Bab 9

1.4K 69 2
                                    

"ABANG, ADIK, JOM MAKAN." Aisha memanggil kedua-dua anak buahnya. Laju saja Rafi dan Awin berlari ke meja makan. Seronok melihat dua beradik itu saling berkejaran untuk sampai ke meja makan.

Dua hari ini, kakak sulungnya meminta tolong dia menjaga Rafi dan Awin kerana Kak Long menemani Abang Jai berkursus di Kuala Terengganu. Dia tak kisah pun sebab dia memang rindu nak meluangkan masa bersama kedua-dua orang anak buahnya. Dengan adanya Rafi dan Awin di rumah, sekurang-kurangnya dia tak rasa bosan. Hujung minggunya penuh dengan rasa gembira sebab dapat melayan keletah Rafi dan Awin yang masing-masing baru mencapai usia empat dan tiga tahun.

Cuma selama dua hari ini, dia terpaksa berdepan dengan Qhalid.

Terpaksa.

Selepas kejadian dia ditunjal di depan Abang Zamer hari itu, memang dia dan Qhalid betul-betul macam dua orang yang saling tak mengenali. Masing-masing kalau bertembung pun hanya buat-buat tak nampak saja. Tapi sejak Rafi dan Awin menumpang di sini, nak tak nak terpaksa jugalah mereka berdepan. Itu pun memang rasa kekok yang teramat sangat!

Dia masih ingat lagi semasa dia meminta izin dari Qhalid untuk menjaga Rafi dan Awin. Yalah, ini rumah Qhalid. Memang patutlah kan dia meminta izin Qhalid terlebih dulu? Buatnya Qhalid tak suka dengan anak-anak buahnya itu, macam mana? Memang rasa janggal yang teramat sangat semasa dia tebalkan muka bertanya pada Qhalid hari itu.

"Err... Qhalid."

Qhalid menoleh pada Aisha yang sedang berdiri di tepi sofa double seater.

"Err... boleh tak kalau Rafi dengan Awin tumpang kat sini hujung minggu ni? Abang Jai dengan Kak Long kena pergi Kuala Terengganu."

Qhalid diam. Dia kembali memandang skrin laptop di depannya. Agak lama dia berdiam diri begitu. Beberapa saat kemudian, barulah Qhalid bersuara. "Okey."

Aisha yang baru berura-ura untuk berlalu dari ruang tamu itu (dia yakin Qhalid takkan setuju sebab lelaki itu cuma diam saja), terus menoleh semula pada Qhalid. Dia pandang Qhalid yang masih tekun menghadap laptop.

"Kau cakap apa?"

Qhalid menoleh pada Aisha lagi. "Okey."

Dia menyendukkan nasi ke pinggan Rafi. Rafi yang sudah pandai makan sendiri, mula memanjat kerusi untuk duduk. Awin yang lebih rendah daripada abangnya, menarik-narik hujung baju Aisha untuk meminta Aisha menaikkannya di atas kerusi.

"Meh sini." Aisha menghulurkan tangannya untuk mendukung Awin. Pantas Awin menyambut. Kanak-kanak kecil itu diletakkan di atas kerusi di sebelah Rafi.

Aisha menuang sedikit sup ayam untuk Rafi dan Awin. Awin masih belum pandai makan sendiri, jadi Aisha menyuap anak buahnya itu makan. Melihat mereka makan dengan penuh berselera, cukup menyeronokkan Aisha.

Dia sebenarnya jarang memasak di rumah ini. Sebab kalau dia memasak pun, tiada siapa yang akan makan. Qhalid memang takkan pernah nak sentuh masakannya. Dulu masa awal-awal mereka berkahwin, pernah jugalah Aisha memasak. Tapi Qhalid tak pernah makan apa yang dimasak itu. Qhalid lebih rela makan di luar. Sebab itu dia tak pernah memasak untuk Qhalid lagi.

Kalau dah orangnya Qhalid tak suka, segala apa yang berkaitan dengan dirinya pun Qhalid tak akan suka juga kan?

Yalah, dia ini tak secantik Syuha yang macam Intan Ladyana itu. Dia ini cuma perempuan bodoh dan kurang ajar. Tak pandai jaga maruah pula. Manalah Qhalid mahu bercakap dengan perempuan kurang ajar macam dia ini?

DIA BERDIRI TEGAK DI RUANG TAMU. Selepas dia mengunci pintu dan berpaling, baru dia perasan yang Aisha ada di ruang itu. Bertiga dengan Rafi dan Awin. Dia memang dah maklum dengan kedatangan anak-anak buahnya itu.

Sampai Bila? [2014]Where stories live. Discover now