Bab 2

1.3K 78 1
                                    

AISHA MENGANGKAT KEPALANYA yang direbahkan di atas meja dapur apabila Qhalid masuk ke ruang dapur itu. Tapi dia masih tak berganjak dari silanya di atas kerusi. Sebab dia tahu Qhalid takkan berlama di ruang dapur. Mungkin lelaki itu hanya akan menuang segelas air dan membawanya keluar secepat mungkin. Qhalid kan tak suka tengok muka dia?

Tapi andaian Aisha kali ini tidak tepat. Qhalid yang berdiri membelakanginya itu sedang mencapai balang berisi serbuk Milo dan sebiji mug.

Oh, dia nak buat Milo. Maksudnya lelaki itu akan berada lama di dapur. Baik dia saja yang keluar dari sini.

Aisha berura-ura untuk bangun.

Eh, sekejap. Dia tak boleh tinggalkan dapur! Sebab dia sedang mencairkan bar coklat di atas api dapur sekarang ini. Aiseh... macam mana ni?

Mahu tak mahu, terpaksa juga dia stay di situ. Dia sebenarnya tadi tak merancang pun untuk membuat cornflakes coklat (oh ya, coklat itu dia cairkan untuk membuat biskut cornflakes coklat). Tapi dia sangat bosan memerap saja di dalam bilik sementelah Qhalid sedang berada di ruang tamu – menghadap kerjanya. Jadi dia terus ke dapur dan mencari idea untuk berlama-lama di dapur. Dan dia ternampak ada satu lagi kotak cornflakes yang masih belum berusik. Terus saja mentol menyala di mindanya – mencadangkan agar dia membuat kudapan itu. Itulah yang membuatkan dia 'melepak' di dapur.

Aisha kembali merebahkan kepalanya di atas meja. Dia memusing-musingkan Sony Ericsson putihnya di atas meja, menunggu dengan sabar bila Qhalid akan beredar keluar dari dapur.

"Malam esok ada kenduri tahlil." Tiba-tiba Qhalid bersuara.

Aisha yang menyangka Qhalid sedang bercakap di telefon hanya mendiamkan diri.

"Kau dengar tak ni?" Suara Qhalid yang tiba-tiba kedengaran kuat itu membuatkan Aisha memandang lelaki itu. Dan lelaki itu sedang menoleh ke arahnya. Oh, mamat ni tengah cakap dengan aku ke? Terus dia mengangkat kepalanya dan menegakkan badan.

Pelik...

"Dengar tak?" Qhalid bertanya lagi dengan nada suaranya yang dingin itu.

"Apa?" Aisha membalas dengan nada yang sama.

Qhalid kembali menghadap mug Milonya. "Malam esok. Tahlil kat rumah ayah."

Aisha mencebik. Tak suka dengan tindakan lelaki itu yang tak ada adab semasa bercakap. Bercakap dengan aku tapi menghadap Milo dia. Huh.

"Esok lepas Maghrib gerak." Qhalid mengarah lagi.

"Tengok la dulu."

Qhalid menoleh pada Aisha. Mukanya tegang. "Apa tengok-tengok pulak? Memang kena pergi pun!"

"Ye la. Tahu la. Tak payah la nak bising-bising."

"Kau ni..." Qhalid mengetap bibir. Bengang dengan sikap Aisha yang kadang-kadang agak mencabar kesabarannya. Aisha selalu mengambil mudah semua perkara. Selalu menganggap semua perkara remeh temeh dan tidak penting. Sikapnya yang itulah membuatkan Qhalid selalu rasa nak marah pada gadis itu.

Aisha juga agak tidak menjaga cara percakapannya. Setiap kali bercakap dengan Aisha, dia akan rasa bengang dengan cara gadis memberi respons. Agak selamba dan kadang-kadang dia rasa sikap Aisha itu kurang ajar. Tengoklah cara dia membalas cakap Qhalid tadi!

Aisha memandang tajam pada Qhalid – tanda protes. Dia terus bangun dari duduknya dan menjenguk ke arah api dapur. Bar coklat dah mula mencair. Dia mengacau larutan coklat itu, tanpa menghiraukan Qhalid yang masih lagi menoleh padanya. Dia malas nak memanjangkan pergaduhannya dengan lelaki itu.

Qhalid semakin sakit hati dengan sikap selamba Aisha itu. Kenapalah minah ni selalu buat aku bengang? Disebabkan rasa amarahnya pada Aisha, dia mencampakkan sudu besi yang digunakan tadi terus ke dalam sinki. Berdenting bunyi sudu itu terhentak ke permukaan sinki. Selepas itu, dia terus keluar dari dapur.

Aisha sekadar mencebik. Dia dah biasa dengan sikap panas baran Qhalid itu.

Kan dia dah kata yang dia memang tak boleh nak berdepan dengan Qhalid?

Sampai Bila? [2014]Where stories live. Discover now