4

76 2 0
                                    

"Sayang, kanda sudah pulang," sapa Daniel ketika masuk ke biliknya. Kelihatan Hasna sedang menyikat rambutnya sambil duduk di hadapan cermin. Hasna yang terkejut dengan kepulangan suaminya terus berpaling ke arah Daniel dan berlari-lari manja mendapatkannya. Hasna terus memeluk Daniel dengan pelukan yang erat.

"Lama sungguh kanda pergi. Dinda di sini sunyi dan rindukan kanda," kata Hasna dengan nada yang menggoda.

"Kanda pun rindukan dinda. Tak mengapa, kanda sudah di sini, bukan?" balas Daniel. Namun, dia berasa sedikit pelik kerana Hasna belum pernah berkelakuan mesra sedemikian. Tapi dia abaikan saja perasaan itu, kerana mungkin Hasna betul-betul rindukannya. Daniel memberikan cenderahati kepada Hasna yang dibawa dari daerah Bulan. Hasna menunjukkan kegembiraan yang tinggi apabila menerima barangan itu.

"Mari kita makan bersama. Kanda mesti lapar," balas Hasna sambil menarik tangan Daniel ke ruang makan.

"Baiklah. Lepas makan, kanda mahu mandi dan berehat. Sudah penat mengharungi perjalanan panjang.

Ketika di meja makan, Hasna duduk berdekatan dengan Daniel, tidak seperti kebiasaan. Hasna juga sesekali menyuapkan makanan ke mulut Daniel, menjadikan Daniel semakin pelik. Tapi, dia tidak mahu menegur situasi itu, hanya membiarkan saja. Mereka bergurau mesra dan bercanda seperti pasangan baru berkahwin. Daniel juga bercerita tentang pengalamannya ketika di daerah Bulan.

Selesai makan, Daniel bangun dan sebelum dia bergerak, Hasna menarik tangannya dan berkata, "Dinda ingin bersiar sebentar di taman, kalau kanda mahu mencari dinda, dinda ada di sana."

"Oh tak mengapalah. Kanda ingin berehat di bilik saja. Dinda pergilah," jawab Daniel.

Hasna mengukir senyumannya dan mengangguk tanda mengerti. Dia melepaskan tangan Daniel dan bangun meninggalkan ruang itu. Perjalanan mereka bersama terpisah di saat itu.

...

"Pengawal, buka bilik Camelia," arah Hasna kepada pengawal penjara.

"Baik, Tuanku Permaisuri," jawab pengawal itu. Dia kemudian membuka pintu sel yang menempatkan Camelia, wanita simpanan Daniel itu. Hasna mengekorinya dan masuk ke bilik itu. Kelihatan Camelia sudah sedar dari pengsannya. Camelia mula menunjukkan raut wajahnya yang panik dan cuba melepaskan dirinya dari ikatan yang membaluti kaki dan tangannya.

"Akhirnya, bertemu kita ya. Aku harap kau boleh bayang, apa yang akan aku lakukan kepada perempuan simpanan seorang Raja dan membuat seorang Permaisuri murka. Ha ha ha," kata Hasna sambil mentertawakan Camelia. Camelia tidak membalas apa-apa melainkan hanya meronta ingin dilepaskan.

Hasna mengambil sebatang rotan sebesar genggaman anak kecil. Camelia mula menangis terdesak dalam ikatannya membayangkan nasibnya di tangan Hasna.

"Pilih, rotan ini atau besi panas? Atau kerambit yang disapu limau purut ini? Aku tahu. Kau layak merasai kesemuanya," kata Hasna dengan pandangannya yang tajam.

Pengawal itu menutup tanpa mengunci pintu sel itu dan kembali ke kedudukan asalnya. Kedengaran tawa kejam Hasna memenuhi penjara itu diselangi jeritan Camelia yang diseksa. Penjara itu bakal menyaksikan sebuah pembalasan dendam seorang Permaisuri.

...

"Hmm.. Hmm.. Camelia!" Daniel terjaga dari tidurnya. Dia bermimpi ngeri lagi. Kali ini Camelia merupakan watak utama dalam mimpinya. Dia bangun dengan peluh membasahi tubuhnya. Bilik tidurnya masih kosong, tiada tanda-tanda kehadiran sesiapa, termasuk Hasna. Dia bangun dari pembaringannya dan keluar mencari Bendahara. Bendahara yang sedang berbicara dengan Laksamana menghentikan perbualan mereka apabila terlihat Daniel tergopoh-gopoh keluar dari bilik tidurnya menuju ke arahnya.

