𝟏𝟎.

2.6K 243 26
                                    

LUKA pada dahi diletakkan cecair Dettol kemudian dibalut dengan plaster bercorak beruang yang diberikan oleh Doktor Noah. Arabella bangun dari kerusi di hadapan cermin kemudian pergi ke katilnya. Buku lukisan dan jurnal dicapai kemudian dia duduk bersila di atas katil sambil menghadap balkoni bilik.

Dua tiket taman hiburan yang dibeli tadi dikeluarkan dari poket baju lalu tangannya mencapai pula pita washi. Buku jurnal dibuka dan kedua-dua tiket itu ditampal di dalam buku jurnalnya.

14 April.

:'(

Love, Arabella.

Buku lukisannya pula diambil. Muka surat baru dibuka. Matanya teralih merenung suasana di luar balkoni itu sehingga tumpuannya teralih kepada beg mini berbentuk arnabnya. Senyuman pahit terukir. Dia betul-betul mahukan seekor arnab tetapi Hayden baru sahaja membatalkan permintaannya yang itu.

Tengkingan Hayden tadi berjaya membuatkan dia sedar bahawa lelaki itu rupanya tidak suka dengan perangai keanak-anakannya, tidak suka dengan segala ceritanya dan tidak suka apabila dia meminta-minta. Arabella mencebik. Tidak peliklah jika seseorang itu bencikan dia. Yang peliknya kalau seseorang itu melayan dia baik.

Cuma dia takut. Takut jika satu hari nanti, Hayden akan menyeksanya seperti mana Adam lakukan kepadanya dahulu.

Keluhan dilepaskan. Matanya dipejam seketika, cuba untuk mengusir fikiran-fikiran negatif yang mula bermaharajalela di dalam minda. Pensel diambil kemudian mata pensel itu mula menari di atas helaian kertas putih itu, mengikut gerakan tangan Arabella. Dia tidak tahu apa yang mahu dilukis, jadi dia hanya terus menconteng mengikut gerak hatinya.

Selepas 30 minit, pensel dijauhkan. Matanya merenung lukisan yang sudah separuh siap itu. Ia adalah sebuah tangan yang cuba mencapai seekor rama-rama yang sedang terbang. Arabella tersenyum kecil.

Klak!

Senyumannya mati apabila mendengar bunyi pintu biliknya dikuak. Cepat-cepat buku lukisan disembunyikan di bawah selimut. Dia menoleh dan apabila matanya menangkap figura Hayden di situ, bertambah-tambah rasa takutnya. Dia bangun dari katil dan merenung Hayden yang sedang menutup pintu biliknya. Lelaki itu berpaling dan mendekati Arabella yang sudah melekap di dinding. Keningnya terangkat apabila melihat wanita itu yang sedang berdiri kaku di sudut bilik. Wajah Arabella yang sedang dalam ketakutan itu direnung dengan penuh tanda tanya.

"Bella? Hei, kenapa ni?" Tanya Hayden risau. Dia menghampiri Arabella yang semakin tenggelam di sudut bilik itu.

"Bella—" Hayden terkedu ketika Arabella mendudukkan diri di atas lantai sambil memeluk kedua-dua lututnya.

"Sa—saya minta maaf. Saya janji tak keluar rumah dah." Tutur Arabella tersangkut-sangkut. Dia mendongak dengan mata yang berkaca, memandang Hayden yang sudah melutut di hadapannya.

"Bella."

"Jangan...jangan pukul saya..." Rayu wanita itu dengan bibir yang tercebik-cebik. Hayden senyap. Matanya sayu menatap Arabella yang dalam ketakutan itu. Percakapannya tadi terlalu kasar, memang patutlah Arabella fikir dia akan naik tangan.

Dia tersenyum hambar. Tangannya diangkat mahu menyentuh rambut lembut Arabella itu buat kali pertama tetapi Arabella mengelak membuatkan Hayden melepaskan keluhan. Tangan diturunkan semula. "Saya tak akan pukul awak, Bella. Saya datang sini nak minta maaf." Ujar Hayden tenang.

ARABELLAWhere stories live. Discover now