Ilmu Papan Sekeping

Start from the beginning
                                    

Malam itu, kami meminta keluarga Haikal untuk menyediakan daun bidara dan membawa air dari tujuh kolah masjid. Haikal juga diminta mendapatkan rehat yang secukupnya kerana malam itu hanya pengenalan awal rawatan kami kepadanya.

Rawatan kami mempunyai tiga fasa iaitu pengenalan, serangan dan yang terakhir sesi syifa serta sesi tarbiah.

Pada malam itu, aku dan guruku mengalami mimpi yang sama. Di kepala Haikal penuh dengan haiwan berbisa. Di perut pula, ada seekor ular dan sekeping papan hitam yang menekan perut Haikal.

Usai solat Subuh, aku menceritakan perihal itu kepada guruku. Guruku turut menceritakan perihal yang sama. Guru aku berpendapat bahawa ilmu yang dikenakan pada Haikal ialah ilmu papan sekeping atau ilmu yang dihantar untuk membunuh mangsa secara perlahan-lahan dan mengaibkan.

Tatkala Haikal tiba, guru aku menyiapkan tujuh biji air kelapa untuk Haikal minum. Selesai sesi ruqyah dan pemagaran disekeliling kawasan, Haikal diarah untuk minum air kelapa itu. Setiap air kelapa yang diminum perlulah dimulai dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Haikal (pembacaan dalam satu nafas lalu diminum).

Setiap kali habis satu biji kelapa, Haikal akan memuntahkan segala isi di dalam perutnya. Anehnya, tiada makanan yang keluar. Yang ada hanyalah lendir-lendir hijau yang amat busuk.

Ketika Haikal habis minum air kelapa yang ketiga, keluarlah ulat-ulat dari muntahnya. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, air kelapa yang kelima, muntah Haikal hanyalah muntah angin sahaja; menandakan segala yang menghantui perut Haikal sudah tiada.

Selepas habis muntah, barulah Haikal dibawa mandi. Haikal perlu dimandikan dan dilarang untuk mandi sendiri, ibarat ingin melepaskan sesuatu yang diikat padanya. Aku berasa begitu terkejut apabila melihat sopak-sopak di kepala Haikal jatuh satu per satu.

Nanah dan ketulan-ketulan darah keluar dari celahan luka di kepala Haikal. Sekali lagi, keluar ulat-ulat dari celahan luka di kepalanya. Haikal menangis menahan sakit. Aku turut berasa sebak melihat keadaan Haikal.

Kemudian, aku melihat ada serbuk-serbuk berkilat keluar dari celah-celah kuku dan liang roma tangan Haikal. Aku cuba perhatikan betul-betul. Kelihatan miang-miang buluh dicampur dengan kaca yang keluar. Ketika itu, ibu Haikal menangis semahu-mahunya kerana sebak melihat keperitan yang dilalui anaknya.

Guru aku meminta Haikal memperbanyakkan zikir dan berdoa memohon keampunan Allah kerana doa-doa orang teraniaya diangkat langsung kepada Allah. Begitu juga dengan keluarga Haikal, guruku meminta mereka memperbanyakkan bacaan ayatul Kursi.

Seusai mandi, tidak semena-mena, terdapat satu cahaya seperti api melintas di langit. Guruku membaca sepotong ayat yang aku kurang pasti kerana terlalu asyik melihat cahaya itu. Kemudian, guruku bertempik seraya berkata, "Aku berlindung dengan keesaan Allah dari ancaman makhluk-makhluk halus."

Boom!!

Bunyi seperti sesuatu meletup. Semua melihat keadaan itu. Guru aku berkata kepada kami bahawa itu adalah cara orang menghantar santau melalui angin. Jika kita ternampak dan berlindung dengan keesaan-Nya lantas kita tegur cahaya itu, dengan izin Allah, hancur santau itu.

Orang yang menghantar itu masih tidak berhenti menguji dan berputus asa dengan matlamatnya untuk memusnahkan hidup Haikal. Tetapi dengan kekuasaan Allah, akhirnya penyakit yang dialami Haikal terjawab sedikit demi sedikit.

