Lelaki Langit Bumi (Terbit E...

By girangfashali

99.7K 2.5K 764

DIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua... More

Bab 1.1 - Siap untuk Pergi
Bab 1.2 - Jakarta
Bab 2 - Dia
Bab 3 - Menelah Jiwa
Bab 4 - Blogger?
Bab 5 - Permintaan Gila
Bab 6 - Lamaran Bismillah
Bab 7.1 - Ole-ole dari Jakarta
Bab 7.2 - Orang Asing
Bab 8 - Tujuh Hari
Bab 9.1 - Telat dan Macet
Bab 9.2 - Ruang dan Peluang
Bab 10 - Bibik Murni
Bab 11 - Berdua
Bab 12 - Udang
Bab 13.1 - Keropok Lekor? Neko-neko?
Bab 13.2 - Mengingati Dia
Bab 14 - Bukan Marsha
Bab 15 - Tekad
E-book Lelaki Langit Bumi
Bab 17 - Pakatan Berdua
Bab 18 - Saya Bukan Musuh
LLB di E-Sentral
Bab 19
Bab 20
Cuplikan #1
Cuplikan #2
Cuplikan #3
Hadiahkan LLB kepada Si Dia
Cuplikan #4
Extraordinary Moments

Bab 16 - Peminat Setia

897 81 30
By girangfashali

BAHRI membaca akhbar di lobi Chamar Entertainment. Sudah menjadi kebiasaannya menghabiskan masa di situ sementara menunggu Ariyyan. Keadaan di Chamar Entertainment hari itu memang sibuk. Jadual studio agak padat kerana Ariyyan terlibat menerbitkan lagu beberapa pendatang baharu dunia muzik.

'Kang nggak mahu makankah? Sedari pagi lambungnya nggak diisi.' Bahri terjenguk-jenguk sambil menanti kelibat Ariyyan. Sekejapan dia mengerling jam dinding. Waktu mula merangkak hampir ke tengah hari. Lehernya dipanjangkan mengintai Ariyyan yang berada di dalam studio rakaman.

'Mungkin bentar lagi. Baik aku nunggu kang di pantri.' Dia memutuskan sendiri.

"Aku mau makan bentar, Mok." Kedengaran suara Ariyyan dari balik pintu studio yang terbuka, memaklumkan hasratnya untuk berehat seketika kepada Timok, salah seorang jurutera bunyi yang bertugas di situ.

Bahri tersengih. Bila-bila masa dari sekarang pasti Ariyyan akan masuk ke pantri. Ariyyan kalau bekerja tidak suka keluar ke mana-mana. Dia enggan masa terbazir di jalanan. Tambahan pula, tahap kesesakan lalu lintas di Jakarta sukar dijangka. Lebih baik masa yang ada digunakan untuk berkarya atau melunaskan kerja-kerja yang menimbun.

Majikannya itu tidak cerewet dalam memilih makanan. Apa sahaja di dalam peti sejuk boleh dijadikan alas perut. Semasa arwah Marsha masih hidup, dia kerap meminta bantuan Bahri memenuhkan peti sejuk di pantri agar bekalan makanan dan minuman Ariyyan tidak putus. Malah, Marsha pasti membawa pelbagai roti, kuih-muih, biskut dan snek serta jus minuman setiap kali berkunjung ke situ.

"Stok lambung Ariyyan!" Itulah kata-kata Marsha apabila muncul menjinjing dua tiga beg plastik besar di tangan. Paling tidak, tersedia makanan untuk dijamah oleh si suami buat mengisi perut tatkala dia berasa lapar.

Ariyyan melangkah masuk ketika Bahri sedang asyik memikirkan arwah Marsha. Dia yang sejak awal bersedia dengan makanan yang dikirim Diha segera menyuapkan cebisan lempeng ke mulutnya. Biar Ariyyan nampak dia sedang menjamu selera. Barulah kelihatan tidak ketara dia menunggu Ariyyan di situ.

