankan sepupu sendiri. Tapi, langkah mayatnya dulu kalau nak berkahwin dengan Irfana. Dia tak akan sesekali benarkannya. Mak dengan anak sama saja.

"Along ni memang kan ibu..." Fazra menambah api dalam hati ibunya. Biar Irfana kena lagi.

"Kau dengan mak kau sama saja." Puan Ilah menjuih mulut. Irfana memandang Puan Ilah dengan mata bulat. Dia tak suka bila Puan Ilah memburuk-burukkan arwah emaknya.

"Ibu, jangan risaulah. Apa yang ibu tak mahu itu tak akan berlaku." Iswadi memegang tangan ibunya. Dia menjegil kepada Fazra. Tahu niat Fazra sengajakan nak sakitkan hati Irfana. Puan Ilah diam dengan pujukan Iswadi. Satu-satunya anak lelaki yang tak akan dibenarkan berkahwin dengan Irfana. Dia tak suka! Sakitnya hati apabila teringatkan arwah kakak iparnya itu.

Fadi hanya memandang drama di depannya tanpa perasaan. Tak teringin langsung nak ambil tahu pasal mereka. Dia hanya tahu melayan hati yang kecewa.

"Fana, kau jangan berangan nakkan along." Fazra berbisik di telinga Irfana.

"Eh, aku bukan macam kaulah angah. Terhegeh-hegeh dekat orang yang memang tak nakkan kau." Irfana tak boleh berdiam diri, apabila semua orang asyik memberitahu perkara yang sama. Dia pun tak mahu beritahu dia tak pernah anggap Iswadi lebih daripada seorang abang. Irfana kalih muka ke arah Fadi yang duduk di kerusi simen sambil menghisap rokok.

"Kau mengata aku!?" Fazra naik angin.

"Kau terasa ke? Lain kali jangan kata aku macam-macam. Aku anggap along tu macam abang aku saja." Tegas Irfana mengatakannya. Dia benci apabila orang asyik mengatakan perkara yang sama.

Irfana terus berjalan ke dalam rumah. Benci sungguh kalau mereka balik ke rumah. Dia terpaksa menahan sakit jiwa dengan ketiga-tiga mereka. Itu belum lagi, Encik Faizul balik. Kalau dia balik lagilah. Tak cakap banyak orang tua tu, tapi Irfana tak selesa jika dia ada di rumah.

BÎASA ITU CINTAWhere stories live. Discover now