KoLonG - Part 10

7 0 0
                                    

SAMPAI sahaja di sudut tersebut, buntang mata Nenek Kebayan kerana apa yang ditebak tidak mengena. Lain yang disangka, lain pula yang dilihat dek pandangan mata.

Kelihatan satu makhluk berupa bayi kecil yang kulitnya hangus terbakar seakan telah disalai sedang bertinggung di sudut tersebut. Nenek Kebayan merenung tajam ke arah makhluk itu yang mana ia pun sedang mendongak memandang kepada Nenek Kebayan. Tiada riak bahawa makhluk itu ingin mengapa-apakan Nenek Kebayan.

“Siapa kau? Apa tujuan kau berada di sini?” Nenek Kebayan bertanya tegas.

Makhluk itu hanya menunjuk ke arah tingkap yang luas terbuka di sebelah kiri. Terus Nenek Kebayan melihat ke arah yang ditunjukkan oleh makhluk tersebut. Dia tersentak apabila terpandang satu kelibat manusia yang sedang berdiri berselindung di sebalik pokok pisang sambil memerhatikan ke dalam bilik tersebut.

Puas Nenek Kebayan memicingkan pandangan matanya untuk mengenalpasti siapakah gerangan kelibat manusia itu. Namun sia-sia sahaja kerana suasana gelap dan terlindung di balik pokok pisang, menyembunyikan rupa kelibat manusia tersebut. Untuk Nenek Kebayan keluar dan mendapatkan kelibat tersebut adalah mustahil juga.

Nenek Kebayan tidak mahu terjadi seperti kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran nanti. Nenek Kebayan kembali memandang kepada makhluk berupa bayi di hadapannya itu. Setengah daripada kata hatinya meragukan kewujudan makhluk itu hanya sekadar menyinggah. Manakala setengah lagi hatinya berkata, mungkin ada udang di sebalik batu.

Seketika kemudian, Nenek Kebayan kembali memusatkan pandangannya mencari makhluk penanggal yang masih terkurung di dalam bilik tersebut. Perhitungannya dengan makhluk itu masih belum selesai lagi. Dalam perkiraan Nenek Kebayan, setelah dia berhitung dengan penanggal nanti, barulah dia berhitung pula dengan makhluk berupa bayi tersebut.

Skrettt…!! Skreettt…!!

Lekas Nenek Kebayan memandang ke arah datangnya bunyi tersebut. Nenek Kebayan tersenyum meleret. Langkahnya diatur setapak demi setapak dengan perlahan menghampiri almari baju. Sampai di hadapan almari baju itu, sepantas kilat Nenek Kebayan membuka kedua-dua daun pintu almari.

Bergentayangan kepala penanggal di tengah perut almari dengan riak muka terkejut kerana Nenek Kebayan berjaya menemuinya di tempat ia menyorok. Tanpa sempat ia melarikan diri, satu libasan yang memeritkan telah hinggap di atas kepala serta usus-ususnya. Melengking jeritan kesakitan bergema memenuhi ruang bilik itu.

“Cukup…! Cukup…! Sakiittt… Tolong jangan pukul aku lagi," rayu kepala penanggal tersebut. Nenek Kebayan menghentikan libasannya.

“Aku janji, aku takkan kacau keluarga ni lagi. Aku akan pergi balik ke tuan aku. Lepaskan aku.” Sekali lagi penanggal itu merayu sambil membuat janji.

Nenek Kebayan hanya tersenyum sinis. Lalu mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu. Sekali lagi Nenek Kebayan melibas bertalu-talu ke arah kepala penanggal tersebut. Terjerit-jerit penanggal di hadapannya itu dalam kesakitan setiap kali dilibas. Tetapi kali ini, suara yang keluar dari mulut penanggal itu berupa suara seorang perempuan tua.

Setelah puas melibas ke arah kepala penanggal itu, barulah Nenek Kebayan berhenti dan melepaskan ia pulang kepada tuannya. Sebelum itu, Nenek Kebayan telah memberi amaran keras kepada makhluk itu untuk disampaikan kepada tuannya nanti.

“Jangan cuba menguji aku lagi, lain kali aku takkan berbelas kasihan lagi. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Sudah!! Pergi kau pada tuan kau dan sampaikan pesan aku tadi kepada dia.” Nenek Kebayan bersuara garang sambil menghalau kepala penanggal tersebut. Pantas kepala penanggal itu terbang keluar dan menghilang di sebalik kepekatan malam.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 06, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

KoLonGWhere stories live. Discover now