9

56 2 0
                                    

"Tok tahu ibumu juga telah kembali ke alam ini, tapi sehingga hari ini tiada siapa yang bertemu dengannya," kata Tok Pawang.

"Macam mana boleh jadi macam tu? Saya jatuh di tempat dan waktu yang sama dengan ibu saya! Kalau orang sini jumpa saya, kenapa tidak jumpa ibu saya?" balas Adrian.

"Tok tak pasti. Maafkan Tok. Marilah kita makan dahulu, sebelum orang Istana kembali," jawab Tok Pawang. Mereka bangun dan berjalan menuju ke dapur.

"Kenapa saya tidak lari saja? Kenapa saya perlu tunggu orang Istana ambil saya untuk dihukum?" tanya Adrian lagi.

"Kamu mahu lari ke mana? Permaisuri Hasna mempunyai mata di seluruh alam ini. Kalau ditangkap, lagi teruk kamu dihukum nanti. Lagi pula, jika kamu lari, nasib Tok dan Siti pasti teruk juga," balas Tok Pawang.

Adrian hanya terdiam dan hanya mampu berimaginasi akan keadaan yang bakal dihadapinya. Walaupun di hadapannya kala ini terhidang bermacam-macam juadah, namun dia tidak berselera langsung, hanya menjamah sekadar mengisi perutnya setelah 3 hari pengsan. Selesai makan, mereka duduk-duduk di ruang tamu yang kecil di rumah itu.

"Tok doakan kamu selamat, dan keajaiban boleh berlaku. Dan terima kasih kerana tidak lari. Tok tak mahu kehilangan Siti, seperti Tok kehilangan Embun dulu," kata Tok Pawang mengimbas kembali kenangan hitam keluarganya.

"Embun?" tanya Adrian ingin tahu.

"Ya.. Embun yang mati diseksa Permaisuri, Embun anak Tok. Embun menolak pinangan Jahid dan.." Tok Pawang tidak sempat menghabiskan kata-katanya sebelum air matanya tertumpah. Sungguh sesak dadanya mengingatkan kembali kisah itu. Embun mati terseksa dan dia semestinya tidak layak menerima hukuman seperti itu. Adrian hanya mampu melihat Tok Pawang dalam keadaan sedih, tidak terdaya melakukan apa-apa kerana dirinya sendiri tidak terbantu kala ini.

Dari kejauhan, kedengaran bunyi tapak kaki sekumpulan manusia datang menghampiri rumah itu. Adrian bangun dan cuba melihat melalui tingkap dan ternampak sekumpulan hulubalang Istana berjalan menuju ke rumah Tok Pawang itu.

"Kamu sudah siap?" tanya Tok Pawang.

"Hmm.." tiada jawapan tepat, sekadar hembusan nafas berat.

"Adrian anak Daniel, kamu diperintahkan Permaisuri Hasna untuk mengikut kami ke Istana! Maju ke sini!" ketua hulubalang itu bertempik dari luar ketika sudah tiba di kaki lima rumah itu.

Adrian tanpa rela melangkah keluar dan berjalan dengan langkah yang berat menuju kumpulan itu. Tiba-tiba, Adrian dipukul dari belakang dan dia terjatuh ke hadapan. Tangannya terus diikat di belakang. Seperti perintah Hasna, lehernya juga diikat dan talinya ditarik oleh ketua hulubalang itu. Adrian dilayan tidak ubah seperti binatang. Baru saja Adrian bertemu orang Istana, dia sudah diperlakukan begini, bagaimana pula dengan nasibnya apabila bertemu Hasna kelak.

Kumpulan itu pun bergerak meninggalkan rumah Tok Pawang. Tok Pawang tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan memerhati dari jauh saja.

...

"Lihatlah siapa di depan kita ni, kanda!" kata Hasna kepada Jahid sambil diikuti ketawa yang panjang. Dia yang melihat Adrian yang diikat dengan penuh hina itu amat berpuas hati kerana itulah saat yang ditunggu-tunggunya. 

"Mana Camelia?!" bentak Hasna apabila tersedar bekas madunya tidak kelihatan.

"Ampun, Tuanku Permaisuri. Camelia tidak ditemui oleh sesiapapun kala ini," balas ketua hulubalang.

Hasna berjalan perlahan menuruni anak tangga singgahsananya menuju kumpulan itu. Matanya terkunci kepada Adrian yang sedang duduk melutut. Sampainya di hadapan Adrian, tangannya mencengkam rakus rambut pendek Adrian sambil mendongakkan mukanya yang menunduk.

