"Sayang, ibu okay je kalau abang balik asrama nanti. Tak apa..." Kening Iskandar diurut Raudhah agar kerutannya berkurang. "Ibu ni dah lahirkan dua orang anak, bukannya ibu ni tak pernah beranak sebelum ni."

"Abang dah ada seorang adik, abang tahulah nak jaga adik-adik abang. Hm..." Keluhan halus dilepaskan Iskandar. Entah apa yang difikirkannya pun Raudhah tidak mengerti. "Abang boleh ambil MC, abang buat-buat sakit. Boleh balik rumah jaga ibu."

"Apa macam tu..." Raudhah menahan tawa. Dia menusukkan jarum ke dalam segulung benang. "Doktor tu bukannya senang-senang nak percayakan abang. Budak muka seposen macam ni takde siapa nak layan. "

"Kawan abang kata kalau letak sabun dekat ketiak, esok boleh demam. Abang tak cuba lagilah setakat ni. Malam nanti abang tidur dengan sabun, nak tengok menjadi ke tak." Sesudah Raudhah selesai menjahit, Iskandar mahu menyesak di atas riba ibunya. Tidak kiralah perut itu memboyot atau tidak, riba ibunya milik dia seorang sahaja. Kelopak mata diturunkan Iskandar. Selesa mengalaskan kepala pada sipi peha, badan mula meringkuk ke arah bahu sofa.

"Buatlah merepek-repek kalau nak kena dengan ibu," potong Raudhah. Kalau dah tahap hendak memudaratkan diri sendiri, sememangnya seorang ibu akan memarahi anaknya.

"Abang buat untuk ibu. Untuk bakal adik abang ni," ujar Iskandar.

Tidak semena-mena pipi remaja 14 tahun itu dicubit Raudhah.

"Ibu... " Kepala menggeleng ke kiri dan kanan. "Janganlah kacau abang nak tidur." Apabila dicelikkan mata, pandangannya disajikan dengan wajah muram Raudhah. Gelabah juga Iskandar dibuatnya. Dia bingkas bangun dan memeluk tubuh wanita kesayangannya dari sisi.

"Abang minta maaf, abang minta maaf, abang minta maaf..." ulang Iskandar berkali-kali. Pipi disandarkan pada bahu sang ibu.

"Ibu tak nak abang sakit, hati ibu tak tenang nanti nak lahirkan baby," kata Raudhah. Entah mengapa, cepat sahaja emosinya terusik jika bermain dengan perihal kesihatan Iskandar. Mata menekur riba, jatuhnya pandangan pada perut yang telah membukit di sebalik kain baju. Setiap kali dia bernafas, perutnya akan teralun juga. Berharap anak dalam kandungan ini tidak akan mewarisi penyakit yang sama seperti Iskandar.

"Abang sihat je ni. Janganlah.... Jangan menangis. Abang minta maaf," pujuk Iskandar lagi. Bahu ibunya diusap perlahan.

Wanita itu mengetapkan kedua-dua bibir. Telapak tangan melekap pada abdomen bawah. "Janji jangan cari penyakit?"

"Sakit tu yang cari abang, bukan abang cari dia."

"Abang loyar buruk macam ni, ibu tak nak kawan. Nah seluar abang." Seluar trek hitam di tangan sofa diserahkan ke riba Iskandar. Raudhah menarik muka dengan balasan anak sulungnya.

"Tak... Tidak... Jangan pergi mana-mana." Pelukan dieratkan tidak mahu lepas. "Jangan tinggalkan abang sendirian di sini, bu. Abang perlukan ibu."

"Buat lagi..."

"Mana ada. Abang gurau sikit pun tak boleh ke? Bila mengandung ni makin cepat ya ibu nak merajuk? Dah lah nanti kalau baby keluar, abang akan diduakan," omel Iskandar. Hujung vermilion sengaja diherotkan ke tepi dengan mata yang dipencilkan memandang perut bondanya.

