Inara Sofea

166 8 3
                                    

Imbas kembali...

"Sofea janji kan, dengan umi. Tak nak kecewakan umi lagi untuk peperiksaan kali ni."

Dalam pandangan menunduk, Inara angguk kepala perlahan. Air liur ditelan beberapa kali. Kelim tepi baju digumpal kemas. Gugup.

"Jadi... apa semua ni, Inara Sofea?"

Kertas keputusan percubaan SPM, Puan Zila letak perlahan ke atas meja. Kaki yang bersilang mula mencecah lantai sebelum kedua-dua siku Puan Zila direhatkan di atas peha.

Kepala menunduk lalu perlahan-lahan pelipisnya diurut lembut.

"Kenapa Pia..."

Suasana tegang tadi beransur hiba. Inara tahu, kalau namanya dipanggil penuh, pasti Puan Zila sedang marah.

Berbeza pula kalau panggilan Pia yang disebutnya. Itu bermakna 'mood' dia sudah berubah.

Tetapi, melihat pada situasi dan reaksi uminya. Dia pasti, emosi yang ada sekarang adalah sedih.

"Ke... kenapa selalu kecewakan umi..."

Puan Zila menyoal dalam sendu yang tertahan. Inara diam.

Rasa takut yang mencengkam diri tadi direntap mudah dengan sayu yang tiba-tiba menjalar ke hulu hati.

"Kenapa, Pia..."

Wajah Puan Zila mendongak memandang Inara. Matanya merah berkaca manakala sebelah tangannya menutup mulut.

Inara masih sama. Memilih untuk berdiam diri.

Tak betah dengan kelakuan anaknya, Puan Zila bangun berdiri lalu merapati Inara.

Pipi Inara disentuh. Ibu jarinya membelai lembut serata kulit wajah kuning langsat itu sebelum perlahan-lahan tangan itu mendongakkan kepala Inara.

"Pia... kenapa, nak? Kenapa Pia sanggup buat ibu kecewa? Pia tak fikir ke perasaan ibu, nak?"

Jeda. Inara terkaku.

Puan Zila akhirnya jatuhkan tangannya sebelum berpusing membelakangi Inara.

"Dalam rumah ni dah tak ada sesiapa lagi sayangkan umi. Akhirnya, semua kecewakan umi, baik abah dan Pia sendiri..."

Puan Zila akhirnya berlalu pergi meninggalkan Inara sendiri di ruang tamu.

Selepas pasti kelibat Puan Zila tiada. Perlahan-lahan Inara mengatur langkah merapati meja ruang tamu.

Kertas keputusan peperiksaannya dicapai lalu ditenung lama.

Bahasa Melayu A-
Bahasa Inggeris B
Pendidikan Islam A-
Sejarah B+
Mathematics B
Sains A
Prinsip Perakauanan A-
Perniagaan B+

Inara ketap gigi kemas. Perlahan-lahan kertas keputusan percubaan itu direnyukkan sebelum dilempar begitu saja.

Berkaca-kaca linangan air mata jernih gugur dari sudut kelopak matanya. Satu senyuman pahit dia kulum sebelum perlahan suaranya menutur satu kata yang dia pasti itu cerminan dirinya.

"Inara Sofea bodoh."

***

"INARA. DAH MAKAN?"

Tiga roti jagung dan satu botol air mineral diletakkan di atas meja batu. Wajah ayu Inara dipandang sambil bibirnya menguntum senyuman lebar.

Inara tak menjawab. Dia sedang fokus dengan soalan latih tubi matematik kertas dua.

Sesekali jarinya laju menujah punat-punat pada papan kalkulator. Sesekali dia berhenti dan baca berulang kali soalan pada kertas soalan.

Tong SampahWhere stories live. Discover now