"Khaifa, aku lupa nak maklumkan... Salahuddin baru dapat motosikal baharu," tambah Hazim.

"Oh," Khaifa mengangguk. Dia tidak sedar pula akan hal itu dek sibuk menguruskan bisnes di luar kawasan.

"Kau dah tak boleh ejek dia lepas ni. Pelan kau nak sogok dia dengan motor percuma gagal." Haikal tersenyum sinis. Mahu tahu jaga apa perancangan ketua mereka. Hidangan air sirap limau ais dibawa lebih dekat lalu bibir menyedut air buat hilangkan dahaga.

"Jim, kau korek lagi semua rahsia Salahuddin. Aku nak segalanya ada di hujung jari aku keesokan hari. Kau ada 48 jam untuk dapatkan maklumat budak tu. Biar nanti... Dia sendiri yang akan datang dekat aku. Aku nak kira balik segala barangan kita dan aku perlukan Salahuddin secepat mungkin." Arahan telah dikeluarkan Khaifa. Dia mengangkat panggilan yang menerpa ke skrin utama dengan isyarat mata pada Haikal. Air pesanannya tidak berusik lagi.

Satu beg hitam di bawah meja berisi barangan yang tidak diketahui digalas Haikal menuju ke sebuah kereta bercermin gelap. Pacuan empat roda itu terparkir tidak jauh dari kedai warung. Inilah pembeli yang dinanti Khaifa sejak tadi. Dengan bertemankan Haikal dan Hazim, segalanya akan berjalan lancar. Haikal kelihatan semakin mahir melakukan kerja kotor itu meskipun baru memasuki kumpulan Khaifa sebulan yang lalu. Upah yang lumayan menjadi penyuntik semangat.

Ada satu kod rahsia diberikan sebelum transaksi itu dibuat. Penuh berhati-hati, setiap barang diperiksa terlebih dahulu.

Jauh di meja makan, Hazim leka menyelak buku notanya. Dia hendak pastikan di mana lagi rahsia Salahuddin boleh diperoleh dalam tempoh waktu dua hari. Sambil menanti si Haikal selesai berurusan dengan pelanggan, air teh panas dihirup remaja lelaki itu.

"Aku rasa... Aku pernah dengar yang Salah pernah ada abang kandung. Kau tahu tak?" soal Khaifa pada Hazim. Ingatannya tidak berapa kuat. Entah dari siapa gosip luar itu didengari.

Kedua-dua bahu dijongketkan Hazim menyatakan bahawa dia tidak tahu. "Tak pernah pula aku dengar tentang tu. Ada lagi rupanya perkara yang aku tak beritahu..."

"Apa?" Khaifa sendiri tidak tahu bagaimana rupa ayah kepada bakal ahli barunya itu.

"Ayah Salah sakit. Sebab tu lah kita jarang nampak ayah dia sejak dari tingkatan satu lagi. Bila ada perjumpaan ibu bapa, yang datang hanyalah ibu atau kakak Salah."

"Sakit apa?"

"Aku tak pasti. Tapi... Aku cuba dapatkan maklumat tentang ayah dia pula esok," ringkas Hazim membalas.

***

Herot bibirnya ke tepi buat beberapa ketika. Dahi pula berkerut seribu.

"Qil, ajarlah betul-betul," marah Salahuddin. Kekura tangan sahabatnya diketuk dengan sebatang pen.

Hairan melihat mata Aqil seakan terpaku pada sesuatu. Buku teks Biologi di atas meja langsung diabaikan remaja lelaki itu.

Lalu Salahuddin juga menoleh ke belakang. Gamaknya ada sesuatu yang lebih menarik di belakang perpustakaan berbanding ulangkaji pelajaran. Lama juga akal Salahuddin hendak membuahkan asbab kenapa dan mengapa Aqil bertingkah begini.

Beberapa rak buku berdiri gah di bahagian sana, menempatkan pelbagai jenis bahan bacaan daripada fiksyen hingga ke bukan fiksyen. Sayang sekali pelajar sekolah di sini tidak pandai menggunakan kemudahan yang ada dengan berhemah. Habis buku-buku yang tebal itu jadi tunggang langgang bagai dilanda ribut musim tengkujuh.

"Kau ni kenapa Qil... Kau nak tolong budak dekat belakang susun buku juga ke?" Hujung kening yang tidak gatal digaru Salahuddin. Kekura Aqil kembali diketuknya lagi dan lagi.

Aku bukan Nain✓  (new story + OG) Nơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