"Eh, Kang Ariyyan! Jemput makan, kang!" Beria-ia dia mempelawa Ariyyan makan. Dalam hati, Bahri tersenyum membayangkan lakonannya. 'Bisa menang award, nih! Kak Diha pasti bangga sama aku.'

"Baru makan, Bahri? Udah telat ni," tegur Ariyyan. Langkah diatur ke peti sejuk. Sebotol air mineral dikeluarkan, diteguknya laju buat menghilangkan dahaga. Kemudian, dia duduk di hadapan Bahri.

"Iya kang. Kang udah makan? Yuk makan bareng saya. Banyak nih saya bawa lempengnya," jawab Bahri mengajak Ariyyan makan bersama. Dia sudah pun meletakkan sekeping lempeng di atas piring. Dihulurkan piring itu kepada Ariyyan.

"Ini kang. Makan sama sambal ikan teri," ujar Bahri bersungguh-sungguh. "Begini deh terangkatnya!" Kedua-dua ibu jari membuat isyarat bagus. Sedaya upaya dia mempromosikan lempeng Diha.

"Udah, Bahri. Aku nggak tahan makan pedas." Ariyyan mengangkat tangan. Menolak apabila Bahri menambah sambal ikan bilis ke piringnya.

"Rasain dulu, dong. Nggak pedas mana. Lempengnya kalau dimakan kosong aja, nggak asyik!" saran Bahri. Misi perlu dilaksanakan sehingga berjaya.

Ariyyan mencubit sedikit lempeng lalu memasukkannya ke dalam mulut. Dia mengunyah perlahan. Sedap. Gabungan aroma dan rasa lemak lempeng sungguh menambat selera. Ada senyuman kecil terbit di bibir. Kali ini dia menjamah lempengnya dengan sedikit sambal. Ariyyan menjungkitkan kening. Dia mengunyah suapan tadi penuh nikmat sambil memandang Bahri.

"Benar, kan?" Bahri mengusiknya.

Ariyyan mengangguk lantas menyambung suapan. Meskipun dia tidak tahan makan makanan pedas, tetapi hidangan itu berupaya menjentik deria rasanya. Sekejap sahaja sekeping lempeng bersambal habis dimakan. Bahri meletakkan sekeping lagi lempeng di piring Ariyyan. Biar majikannya makan puas-puas hidangan yang disediakan oleh sang isteri.

Ariyyan kepedasan. Dia menyeka butir-butir peluh di dahi. Sesekali dia meneguk air bagi menghilangkan rasa pedas. Lempeng dihabiskan tanpa teragak-agak. Tersenyum Bahri melihat kelakuannya.

"Enak kayak gini, aku bisa makan setiap hari, Bahri!" komen Ariyyan. Dia tersandar kekenyangan. Bahri tersengih. Strateginya menjadi. Nanti akan dikhabarkan kepada Diha. Tentu Diha gembira mengetahui reaksi Ariyyan sedemikian.

"Sejak kapan kamu bawa bekalan dari rumah?" Ariyyan bertanya. Sementara itu, sempat mata membaca pesanan ringkas yang baru diterima. Tidak menunggu lama, jemari pantas menaip balasan pesanan ringkas tersebut. Kemudian, pandangannya dihalakan semula ke wajah Bahri.

"Alah, sekali-sekala kang. Bisa ekonomi," balas Bahri sekadar berbahasa.

Berkerut dahi Ariyyan memandangnya. "Apa kamu punya masalah wang? Mau aku naikkan gaji?"

"Nggak, kang! Nggak. Bukan begitu maksud saya," nafi Bahri. Aduh, ke situ pula fikiran Ariyyan! Demikianlah sikap prihatin Ariyyan pada insan-insan di sekelilingnya. Dikhabarkan ingin berjimat, Ariyyan segera menawarkan kenaikan gaji kerana bertanggapan dia mempunyai masalah kewangan. Bukan sahaja terhadap para pekerja, malah jika di jalanan mereka terserempak dengan orang yang berada dalam kesusahan, Ariyyan akan menyuruhnya memberhentikan kenderaan untuk menghulurkan bantuan.

