KoLonG - Part 1

27 3 7
                                    

MENTARI menjengah lagi. Sinarannya menembusi di celahan-celahan dinding kayu yang agak renggang. Terketar-ketar satu tangan kecil dan kurus seakan hanya tinggal tulang bersalut kulit, cuba menadah sinaran yang menerobos masuk. Senyuman tersungging di bibir tatkala ‘dia’ merasai kehangatan sinaran mentari itu. Dari senyuman menjadi kekekan halus. Riang hatinya seakan harapannya kian tercapai.

“Weh... Cepat... Cepat... Sini! Bawah ni.”

Kedengaran suara seorang budak lelaki semakin mendekati kolong bawah rumah Nek Esah. Dia yang mendengar segera mengintai dari celahan dinding kayu. Terlihat seorang budak lelaki gempal berlari anak ke arah tempat tinggalnya sambil menuding jari. Jauh di belakang budak lelaki itu, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang berlari mengikutinya sambil bergelak ketawa.

Ketakutan menguasai diri Dewi apabila melihat ramai orang mula mendekati tempat tinggalnya itu. Segera dia menjauhi dinding kayu dan pergi memperosok jauh ke dalam. Ke tempat yang agak gelap. Bergemerincing bunyi rantai besi semasa Dewi cuba menyorokkan diri di ruang dingin, berpasir dan berkuap itu. Dewi menyangkung di sudut dingin itu sambil memeluk kakinya yang kurus. Mencerlang matanya yang besar, memerhati dan berwaspada.

Kanak-kanak tadi sudahpun mengerumuni dinding kolong. Mereka berusaha mencari lubang-lubang dan renggangan-renggangan dinding kayu untuk meninjau ke dalam kolong. Dewi memerhati tingkah mereka dalam ketakutan. Makin kejab dipeluk kakinya itu sambil menyembunyi muka. Sesekali dijenguk pula ke arah keriuhan kanak-kanak di luar kolong.

“Oii! Apa korang semua buat ni? Shuh! Shuh! Pergi balik sana. Berambus!”

Tersentak mereka semua apabila dijerkah oleh suara perempuan tua dari arah tangga. Bertempiaran mereka lari meninggalkan kolong bawah rumah Nek Esah apabila mereka melihat kelibat Nek Esah sudah berdiri mencekak pinggang di atas tangga dengan wajah yang garang. Terdengkot-dengkot Nek Esah menuruni tangga menuju ke arah pintu kolong. Di tangannya terdapat sepinggan nasi yang telah digaul dengan tulang temulang. Nek Esah melerai rantai yang melilit pintu kolong lalu meletakkan pinggan di muka pintu kolong.

“Nah! Kau makan cepat. Sekejap lagi aku nak keluar. Kau duduk diam-diam bawah ni. Aku tak nak kau buat bising dekat bawah ni. Dengar tak?” Nek Esah membebel sambil matanya mencari-cari kelibat Dewi di sekitar kolong.

Setelah mendengar gemerincing lagaan besi rantai, barulah Nek Esah bangun dari mencangkung dan menutup pintu kolong. Setelah betul-betul pasti rantai yang melilit pintu kolong serta mangga kunci telah dikunci rapat, barulah Nek Esah berlalu pergi dari kolong bawah rumahnya itu. Dia mencapai beg lusuh yang siap-siap diletakkan di atas tangga sebelum turun tadi dan terus meninggalkan kawasan rumahnya itu.

Dewi yang memerhati dari celahan renggangan dinding kolong, mendengus kasar melihat Nek Esah hilang di balik simpang. Dia merangkak mendekati pinggan yang diletakkan di muka pintu sebentar tadi. Dewi mencuit nasi sejuk bergaul tulang-temulang itu. Dia lantas melahap laju nasi tersebut sambil matanya memerhati liar sekeliling kolong sempit itu. Setelah kenyang, Dewi mencari tempat selesa untuk dia berbaring. Begitulah rutin hidupnya seharian. Entah berapa lama dia tinggal di bawah kolong tersebut.

Dalam mamainya itu, terlintas bagai layar video di matanya sesuatu yang dirasakan dia pernah mengalaminya satu ketika dahulu. Hanya perkara itu yang dirinduinya saban waktu. Sesuatu yang menenangkan sanubarinya. Di mana dia seakan masih terasa pelukan seorang ibu dan usapan penuh kasih sayang seorang bapa di kepalanya. Dewi tersenyum, namun tidak lama. Senyumannya menjadi pudar kembali.

Dewi sering tertanya-tanya dalam diri, ke manakah ibu dan bapanya sekarang? Kenapa dia tidak dapat mengingat wajah ibu dan bapanya sendiri? Puas diajukan pertanyaan itu kepada Nek Esah. Tapi hanya jerkahan dan sakit hati sahaja yang dia dapat sebagai balasan jawapan kepada setiap persoalan yang dia ajukan. Entah bila Dewi terlelap, dia tidak sedar.

KoLonGWhere stories live. Discover now