Bab 11

1.4K 75 0
                                    

NURA NAK BERTUNANG! Itulah berita yang disampaikan sendiri oleh adik iparnya itu. Teruja sungguh suara Nura semasa memberitahunya tentang hal itu. Yalah, siapalah yang tak gembira dan excited kalau dah nak menjadi tunangan orang? Lebih-lebih lagi kalau si bakal tunang itu adalah pilihan hati sendiri. Rasa berbunga saja perasaan itu.

Aisha memang kenal dengan Najmi, bakal tunang Nura. Pemuda itu memang seorang yang baik pun. Latar belakang keluarganya juga baik. Dan yang sebenarnya, abang kepada Najmi, iaitu Nazirul, merupakan salah seorang kawan Aisha semasa di universiti dulu. Memang dia sendiri pun tak jangka yang dia akan bertemu semula dengan Nazirul. Dan mereka secara tak langsung akan terikat dengan hubungan kekeluargaan.

Betul la kata orang, dunia ini kecil!

Dan sebagai seorang kakak ipar yang baik kononnya, dia secara tak langsung terlibat juga dengan persediaan majlis pertunangan Nura. Dia seronok sebenarnya dapat membantu persediaan majlis ini. Seronok dapat melihat wajah bahagia Nura. Seronok dengan suasana yang sangat sibuk menjelangnya majlis nanti. Dan seronok melihat Abang Zamer yang suka sangat mengusik Nura akhir-akhir ini.

"Orang tak pandai masak mana boleh bertunang."

"Orang lelaki ni bila dia dah bertunang atau kahwin, saham dia lagi tinggi tau, dik."

"Mama tak bagi Najmi datang masa tunang nanti. Kalau ikut adat, memang patutnya macam tu."

Dan Nura hampir saja percaya dengan semua usikan Abang Zamer. Mungkin sebab tertekan dengan persediaan majlis pertunangannya, dia menjadi sensitif tiba-tiba. Terus dia merujuk pada mama tentang hal yang Najmi tidak boleh datang semasa majlis pertunangan nanti. Pelik juga dia sebab semasa Syuha bertunang dulu, dia nampak saja muka Firdaos di majlis itu. Siap bergambar lagi!

Nura akhirnya mencampakkan bantal kecil sofa ke arah Abang Zamer setelah menyedari dia hanya diusik oleh abangnya itu. Abang Zamer memang!

"Jealous la tu sebab masa abang bertunang dulu abang tak dapat pergi rumah Kak Anis."

Dari apa yang diceritakan oleh Nura, semasa pertunangan Abang Zamer dulu, memang Abang Zamer tak berkesempatan untuk sama-sama ke majlis pertunangannya sendiri. Sebab arwah bapa Kak Anis sangat tegas ketika itu dan sangat mementingkan adat. Sudahnya Abang Zamer hanya tinggal di rumah dan cuma ahli keluarganya saja yang bertandang ke rumah Kak Anis.

Sebab itu Abang Zamer 'bising' bagai nak rak!

Dan sejak minggu lepas lagi, memang hampir setiap hari Aisha akan bertandang ke rumah mama untuk membantu menyiapkan barang hantaran. Dia berbesar hati sebenarnya sebab Nura meminta pertolongannya membuat barang hantaran untuk diserahkan kepada Najmi. Hujung minggu lepas, memang sehari suntuk dia dan Nura keluar mencari barang untuk diletakkan di atas dulang hantaran. Kasut, perfume, baju, coklat, dan lain-lain. Naik lenguh jugalah kakinya ketika itu.

Tapi dia tak kisah pun. Sebab dia sendiri tak pernah merasai detik itu. Detik mencari barang hantaran untuk majlis pertunangan.

Yalah, dia dengan Qhalid dulu mana ada bertunang pun. Terus nikah. Majlis persandingan pun dibuat serentak untuk kedua-dua belah pihak. Ketika itu mereka berdua memang tak bersungguh-sungguh pun dengan persiapan majlis perkahwinan mereka. Dah masing-masing saling tak suka, nak buat macam mana? Sudahnya apabila abah dan ibu bising sebab dia ambil enteng hal perkahwinannya, barulah dia terhegeh-hegeh sibukkan diri menyiapkan apa yang patut.

Sampai Bila? [2014]Where stories live. Discover now