PROLOG - misteri gadis bukan perawan

18 1 0
                                    

PROLOG - Misteri Bayangan Hitam

Mata perempuan tua itu melilau mencari kelibat suaminya, Osman. Bukankah suaminya itu ada di belakangnya sebentar tadi. Tetapi mengapa tiba-tiba hilang begitu sahaja. Bisikan-bisikan halus sudah memenuhi rongga telinga. Lebih menakutkan lagi, bahasa itu tidak difahami.

"Abang, abang kat mana?" Rosnah sudah mulai gelisah. Sudahlah mereka masuk jauh ke dalam hutan. Tujuan asal mereka sebenarnya untuk mencari kayu api. Ini, lain pula jadinya.

"Abang, janganlah main-main dengan Nah kat hutan tebal ni. Jomlah kita balik. Nah rasa tak sedap hati." Rosnah meramas lengannya sendiri. Tegak sudah bulu romanya. Kelibat suaminya Osman masih tidak kelihatan.

Tiba-tiba angin kencang menolak tubuh Rosnah dari belakang. Segera Rosnah menoleh ke belakang. Tiada sesiapa yang berada di situ. Hanya pokok-pokok dan semak-samun yang menutupi tanah gambut pada permukaan bumi itu.

"Ros...nah. Mari sini Nah...." Kedengaran halus suara orang memanggilnya sari arah depan.

"Siapa? Abang ke tu?" Rosnah membalas sapaan itu.

"Ros...nah." Kali ini panjang pula nadanya.

Langkah kaki Rosnah semakin menuju ke hadapan. Dia terpaksa meredah semak-samun untuk mengejar arah suara itu.

"Nah!" Osman menegah Rosnah dari arah kanan. Terkejut Rosnah melihat suaminya tiba-tiba muncul tanpa kedengaran bunyi tapak kaki. Muka Rosnah sudah pucat lesi. Dia termati kata-kata.

"Nah, awak ni dah kenapa? Abang panggil Nah berkali-kali tadi, Nah tak dengar ke?"

"Abang panggil Nah?" Rosnah terpinga-pinga.

"Ya. Abang panggil Nah. Yang muka Nah pucat lesi ni dah kenapa? Macam orang nampak hantu je."

"Bukan abang kat situ ke?" Rosnah menunjukkan jari telunjuknya ke arah depan.

"Isy.. Mana ada abang kat depan tu. Abang menebas semak kat situ hah. Tapi abang terjumpa sesuatu. Mari abang tunjukkan." Osman menarik tangan Rosnah yang terasa dingin. Namun, Rosnah tidak berganjak dari tempat berdiri. Dia pegun.

"Abang, lebih baik kita balik. Nah tak sedap hatilah," kata Rosnah cuba untuk mengalihkan pendapat suaminya.

"Ya. Kita akan balik nanti. Tetapi selepas abang tunjukkan Nah sesuatu. Marilah. Jangan takut. Abang kan ada." Osman memberi keyakinan pada Rosnah.

Rosnah terpaksa akur apabila tangannya ditarik kasar oleh Osman. Osman tidak sabar lagi untuk menjelajah hasil penemuannya itu.

"Jalan apa ni bang? Jalan ni hanya ditumbuhi rumput-rumput kecil aje." Rosnah yang hanya memandang ke bawah memijak-mijak rumput yang menjalar cantik melindungi taburan batuan kecil yang seperti sebuah jalan.

"Jalan ni menuju ke banglo yang ada di depan tu," kata Osman. Barulah Rosnah perasan banglo yang ada di depan apabila dia beralih pandang ke arah yang dimaksudkan oleh suaminya. Dia tergamam seketika.

"Besarnya rumah ni bang. Siapa pula yang membina rumah banglo kat tengah-tengah hutan macam ni. Lama juga kita dah tinggal kat kampung ni, tidak pula kita dengar cerita yang kawasan hutan sini ada peninggalan sejarah. Pasti rumah ni berusia puluhan tahun. Rumah antik."

"Jomlah kita masuk. Tak sabar abang nak masuk." Osman menguak pagar besi yang sudah berkarat itu tetapi tangannya ditahan oleh Rosnah.

"Abang, Nah rasa tak sedap hatilah dengan rumah ni. Menyeramkan. Lebih baik kita balik bang." Sudah ke berapa kalinya Rosnah meluahkan rasa tidak sedap hati.

"Isy... awak ni Nah. Lebih baik kita tengok dulu apa yang ada di dalam. Lepas tu kita baliklah ya." Akhirnya Osman berjalan mendahului Rosnah. Dia malas hendak bertekak dengan Rosnah. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal jalan.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 25, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Bayangan Hitam   Siri 1 Where stories live. Discover now