7

63 2 0
                                    

Adrian bangun dari duduknya nya sambil tercungap-cungap. Lelaki tua itu bukannya bercerita seperti manusia biasa, tetapi segala perkara yang terjadi disaksikannya sendiri seperti sebuah layar perak. Lelaki tua itu hanya memandangnya dari jauh.

"Jadi, ibuku adalah isteri kedua Raja di alam bunian? Dan aku perlu pulang ke sana ketika sudah genap 18 tahun?" tanya Adrian kepada lelaki tua itu.

"Benar, kau adalah anak kepada Camelia, adikku. Dan kita akan pulang ke sana, 3 hari lagi," balas lelaki tua itu, yang merupakan Laksamana, abang Camelia.

"Apa yang Permaisuri akan lakukan kepada kita?" tanya Adrian lagi.

"Usahlah dikau khuatir. Tiada perkara buruk yang akan berlaku," ujar Laksamana walaupun keyakinannya jelas kedengaran goyah.

...

Adrian terjaga dari tidurnya. Dia melihat jam di dinding, baru hanya 5 minit dia terlelap. 'Ah, mimpi rupanya. Masakan aku ni anak raja bunian. Hahaha,' monolog Adrian. Dia bingkas bangun dari perbaringannya lalu terus menuju ke dapur. Tekaknya terasa kering dek hangat matahari menembak bumi.

Ketika sedang meneguk segelas air, matanya tertumpu kepada Camelia yang sedang menyiram pokok di luar yang dapat terlihat melalui tingkap usang rumahnya itu. Camelia kelihatan menyiram sambil berkata-kata sesuatu. Melihat tiada sesiapa bersamanya, tentu sahaja Camelia hanya bermonolog sendirian.

Adrian terpanggil untuk menghampiri Camelia. "Ibu, boleh tak Ian tahu ni pokok apa?" tanya Adrian ketika menghampiri ibunya. 

"Oh, ibu pun tak pasti ni pokok apa. Tapi pokok ini memang sudah beratus tahun usianya. Sebab itu ibu menyiramnya, sayang jika mati kekeringan," balas Camelia.

Di bawah pokok itu, terbina satu kerusi kayu yang digunakan mereka untuk bermalas-malasan. Mereka duduk di situ sambil memerhati keadaan rumah mereka.

"Tadi Ian mimpi pelik. Ian mimpi ada satu Raja Bunian kahwin senyap-senyap, lalu isteri dia dihukum ke bumi oleh Permaisuri," kata Adrian bagi memecah kesunyian.

"Tulah, tak basuh kaki sebelum tidur, memang macam tu," balas Camelia.

"Tu mitos la, ibu. Apa la ibu ni, zaman sekarang mana ada tak basuh kaki dapat mimpi pelik," ujar Adrian.

"Betullah. Banyak lagi benda kau tak tahu. Benda kecil macam tu pun di kata mitos. Entah-entah Malaikat, Jin, Syaitan, Bunian pun orang muda macam kau kata mitos. Macam lah kita manusia saja yang hidup di sini," kata Camelia lagi.

"Jadi betullah apa yang jadi dalam mimpi tadi?" tanya Adrian lagi.

"Mana ibu tahu. Itu semua rahsia alam," balas Camelia ringkas. Dia terus bangun dari duduk dan memulakan langkahnya menuju ke rumah.

"Ibu ada rahsia yang belum diceritakan?" tanya Adrian saat menghidu sesuatu.

Langkah Camelia terhenti dan tanpa menoleh, dia membalas, "Apa kau merepek ni? Dah. Ibu nak masak dulu."

"Nak masak apa, ibu? Makanan semua sudah habis. Terpaksa kita pinjam beras dari kedai runcit tu lagi," jawab Adrian selamba. Kali ini, Camelia tidak membalas apa-apa. Dia meneruskan langkahnya menuju ke dapur rumahnya itu dan hilang dari pandangan Adrian.

Adrian yang berseorangan memerhati pokok tua itu. 'Masakan pokok ini ialah Laksamana bunian,' monolog Adrian. Dia lalu bangun dari tempat duduk dan melangkah menuju ke sungai. Dia ingin mencari ilham untuk menambah sumber pendapatannya tanpa keluar dari kampung itu, dan dia memerlukan tempat kegemarannya.

Kehidupan mereka dua beranak hanya cukup untuk tidak mati kelaparan, dan perkara ini amat mengganggu fikiran Adrian yang masih muda dan berkeinginan untuk bermewahan. Akan tetapi, kemewahan dirasakan mustahil kala ini kerana dia tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Dia terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja bersama ibunya di ladang kelapa sawit ketika masih berumur 10 tahun lagi. Oleh kerana mereka tinggal di pedalaman dan kurang bergaul dengan masyarakat, mereka langsung tidak menerima apa-apa bantuan dari masyarakat mahupun kerajaan.