"Jangan ngomong begitu loh. Gajinya bulan-bulan sudah lebih dari cukup. Saja saya bawain makanan agar bisa berbagi. Lagian sekarang ini, saya lihat kang makannya nggak menentu. Apa salahnya sekali-sekala nikmati masakan rumah. Yang enak. Yang bisa mengenyangkan," ujar Bahri panjang lebar.

Ariyyan diam. Benar. Dia tidak ingat bila kali terakhir dia betul-betul menikmati makanan yang disediakan dari rumah.

ARIYYAN pulang larut malam lantaran terpaksa menyudahkan tuntutan kerja-kerja di studio. Melewati ruang tamu, dia perasan kipas di ruang itu berputar ligat. Tiada sesiapa di situ. Sewaktu tangan hendak menutup suis kipas, barulah dia ternampak sesusuk tubuh Diha yang berbaring di atas sofa.

"Diha," panggil Ariyyan. Isterinya dirapati. Mata Diha terpejam rapat. Rupa-rupanya Diha tertidur. Di dadanya ada senaskhah majalah hiburan. Kedua-dua belah telinga bersumbat fon telinga yang disambungkan pada iPod berwarna putih di sisi tubuh. 'Pasti iPod kesayangannya,' fikir Ariyyan. Dia mengagak-agak sendiri sudah berapa lama iPod berkenaan dimiliki Diha. Sekarang gajet muzik itu telah dihentikan pengeluaran dan digantikan dengan iPod touch. Tiada lagi rekaan sedemikian dijual di pasaran.

Sesuatu terlintas di minda Ariyyan. Perlahan-lahan dia mencabut sebelah fon telinga Diha dan mendengar lagu yang dimainkan. Lagu ARJUNA – 'Lara'. Ariyyan mengangkat iPod lalu memeriksa kandungan senarai lagu. Wajahnya bertukar riak. Spontan terukir senyuman kecil di bibir. Benarlah kata Armand. Diha meminati lagu-lagunya. Bukan main-main. Bukan cerita rekaan. Hampir 90% daripada lagu-lagu yang tertera merupakan lagu-lagu ARJUNA. Dari album pertama mereka hinggalah ke album terakhir yang berada di pasaran.

Ariyyan menyorotkan pandangan menatap Diha. Pelbagai bentuk emosi melanda perasaannya. Terharu. Bangga. Janggal. Kelakar. Terharu kerana sekurang-kurangnya hasil kerjanya dihargai seseorang. Luahan yang cuba disampaikan melalui interpretasi karya-karyanya difahami. Dia berasa bangga kerana setiap lagu ARJUNA dalam playlist Diha ialah lagu-lagu hasil ciptaannya sendiri. Dia cukup berbesar hati andai lagu yang digubah diterima peminat sebegitu rupa.

Selain terharu dan bangga, Ariyyan berasa janggal menyedari dia kini berkongsi kehidupan dengan peminat setianya. Canggung pula apabila mengenangkan wujud insan lain di rumah ini yang tanpa jemu mendengar lagu-lagu nyanyiannya. Yang lena diulit lontaran suaranya. Dia turut tidak dapat menepis rasa kelakar memikirkan peminatnya yang seorang ini mendengar lagu ARJUNA saban hari. Tidak bosankah?

Dia tahu Diha sekadar meminati lagu-lagunya, bukan mengidolakan dirinya secara peribadi. Semua jelas terzahir melalui tingkah laku si isteri. Pandangan dan renungan Diha bukan seperti pandangan dan renungan seorang peminat teruja mendampingi idola pujaan. Jika diperhatikan, seolah-olah tidak nampak langsung minat terhadap ARJUNA. Mendepani Diha yang acap kali kelihatan selamba bersahaja kadang-kala membuatkan dia ragu, adakah susuk wanita ini benar-benar peminat setianya?

