Sihir

609 6 0
                                    

Mak Su berbadan gempal, wajahnya bengis, dan rambutnya kusut-masai. Dia selalu melihat orang dengan menjegilkan kedua-dua belah matanya. Sejak kecil, apabila aku berjumpa dengannya, pasti aku berlari ketakutan.

Aku pernah melihat wajah Mak Su ketika dia masih muda. Cantik, sangat cantik. Wajahnya manis dan berkulit sawo matang.

Mak Su merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya. Dia menyambung pelajaran di sebuah maktab perguruan di Pulau Pinang. Ketika belajar di maktab perguruan, Mak Su menjadi kegilaan jejaka-jejaka di sana kerana kecantikannya.

Pada suatu hari, Mak Su memarahi seorang lelaki yang asyik menganggunya. Disebabkan terlalu marah, Mak Su meludah ke muka lelaki itu. Sejak dari peristiwa tersebut, lelaki itu tidak lagi menganggu hidup Mak Su. Kejadian itu berlaku sebelum cuti semester bermula.

Setelah cuti semester tamat, Mak Su kembali menyambung pengajiannya di maktab perguruan. Tiba-tiba, nenekku mendapat satu panggilan daripada pihak pengajian memberitahu bahawa Mak Su sakit secara mengejut. Mak Su dikejar ke hospital.

Di hospital, Mak Su ditempatkan di satu wad khas kerana Mak Su sering meracau, menangis dan meraung. Nenekku ikhtiar membawa Mak Su pergi berubat dengan seorang ustaz. Ustaz itu memberitahu bahawa Mak Su terkena sihir dari Siam. Orang itu berdendam dengan Mak Su. Dia menggunakan ludah Mak Su untuk membalas dendam.

Nenekku teringat Mak Su pernah bercerita kepadanya bahawa dia pernah meludah seorang lelaki kerana asyik mengganggunya.

Puas Mak Su berubat dengan ustaz, namun dia hanya sembuh sementara. Apabila sihir tersebut dibuang, maka disihir lagi sehingga Mak Su berasa putus asa untuk berubat. Setiap kali waktu senja, Mak Su akan meracau, meraung, menangis dan ketawa secara tiba-tiba. Dia pernah mengambil sebilah parang lalu menjerit-jerit, "Pergi kau, pergi! Aku bunuh kau! Aku bunuh kau!"

Akhirnya, Mak Su meninggal dunia setelah hampir beberapa tahun menderita sihir tersebut.

TAMAT

Sumber : Ahmad Harris

12 Kisah SeramWhere stories live. Discover now