Setelah Haikal menukar pakaiannya, guruku meminta Haikal untuk duduk di hadapannya. Ketika ini, teknik kembara rohani digunakan untuk berdialog dengan si tukang hantar sihir.

Tatkala menggunakan teknik ini, ia memerlukan penghayatan yang tinggi. Maka, guruku meminta semua yang ada senyap dan jangan sesekali mengganggunya dan juga Haikal.

Guruku bertanya, "Mahukah kamu menerima tawaranku agar kita dapat berdamai tanpa ada antara kita yang kecelakaan?"

"Apa tawaramu?" soal suara yang keluar dari mulut Haikal.

"Mahukah engkau hidup dalam keadaan aman dan damai? Mahukah engkau mengenali Islam? Islam itu agama yang mencintai aman damai yakni kau akan terselamat di dunia dan juga di akhirat. Hidup kau akan menjadi lebih tenang sekiranya engkau mengenali Islam. Islam turut menegah keras dengan perlakuan engkau sekarang ini. Aku memberikan jaminan bahawa Islam mampu mengeluarkan hidup engkau yang mungkar ini ke jalan yang Tuhan redhai."

"Tiada siapa yang menyampaikan agama kepada kami. Kami percaya dengan apa yang nenek moyang kami ajar. Itu hidup kami!" kata suara tersebut. "Tapi... dari mana kau dapat kekuatan untuk mengalahkan aku?" soal suara tersebut.

"Allah," jawab guruku tenang.

"Siapa Allah? Aku mahu belajar daripada Dia. Ceritakan kepadaku tentang Allah," kata suara tersebut.

"Allah itu ialah Tuhan sekalian alam. Dia tiada beranak dan Dia tidak diperanakkan. Engkau akan mengenali Allah sekiranya engkau mempelajari Islam."

"Hm.. Aku mohon maaf kerana aku silap. Aku sangka apa yang aku buat ini adalah untuk membantu orang yang teraniaya. Apa kau hendak aku membunuh perempuan itu?"

"Tidak! Cukuplah engkau menyuruhnya bertaubat. Kembalilah kepada ajaran Allah."

Selesai urusan kembara rohani, Haikal menjadi sangat letih seperti baru lepas berlari walhal dia hanya duduk di hadapan guruku. Haikal dibekalkan dengan beberapa ayat pendinding diri.

Keesokan harinya, sekali lagi, Haikal dan keluarga ke rumah guruku. Haikal membawa berita bahawa perempuan yang menganiayanya datang ke rumah merayu-rayu agar dia dimaafkan. Haikal meminta pandangan guruku akan hal itu.

"Selagi mana dia Islam, selagi itulah dia adalah saudara atau saudari Islam kamu. Haikal.., kamu juga ada salah pada dia. Kamu permainkan hati dia. Dendam itu berpunca daripada perbuatan kamu sendiri. Sekiranya kamu menjaga ikhtilat kamu dengan wanita yang bukan mahram, in shaa Allah, tak akan jadi macam ini. Ini adalah teguran Allah yang nyata untuk diri kamu. Maafkanlah dia dan mohon ampun dan maaf juga daripada dia," ujar guruku tenang.

Haikal dan keluarganya tersentak menerima teguran daripada guruku. Muka mereka kemerahan menahan malu.

Perempuan yang menganiaya Haikal tidak sampai dua minggu meninggal dunia akibat mengalami sakit yang lebih kurang sama seperti Haikal.

Akhir kata, jadikan cerita ini sebagai pengajaran hidup. Jangan sesekali permainkan perasaan orang. Jika tidak sudi, maka katakan yang elok-elok kerana kita tidak tahu sampai tahap mana orang sanggup menjahanamkan diri kita. WallahuA'lam.

-TAMAT-

Sumber : AKU SANG PENDOSA

12 Kisah SeramWhere stories live. Discover now