"Kau ada kelas lagi kan lepas ni?" soal Aralyn seraya duduk berhadapan dengan Qarizh.

"Ada. Lepas Zohor nanti," jawab Qarizh selamba.

"Kenapa?" tanyanya pula.

Mendengar jawapan Qarizh berserta soalan balas yang dilontarkan kepadanya, Aralyn menarik senyuman nipis seraya menyilangkan tangannya ke dada. Jujur la jujur, dia ada benda mahu ditanyakan kepada jejaka dingin itu.

"Qarizh." Berhati-hati, Aralyn menuturkan kata.

"Ya." Qarizh menalakan pandangannya pada Aralyn.

"Erm..." Aralyn menarik nafas panjang lalu menghembuskannya perlahan.

Berat ya berat. Sungguh, berat soalan yang bakal dikemukakan kepada Qarizh Zahwan. Dia takut untuk bertanya, tetapi jika tidak dibuahkan soalan itu, sampai bila-bilalah dia tidak akan mendapat jawapannya. Malu bertanya sesat jalanlah, Aralyn Awliya.

Persoalan sama ada Qarizh akan menjawabnya ataupun tidak, itu bukanlah perkara yang dikisahkannya. Namun, apa yang dipedulikannya ialah sama ada jejaka itu akan marah ataupun tidak dengan lontaran soalan itu. Berdebar jantungnya ingin bertanya, tetapi jika malu mengayuh, perahu hanyut.

Fuh. Bismillah, Aralyn! Setelah diam buat beberapa ketika, Aralyn mengangkat kepada lalu menentang tajam anak mata Qarizh. Pandangan mereka bersabung, namun masing-masing tidak mahu mengalah sehinggalah Aralyn memberanikan diri membuka mulut.

"Kenapa Black bermusuhan dengan kau?" soal Aralyn, berani.

"Kenapa aku adalah target dia?" soalnya lagi.

Tangannya digenggam kemas, mimik mukanya dikekalkan bertenang. Aralyn Awliya tidak boleh lemah dalam hal ini. Dia, pemilik agensi penyiasatan Guardian of Life, seorang yang tidak mudah lemah semangat dalam menghadapi ancaman kumpulan mafia Crow.

Dia, seorang yang berani walaupun cengengnya itu selalu memeningkan kepala Qarizh. Tetapi, dia masih tidak faham mengapakah Black juga turut mentargetkan dirinya sebagai musuh. Adakah kerana dirinya digunakan sebagai umpan untuk melemahkan Qarizh? Sungguh, dia tidak tahu.

"Aralyn." Qarizh memandang tepat wajah gadis di hadapannya.

"Kau nak dengar satu cerita tak?" soalnya pula.

Hah?

Mendengar soalan Qarizh, Aralyn terkaget sendiri. Eh, pak cik ini! Orang tanya dia, dia pula yang bertanyakan soalan. Sudahnya, Aralyn hanya menjongketkan kening seraya menganggukkan kepala. Dengar sajalah, tidak rugi pun mendengar cerita profesor ini.

"Pada suatu hari, ada seorang hero bertopeng separuh muka dan bersenjatakan anak panah sedang berada dalam misi. Tiba-tiba, dia mendapat panggilan daripada partnernya bahawa ada seorang gadis berada dalam bahaya." Qarizh berjeda.

"Dia yang ketika itu sedang sibuk, terpaksa meninggalkan rakan seperjuangannya demi menyelamatkan gadis yang dimaksudkan oleh partnernya itu." Qarizh berjeda lagi seraya memandang lagi ke wajah Aralyn.

"Nasib baiklah rakannya itu pun hero juga. Jadi, tidaklah dia berasa terkilan sangat apabila terpaksa meninggalkan misi tersebut," sambungnya lagi.

"Gadis itu akhirnya berjaya diselamatkan. Tapi itulah, bengang juga dia. Kenapalah gadis itu suka membuat kerja gila? Apa kes tengah-tengah malam buta pergi ke tempat berbahaya? Sudahlah tempat tu lokasi 'panas'." Qarizh menarik senyuman sinis melihat wajah Aralyn berkerut-kerut mencerna maklumat.

"Namun, tindakan si hero menyelamatkan gadis itu membawa padah. Rupa-rupanya, hero dan gadis itu sedang menyiasat hal yang sama. Kerana itulah, penjahat turut menjadikan si gadis sebagai sasarannya." Qarizh menyudahkan ceritanya seraya bangun dari kerusi.

HI, ENCIK PROFESSOR!Unde poveștirile trăiesc. Descoperă acum