Prolog

49 0 0
                                    

Maihani Sara mengeluh! Peluh yang menitik di dahinya diseka dengan hujung baju kurungnya. Sudah seminggu dia cuba mencari kerja namun tidak berhasil. Hari ini seharian dia ke hulu dan ke hilir mencari kerja namun tidak berhasil, hanya kepenatan sahaja yang diperolehinya. Kakinya sudah berasa lenguh. Dia memukul-mukul pehanya yang terasa sengal itu dan berjalan menuju ke perhentian bas berdekatan.

"Ah, leganya dapat duduk.." Sara mengurut-ngurut kakinya yang sudah kejang kerana berjalan terlalu lama sehingga dia tidak dapat merasa pergerakan kakinya lagi. Dia berdesis menahan sakit.

Grooohhhh! Tiba-tiba guruh berbunyi membuatkan Sara hampir terlompat. Hujan turun seiring dengan itu. Sara memandang ke langit tanpa sebarang perasaan.

"Hujan lagi..erm..nampaknya, memang tak ada rezeki akulah hari ni." Sara menarik nafas panjang. Tiada apa boleh dilakukannya lagi. Hujan, kaki sudah kejang, perutnya terasa lapar membuatkan Maihani Sara merasa malas mahu bergerak lagi. Sara merenung rintik-rintik hujan yang mula memenuhi lopak di hadapannya.

"Susahnya nak dapat kerja sekarang." Sara mengeluh lagi. Tangannya masih memukul-mukul pehanya untuk menghilangkan lenguh. Lama dia termenung di situ sambil mengenangkan nasibnya yang tidak berapa baik. Selepas bosan duduk, dia menadah air hujan dengan tangannya.

Seorang lelaki bertopi merah datang menumpang teduh bersamanya diperhentian itu. Di bahagian depan topi tersebut tertulis perkataan AWKA, jenama topi terkenal. Mukanya pula berjambang penuh dan rambutnya yang panjang diikat satu. Sara hanya memandangnya sekali imbas dan bermain dengan air hujan semula. Tiba-tiba Sara ternampak seorang wanita dalam keadaan yang basah kuyup sedang menggendong bayinya meredah hujan lebat. Hati Sara merasa kasihan dengan bayi tersebut. Cepat-cepat dia mencapai begnya dan mengeluarkan payung dan terus dia berlari-lari anak mendapatkan wanita itu sambil memayungkan mereka.

"Terima kasih dik." Ucap wanita itu sebelum Sara berlari semula ke perhentian bas. Dia mengibas-ngibas kain dan bajunya yang sudah basah itu sebelum duduk. Tubuhnya menggigil kesejukan. Tiba-tiba lelaki tadi menyarungkan baju kemeja yang dipakainya tadi ke bahu Sara dan terus berlalu meredah hujan membuatkan Sara terpinga-pinga. Dia hanya mampu memandang lelaki itu yang sudah semakin menjauh. Hendak dipanggil kembali sudah terlambat. 

Sara merenung sahaja kemeja di bahunya. Akhirnya Sara membuat keputusan untuk menyarungkan sahaja kemeja tersebut ke tubuhnya. Hilang sedikit kesejukan yang dirasainya. 

Kisah Klasik Untuk Masa DepanWhere stories live. Discover now