"Bendahara! Masuk ke bilik sekarang!" panggil Daniel dengan sedikit menjerit.

"Baik, Tuanku," balas Bendahara ringkas dan berjalan menuju ke sana dengan langkah yang besar.

"Beta sungguh tak sedap hati. Tadi beta bermimpi buruk lagi tentang Camelia. Beta mahu ahli rombongan kita teruskan pencarian dia. Tak kira di mana, cari Camelia sampai dapat," titah Daniel.

"Baik. Menjunjung perintah, Tuanku. Tapi, tak usahlah Tuanku berfikir bukan-bukan. Mimpi itu hanya mainan tidur. Ditambah pula Tuanku tidur di waktu petang begini," balas Bendahara. Daniel hanya senyap tidak membalas, melainkan hanya dengusan kencang yang kedengaran.

"Kalau tiada apa-apa, patik keluar dahulu," kata Bendahara lagi. Sekali lagi, tiada reaksi dari segi percakapan. Bendahara yang faham akan keadaan itu segera keluar dari bilik tersebut untuk segera mengirimkan perintah yang baru diterimanya kepada mereka yang terlibat.

...

"Kau sepatutnya tahu, apa perasaan seorang wanita yang diduakan oleh suaminya. Kau tak sepatutnya buat benda terkutuk tu, terutamanya kau ganggu rumah tangga aku, rumah tangga Raja dan Permaisuri. Kau yang bersalah dalam hal ini," Camelia berbicara lembut sambil membelai wajah dan rambut Camelia. Bau hanyir darah membasahi wajah dan rambut yang tadinya menusuk hidung, kini kian hilang seiring dengan keringnya darah itu.

Di saat ini, Camelia tidak meronta, meraung, mahupun menangis. Sisa tenaga yang ada hanyalah untuk dia bernafas dan mengelipkan matanya. Di dalam hatinya, dia berdoa agar dicabutkan nyawa serta-merta, hanya itu saja jalan yang boleh membawa dia keluar dari neraka itu. Dia hanya mampu menatap wajah Hasna yang terpalit kesan darahnya itu dengan perasaan amarah yang tidak terhingga.

"Aku tak ingin buat benda ni. Tapi kau yang memaksa aku. Berapa lama kau berhubungan dengan Daniel? Kau ada banyak peluang untuk tinggalkan dia. Tapi apa yang kau buat? Sebab dia tu raja, kau dapat rumah, kemewahan, kau sanggup jual diri kau? Sekarang ni lihat apa yang kau dapat. Kau boleh anggap ini sebagai hadiah dari aku, seorang Permaisuri yang kau sakiti," tambah Hasna lagi. Dengan senyuman yang mengerikan itu, dia bangun perlahan menjauhi Camelia.

Tiba-tiba pintu bilik itu terkuak, dan muncul Jahid di muka pintu. Jahid amat terkejut apabila melihat keadaan Hasna yang berdiri berlumuran darah. Tetapi, matanya lebih tertumpu pada Camelia yang terbaring tanpa tenaga. Keadaannya boleh disamakan dengan diserang binatang buas seperti harimau atau singa. Kulit yang tersiat lebar di beberapa tempat. Kesan lecur di tapak kaki dan beberapa anggota lain. Pakaiannya juga sudah berlubang-lubang kesan terbakar dan kesan hirisan kerambit itu.

"Ampun, Tuanku Permaisuri. Patik bawa khabar yang kurang enak. Orang suruhan patik melaporkan bahawa Raja Daniel sudah mengarahkan beberapa orang untuk mencari Camelia. Mungkin baginda sudah menghidu sesuatu," lapor Jahid kepada Hasna.

"Bagus. Masa yang tepat. Esok pagi selepas sarapan, bawa perempuan ini menghadap beta dan Raja Daniel. Jangan bersihkan apa-apa. Hanya bagi dia minum sahaja," perintah Hasna kepada Jahid.

"Baiklah, titah dijunjung, Tuanku Permaisuri," jawab Jahid.

Putera RahsiaWhere stories live. Discover now