TIBA di warung Wak Porjo, hari sudah menginjak ke tengah hari. Semakin ramai pelanggan yang mengunjungi warung tersebut untuk makan tengah hari. Nenek kebayan cuba mencari-cari tempat untuk dia duduk melepaskan lelah. Mujur ada satu kerusi dan meja kosong di bawah pokok. Tersenyum nenek kebayan kerana tempat itu agak strategik kerana sedikit tersorok seperti yang dia mahu.
Semasa isteri Wak Porjo datang mengambil pesanan dari nenek kebayan, nenek kebayan segera bertanya perihal rumah sebelah hutan itu kepada isteri Wak Porjo. Isteri Wak Porjo membisik ke telinga nenek kebayan sambil matanya meliar melihat ke arah pelanggan yang lain. Seakan takut-takut untuk memberitahu siapa pemilik rumah di tepi hutan sana, tampak jelas wajah kebimbangan terlukis di wajah perempuan tersebut. Nenek kebayan mengerti maksud tingkah laku isteri Wak Porjo itu. Dia tidak bertanya apa-apa lagi selepas itu.
Nenek kebayan berasa tidak sedap hati sahaja semasa menunggu pesanan airnya sampai. Dia seakan merasakan ada yang sedang memerhatikan dia. Puas dilihat sekitar namun tidak ternampak sesiapa yang sedang memerhatikannya itu. Setelah usai minum dan membayar harga minumannya, segera nenek kebayan meninggalkan tempat tersebut. Masih dia merasa tidak sedap hati.
Tiba di satu selekoh denai, nenek kebayan segera menyusup ke dalam semak samun dan menunggu siapa gerangan yang mengekorinya dari tadi. Dari jauh, nenek kebayan terperasan seorang pemuda sedang mencari-cari kelibatnya yang tiba-tiba sahaja menghilang itu. Nenek kebayan keluar dari tempat persembunyiannya dan memegang bahu pemuda itu dari belakang.
“Siapa kamu? Kenapa kamu mengekori aku? Apa mahumu?” Bertubi-tubi soalan diajukan pada pemuda yang ditangkapnya itu.
“Maaf, nenek. Maafkan saya. Saya tak berniat jahat pun. Saya cuma nak minta tolong nenek je. Aduh! Sakit, nek. Bahu saya,” Talib bersuara sambil merayu kepada nenek kebayan.
Nenek kebayan merenung wajah pemuda di hadapannya itu. Perlahan dia melepaskan genggaman tangannya dari bahu Talib. Berkerut dahi Talib menahan sakit di bahunya. Sungguh dia tidak menyangka, nenek setua itu yang sudah bongkok badannya mempunyai tenaga dan kekuatan seperti tiga orang lelaki muda berbadan tegap. Tidak berani dia bertentang mata dengan nenek kebayan.
“Kamu hendak minta tolong aku apa?” Nenek kebayan bertanya lembut.
“Emm.. Saya hendak minta tolong nenek jadi guru saya." Tergagap juga Talib ingin menyatakan hasratnya kepada nenek kebayan. Bimbang permintaannya ditolak mentah-mentah.
“Kenapa kamu nak berguru ilmu aku? Apa niat kamu sebenarnya?” Nenek kebayan bertanya sangsi.
“Saya cuma nak jadi macam nenek. Menolong orang yang memerlukan pertolongan. Saya nak berjasa pada orang kampung.” Talib menyatakan apa yang terbuku di hatinya dengan riak muka yang bangga.
Nenek kebayan merenung muka Talib. Mencari keikhlasan dari nada suara Talib, mencari kejujuran di riak muka anak muda di hadapannya itu. Setelah berpuas hati, nenek kebayan tersenyum puas. Dia yakin anak muda di hadapannya itu betul-betul tulus dengan apa yang dia mahu.
“Boleh! Tapi ada syaratnya.” Nenek kebayan bersuara.
“Syarat apa tu, nek? Cakap je apa pun syaratnya. Saya sedia memenuhinya asalkan nenek sudi ambil saya jadi anak murid nenek nanti.” Talib bersuara dengan bersemangat.
“Syaratnya. Kau kena carikan aku buluh runcing tujuh ruas sebanyak tujuh batang, air terjun tujuh tempat, bunga hutan tujuh warna dan kuku harimau satu cakar. Boleh?” Nenek kebayan menyatakan syaratnya sambil tersenyum.
Apabila mendengar nenek kebayan inginkan kuku harimau sebagai salah satu syarat berguru dengannya, Talib tergaru-garu kepala yang tidak gatal dibuatnya. Talib hanya mengangguk sahaja tanda dia akan usahakan memenuhi syarat yang nenek kebayan inginkan. Nenek kebayan tersenyum bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh Talib itu. Kemudian dia berlalu pulang, meninggalkan Talib yang masih termanggu mendengar syaratnya tadi.
YOU ARE READING
KoLonG
ParanormalPenderitaan Dewi bukan sahaja sedari kecilnya. Malah takdir penderitaan hidupnya berpanjangan selagi dia bernafas. Mujur ada ehsan dari orang tua itu. Sekurangnya dia tidak sendiri dalam menghadapi segala kesakitan maha pedih sepanjang hidupnya itu...