"Kau mahu tahu di mana bapamu?" tanya Hasna. Adrian tidak berkata-kata namun dia hanya sekadar mengangguk kecil tanda kemahuannya melihat bapa kandungnya yang tidak pernah bersua muka.

"Situ bapamu," kata Hasna sambil memalingkan muka Adrian ke arah kanan. Terbuntang luas mata Adrian melihat apa yang berada di arah yang ditunjukkan Hasna itu.

...

Imbas kembali

"Arghhhh!" suara jeritan Daniel yang boleh didengari di seluruh pelusuk penjara itu bergema lagi. Di kala ini, Hasna sudah selesai menyiram air panas ke tubuh Daniel.

"Kenapa menjerit, kanda? Bukankah kanda minta dinda berikan air? Kanda haus bukan? Ni dinda sudah bawakan air," kata Hasna sambil tersenyum.

"Kenapa... Kenapa kau kejam begini, Hasna.." kata Daniel tersangkut-sangkut dek kepedihan yang dialaminya kala ini.

"Kanda menduakan dinda sehingga mempunyai anak, adakah itu tidak kejam, duhai kanda sayangku?" balas Hasna.

"Kanda minta maaf.. Kanda tahu silap kanda.. Tapi anak dikandungannya bukan anak kanda. Dinda sudah lupakah, Tok Pawang berkata kanda mandul?" kata Daniel lagi cuba mengingatkan Hasna.

"Hmm.. Untuk itu, dinda minta maaf kepada kanda. Sebenarnya, dinda yang menyuruh Tok Pawang cakap macam itu. Dinda yang tak boleh mengandung. Dinda bersubahat dengan Tok supaya elakkan kanda buang dinda, dan kahwin lagi satu seterusnya dapat anak. Tapi, usaha dinda hanya sia-sia nampaknya. Kanda makin berani pula berkahwin lagi satu. Mengapa? Kanda yakin yang tidak akan ada anak bersama dia?" terang Hasna tanpa berselindung.

"Sampai.. Sampai hati dinda berbuat begitu. Dinda mengerti kanda sayang pada dinda? Walaupun kanda ada dia, tapi dinda tetap yang pertama.. Arghh!" kesakitan menyengat lagi di tubuhnya.

"Sudah kanda. Kanda katalah apa-apa pun, tetap tidak mengubah kebenaran yang perempuan itu sudah mengandung! Bagaimana jika anaknya itu anak lelaki? Sudah tentu dia boleh merampas takhta kerajaan ini, bukan? Kanda ada terfikir perkara itu? Tidak! Kanda hanya pentingkan nafsu! Dinda yang harus memikirkan bagaimana cara hendak lenyapkan anak itu nanti. Tahu tak dinda perlu sebarkan pelbagai fitnah supaya rakyat tetap setia kepada dinda dan Jahid sekarang ini? Dinda harap kanda menyesal!" kata Hasna panjang lebar sambil mencurah lebihan air panas menggelegak tadi ke atas badan Daniel.

...

"Ya, kepala manusia itu, itulah kepala bapamu. Aku penggal kepalanya, awet, dan papar di dalam kotak kaca itu untuk menjadi tatapan umum. Sebelum itu, aku seksa dia semahuku, tapi aku tidak usik bahagian kepalanya. Itulah sebab wajahnya kelihatan sempurna," kata Hasna kepada Adrian. Mereka sedang melihat ke arah sebuah kotak kaca yang terlekat di dinding yang mempunyai kepala Daniel di dalamnya.

"Kau.. Binatang! Arghhh," teriak Adrian ingin menyerang Hasna, tetapi hasratnya terbatal apabila tali di lehernya disentap kuat, menghalang pergerakannya.

"Hahaha! Kau ada hati ingin menyerang aku?" balas Hasna sambil menampar kuat pipi Adrian.

"Aku akan pastikan kau juga mengikut jejak langkah bapamu! Tempat kepalamu di sebelah Daniel akan aku sediakan. Tapi sebelum itu, aku mahu berkenyangan terlebih dahulu. Hulubalang, bawa dia ke penjara dahulu. Tempatkan dia di bilik Daniel dulu. Nanti beta datang," ujar Hasna sambil memberikan arahan lalu meninggalkan ruang itu.

Putera RahsiaWhere stories live. Discover now