"Ibu ni setia orangnya. Jadi abang tak perlu risau," balas Raudhah. Hatinya dibaluti kasih sayang anak sendiri. Pelipis Iskandar dikucup sekali.

"Apa nama baby ni? Dah ada nama ke?"

"Tekalah." Senyuman si bonda membalas pertanyaan Iskandar. Penat menegakkan tulang belakang, dia bersandar di bahu sofa. Anak lelakinya menempel di sebelah dengan pelukan.

"Ada klu tak? Kalau betul dapat apa?" Seronok pula main teka teki begini. Hangat tubuh dua beranak itu berkongsi rasa.

"Klunya... Nama baby ni ada persamaan dengan nama abang."

"Ha?" Iskandar inginkan klu yang lebih jelas. "Hm, susahlah klu ibu ni. Apa yang sama? Bermula dengan huruf 'I' juga? Atau nama depan dia pun 'Iskandar'. Nampak sangat ibu nak menduakan abang."

"Mana ada, sayang. Cuba ingat baik-baik... Kenapa nama abang Iskandar Dzulkarnain?" Kepala direhatkan pada kepala Iskandar. Baru Raudhah sedar anaknya semakin dewasa. Baru berusia 14 tahun sudah tinggi begini. Namun, hati seorang ibu itu yakin sedewasa mna pun Iskandar, Iskandar akan kekal manja begini.

" Iskandar Dzulkarnain. " Nain berfikir sejenak. "Raja Iskandar Dzulkarnain... Seorang tokoh pahlawan Islam."

"Dah nak dekat dah dengan nama baby. Sikit je lagi..."

"Pahlawan Islam juga?" Sel-sel otak Iskandar ligat membuat rantaian di minda. Skopnya agak luas sekali. Dalam era kegemilangan Islam, begitu banyak lelaki hebat.

Kepala dijatuhkan Raudhah sekali. Senyumannya menanti jawapan.

"Muhammad Al-Fateh? Umar Al-Khattab? Salman Al-Farisi? Abu Ubaidah? Ali? Abu Bakar?" tebak Iskandar bertubi-tubi.

"Sultan Al-Fateh ialah pembebas Konstatinopel. Orang yang ibu maksudkan ialah pembebas Baitul Maqdis."

Skop jawapan menjadi semakin kecil. Hanya satu nama yang kini berada di minda. Seorang pahlwan Islam yang begitu hebat dalam perang salib. Lahirnya pula di tanah Aleppo. Tidak lain tidak bukan, dialah orangnya. "Sultan Salahuddin Al-Ayyubi."

"Pandainya abang." Raudhah tersenyum kagum. Tidak sangka Iskandar boleh meneka dan ingat sedikit sebanyak sejarah Islam.

"Oh, jadi nama baby ni Salahuddin ke? Wau, sedapnya dengar. Abang nak panggil Salah je la nanti," cadang Iskandar. "Salahuddin." Nama bakal adiknya meniti di bibir sebelum senyuman terukir. Tidak sabar mahu bertemu makhluk kecil yang bakal membawa nama Salahuddin.

"Abang jaga adik baik-baik ya nanti?" pesan Raudhah.

Hati merindui dia.

Wanita setengah abad itu mengesat tubir mata. Sukarnya apabila insan kesayangan pergi menghadap Ilahi sedang dia belum sempat melihat Iskandar Dzulkarnain menjadi dewasa.

"Abang, ibu rindu abang... Sangat-sangat," bisik Raudhah. Butir mutiara berlinangan di pipi. Tangan hangat anak sulungnya tidak ada di sini lagi. Semua tangisan perlu dikesat sendiri.

Semoga nanti peluang hadir sekali lagi untuk tubuh yang dimamah usia ini mendakap Iskandar Dzulkarnain. Untuk mereka bermanja seperti selalu. Dengan dia, cinta hati pertama.

***
Maaf  prolog terpanjang,,
votexkomen

Rindu Nain :)

Aku bukan Nain✓  (new story + OG) Where stories live. Discover now