Bab 12 [2]

2.8K 394 121
                                    

Seminggu berlalu sejak kejadian mengerikan tersebut berlalu.  Atas kedegilan seorang Qarizh Zahwan, pihak hospital akhirnya membenarkan sahaja profesor tersebut keluar dari hospital walaupun kecederaannya masih belum sembuh sepenuhnya.

Pak Moin dan Mek Nab, kedua-duanya tidak tahu mahu bagaimana lagi dikata. Anak susuan mereka itu terlalu degil. Nasib baiklah dalam seminggu itu, Qarizh berkelakuan baik dengan menurut saja kata Pak Moin tanpa membantah.

Disuruh makan ubat, makan. Cuci luka? Tak ada hal, boleh buat sendiri. Berehat secukupnya di rumah? Alhamdulillah diturutkan saja permintaan Pak Moin. Seorang Qarizh Zahwan ini hanyalah tidak sukakan hospital, itu saja sebenarnya.

Namun begitu, dalam sakit-sakit pun, kerja hakiki dan kerja luar tetap dibuat walaupun agak perlahan. Ya... dia sebagai seorang pensyarah, tetap saja mengadakan kelas bagi kelas yang diajarnya walaupun berbentuk online.

Kerja adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah melalui universiti tempat dia bekerja. Jadi, sekali-kali dia tidak akan mengabaikan amanah tersebut. Lagipun, peperiksaan akhir bagi pelajarnya sudah menghampiri.

Dia tidak mahu anak didiknya tertinggal dalam pelajaran seterusnya menjejaskan keputusan peperiksaan. Kecuali Amirul Ghafir, semua pelajarnya wajib menyertai kelas online yang dibuatnya.

Pilih kasih? Tidaklah. Buat apa Amirul menghadiri kelas online kalau sekarang ini pun, budak itu setia menemaninya tanpa ada tanda mahu berpisah. Harey betul, dasar budak cengeng!

"Amirul," panggil Qarizh geram.

"Ya, Prof," jawab Amirul sambil menggaru-garu kepala dan menguap panjang.

Qarizh menggeleng kepala melihat figura sememeh Amirul yang baru bangun tidur. Rasanya baru sekejap tadi dia meninggalkan Amirul untuk mengkaji kajian kes di perpustakaan mini rumah. Bila dia kembali ke sini, elok pula si Amirul terlentok di buku.

"Aku suruh kau baca buku, kau pergi tidur." Qarizh menarik kerusi lalu perlahan-lahan duduk.

"Hehehe." Amirul menayangkan muka tidak bersalah.

"Pergi basuh muka. Macam orang tak mandi setahun dah aku nampak kau ni," kata Qarizh lalu kembali membelek buku yang setebal tiga inci di hadapannya.

Buku tebal itu merupakan himpunan kajian kes-kes jenayah lama yang berlaku sekitar tahun 90-an di seluruh Malaysia. Jika diperhatikan kes jenayah yang berlaku sekarang, terasa dejavu saja. Kes ini jugalah yang akan dibentangkan kepada pelajarnya sekejap lagi.

"Prof... tak rindu Cik Aralyn ke?" Tidak mempedulikan suruhan Qarizh, Amirul bertanya soalan yang mampu menyesakkan dada profesornya.

"Tak," jawab Qarizh sepatah.

"Kenapa?" soal Amirul, juga sepatah.

"Kau nampak ni?" Qarizh mengetap bibir seraya menayangkan tablet terbaru milik Amirul ke muka budak cengeng itu.

"Nampak," jawab Amirul polos.

"Kalau kau tanya lagi hal Aralyn, aku akan jahanamkan tablet kau ni!" ugut Qarizh tegas.

"Okey... okey! Tanya sikit pun nak marah..." Amirul menarik muka dan cepat-cepat tabletnya dirampas dari tangan Qarizh.

Figura Qarizh yang memandangnya garang dibiarkan sepi. Sejujurnya, dia pun tidak pasti kenapa profesornya semacam sensitif saja apabila nama Aralyn disebut. Nak kata bergaduh, elok saja berbaik seminggu yang lalu. Tambah pula, Qarizh siap memberikan rantai loket lagi.

"Pergi basuh muka, Amirul. Sambung balik study kalau kau tak nak 'telur ayam'," arah Qarizh lagi dengan pandangan semakin tegas.

Amirul memuncungkan mulut. Sejak keluar dari hospital, Qarizh ini asyik menyinga saja kerjanya. Nasib baik dia sayang, kalau tidak memang sudah lama dia angkat kaki. Dengan malas, Amirul terus bangun dari kerusi lalu menuju ke tandas.

HI, ENCIK PROFESSOR!Where stories live. Discover now