Lama berdiri melayan fikir, Ariyyan menggoncangkan bahu Diha perlahan. Mengejutkannya. Diha berkalih sedikit kemudian menyambung tidur. Ariyyan menggoncangkan lagi bahu Diha. Kali ini lebih kuat. Diha terjaga. Tangannya menggosok mata yang mengantuk. Terpandangkan Ariyyan, Diha bingkas bangun. Segera membetulkan duduk.

"Sorry, sorry. Saya tertidur. Bila awak balik? Dah makan? Nak saya panaskan lauk?" Dalam keadaan separuh sedar, semua soalan diajukan serentak. Tidak sangka dia tertidur di situ. Asalnya dia hanya berbaring sambil membaca majalah. Diha sendiri kurang pasti kala itu pukul berapa.

Bertanggapan yang mungkin Ariyyan dahaga, Diha bangkit dari sofa. Mahu membuatkan minuman untuk suami. Belum betul-betul jaga, penglihatannya berbalam lalu dia hilang pertimbangan. Tubuh Diha terdorong ke depan namun tangan kiri Ariyyan cepat-cepat memautnya. Dia menarik nafas lega. Mujurlah dia tidak tersembam.

Diha memegang lengan Ariyyan kejap, berusaha menstabilkan diri. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Rasa kantuk diusir jauh-jauh. Perlahan-lahan Ariyyan membantunya agar kembali berdiri tegak. Jarak di antara mereka saat itu amat rapat. Wajah kedua-duanya sudah hampir bersentuhan. Buat seketika baik Ariyyan mahupun Diha diam tanpa kata. Hanya deru nafas mereka yang saling bertingkah.

"Tidurnya di kamar. Nanti tubuhmu sakit-sakit," bisik Ariyyan lembut ke telinga Diha. Masih mamai, Diha cuma menganggukkan kepala. Pegangan tangan suami dileraikan sebelum langkah diatur ke bilik.

Ariyyan memerhati hingga kelibat Diha hilang dari pandangan. Entah mengapa dengan tidak semena-mena ada perasaan halus mengusik sanubari. Dia tidak pasti apa dan dia memilih untuk tidak ambil tahu. Memberi ruang pada Diha bererti dia mula menyingkirkan Marsha. Mengkhianati cintanya.

'Maaf, Diha. Aku belum punya ruang di hati ini untuk kamu huni.'

Terjemahan kata:
lambung – perut
sambal ikan teri – sambal ikan bilis

——————————
Nota Girang

Hai semua,
Terima kasih kerana sudi membaca Lelaki Langit Bumi (LLB). Saya harap kalian terhibur. Setakat ini, sejauh mana watak-watak LLB menyentuh kalian? Siapa yang lebih digemari - Diha 'Afina atau Ariyyan? Jangan lupa kongsi di ruangan komen ya.

~ Girang Fashali

Continue Reading

You'll Also Like

1.7K 224 39
Pura-pura kuat akhirnya rapuh Pura-pura tahan akhirnya jatuh Pura-pura bahagia akhirnya luluh
1.8K 196 40
Seisi alam terpaku dan berhenti melihat wajahmu, Kasturi. Cinta pertamaku. Sekilas ikan di air, ku tahu jantinanya. Namun sekilas pandanganmu ke hati...
982 66 7
Imdad Bilal x Elisa Dalili Melihatkan kehidupan Imdad yang sentiasa dilimpahi kasi sayang dalam sebuah keluarga yang sempurna, telah menerbitkan rasa...
1.5M 47.8K 66
Afiq Khairul X Ain Solehah. Mereka berdua diibaratkan seperti kucing dan tikus. Sejak kecil sehingga meningkat dewasa, mereka berdua tidak pernah '...