Bab 10

1.6K 74 1
                                    

"LAMBAT SIKIT? OH, TAK APA. Tak kisah. Okey. Nanti pesan kat Abang Jai drive elok-elok. Bye." Aisha menekan butang kanan. Dia meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. Dan ketika itulah dia baru perasan yang Qhalid sedang berdiri di belakangnya.

"Kak Long lambat?" tanya Qhalid.

Aisha mengangguk. Dia tak tahu nak tafsirkan apa melalui pertanyaan Qhalid itu. Sama ada Qhalid tak suka sebab Rafi dan Awin akan lebih lama di sini, ataupun dia menganggap dua orang kanak-kanak itu hanya akan mengganggu ruang peribadinya di rumah. Tapi hari itu Qhalid juga yang memberi persetujuan semasa Kak Long meminta tolong untuk menjaga Rafi dan Awin. Takkanlah dia tak suka dengan anak-anak buahnya yang comel itu?

Dan satu lagi. Qhalid semakin rajin nak bercakap dengannya sekarang.

Pelik.

Mendengarkan Kak Long akan lambat pulang dan lambat menjemput anak-anaknya, Aisha terus masuk ke dalam bilik. Dia mengumpulkan baju-baju kotor Rafi dan Awin yang mereka pakai semalam. Pada awalnya, dia fikir Kak Long akan sampai waktu tengah hari. Sebab itu dia tak membasuh pakaian kotor anak-anak buahnya sebab risau tak sempat kering.

Apabila Kak Long dah confirm akan sampai lambat, sempat saja kalau dia membasuh baju Rafi dan Awin. Cekap saja tangannya membawa baju-baju itu ke bilik air. Dia terus merendam pakaian itu di dalam baldi.

Qhalid muncul di depan muka pintu bilik air. Aisha agak tersentak sekejap apabila melihat Qhalid di situ. Dia semakin pelik dengan perangai aneh Qhalid.

"Kak Long balik bila?" tanya Qhalid.

"Err... maybe dia sampai malam kot." Paip air ditutup. Baldi diletakkan di hujung sudut bilik air .

Qhalid mengangguk. "Aku nak bawak budak-budak itu turun."

"Heh?"

"Nak pergi kedai kejap. Nak kirim apa-apa tak?"

AISHA DUDUK BERSILA DI BIRAI KOLAM. Tangannya memegang erat pinggang Awin. Awin pula rasa sangat teruja apabila hujung kakinya mencecah permukaan air kolam renang. Anak buahnya itu seronok menendang air hingga air kolam renang itu berkocak. Sekali sekala tangan Aisha pula yang mengocak air.

"Cik Lang, adik nak mandi macam abang tu." Awin bersuara manja. Jari telunjuknya yang kecil dan comel menuding ke arah Rafi yang sedang bermain air di tengah kolam. Rafi nampak seronok benar 'berendam' di dalam kolam itu. Sesekali ketawa Rafi kedengaran apabila Qhalid bergurau dengannya.

Ya, Qhalid. Lelaki itulah yang menjadi 'pelampung' Rafi. Mereka berdua sedang seronok berenang di kolam renang bawah apartmen Qhalid ini.

Selepas balik dari kedai tadi, Rafi dan Awin terus-terusan bercerita tentang kolam renang yang mereka nampak di bawah. Dua orang kanak-kanak itu terus menggiat Aisha supaya membawa mereka berjalan-jalan di bawah. Aisha pula memang bercadang nak membawa Rafi dan Awin bermain di taman permainan petang nanti. Baru saja dia mahu berjanji dengan Rafi dan Awin, Qhalid tiba-tiba menyampuk,

"Abang dengan adik nak berenang kat swimming pool?"

Dan jawapan dua beradik itu telah berjaya membawa mereka ke sini.

"Cik Lang..." Awin memanggil lagi. "Adik nak mandi macam abang," kata Awin lagi apabila Aisha tak memberi respons pada permintaannya tadi.

Aisha menoleh pada Awin. Dia mengusap lembut kepala kanak-kanak itu. Bukan dia sengaja tak benarkan Awin bermain air di dalam kolam renang itu. Tapi... yalah, siapa yang nak mengawasi Awin di dalam kolam nanti? Kalau nak suruh Qhalid, lelaki itu sedang mengawasi Rafi. Takkan nak suruh Qhalid menjaga dua orang kanak-kanak itu sekali gus?

Sampai Bila? [2014]Where stories live. Discover now