...

Camelia mengintai Adrian dari dalam rumah yang masih duduk di bawah pokok tua itu. 'Macam mana dia boleh bermimpi sedemikian? Adakah sumpahan itu benar-benar terjadi?' getus Camelia di dalam hatinya. Adrian kemudian dilihat bangun dari tempat duduknya lalu berjalan meninggalkan kawasan itu. Dia memerhati gelagat anaknya itu sehinggalah tidak ternampak oleh matanya lagi.

Camelia keluar semula dari rumahnya lalu berjalan menuju ke pokok itu tadi lalu berkata, "Abang! Macam mana boleh jadi macam ni? Macam mana puteraku tahu dan boleh bermimpi pasal semua ini?".

Saat itu, kedengaran guruh di langit secara tiba-tiba dan kilat turun menembak pokok itu. "Aku yang ceritakan semuanya pada dia. Aku dah tak sanggup hidup macam ni. Aku mahu kau bawa dia jumpa Permaisuri. Kalau tidak, aku akan heret kamu berdua," kedengaran suara dari pokok itu membalas.

"Tidak! Aku tak mahu! Kau lupa apa yang dia buat pada Embun? Abang mahu nasib yang sama terjadi pada aku kah?" jawab Camelia yang mula cemas. Dia tahu ketegasan abangnya itu dan pada akhirnya, dia tetap akan terpaksa menurutinya. Namun, Camelia masih cuba merayu agar tidak dipulangkan kepada Permaisuri Hasna lagi.

"Lagi 3 hari, genap 18 tahun aku hidup begini sebagai pokok. Kau tahu betapa seksanya keadaan ini? Kau sedar? Kau patut tahu akibatnya mengahwini Daniel secara senyap dulu! Tapi kau degil! Kau hanya ingin menuruti kehendakmu tanpa berfikir panjang! Aku yang tidak bersalah juga dihukum. Tidakkah kau berfikir lagi?" balas Laksamana.

"Sudah! Jangan ingatkan aku lagi! Aku tidak akan pernah sanggup pulang semula ke sana! Aku lebih rela mati daripada pulang ke sana!" jerit Camelia lalu dia terus berlari meninggalkan pokok itu. Dia berlari menuju ke sungai, dengan harapan dia boleh lemas di sana. Dia memang sungguh nekad, lebih rela mengambil nyawanya sendiri berbanding diseksa oleh Hasna.

"Camelia!" jerit pokok itu lagi. Kemudian, tiba-tiba kilat kembali menyerang pokok itu sekali lagi. Keadaan menjadi seperti sedia kala.

...

Adrian yang berjalan menghampiri sungai itu terus duduk apabila tiba di sebuah batu besar di pinggiran sungai. Di sana, dia selalu menghabiskan masanya tanpa berbuat apa-apa. Tetapi pada kali ini, dia berfikir tentang banyak perkara, masa depannya dan sesekali mengimbau mimpinya tadi.

Ketika sedang menerawang fikirannya, tiba-tiba langit yang cerah menjadi gelap dengan sekelip mata. Dia memandang ke atas, kelihatan awan hitam dan kelam berkumpul di seluruh langit. "Tadi panas terik," ujarnya bersendirian.

Tiba-tiba, dia tersentak tatkala mendengar larian seseorang menuju tempat itu. Dia terkejut kerana terlihat Camelia yang sedang berlari-lari anak menuju sungai itu. "Ibu!" jerit Adrian.

Camelia yang meneruskan lariannya tertoleh apabila namanya dipanggil. "Maafkan ibu. Ibu tak sanggup!" balas Camelia sambil air matanya tumpah laju. Dia terus berlari sehingga tiba di pinggiran sungai itu sebelum berhenti seketika.

"Maafkan ibu," kata Camelia ringkas. Sejurus selepas itu, dia terus terjun ke dalam sungai itu. Secara tiba-tiba, hujan lebat berserta kilat sabung-menyabung melanda kawasan itu. 

Adrian yang terkejut dengan kejadian itu kaku. Seolah-olah otaknya tidak berfungsi saat itu. Hujan lebat membasahi badannya membuatkan dia tersedar. Saat itu, dia terus terjun ke dalam sungai itu untuk menyelamatkan Camelia.

Adrian cuba mencari-cari ibunya di dalam sungai. Dia berenang di kawasan sekitar. Namun, tiada satu tubuh pun berjaya dijumpainya. Adrian panik dan takut, dan dia yang sudah berada di dasar sungai terlupa untuk kembali ke permukaan. Oksigen di dalam paru-parunya telah kehabisan. Matanya perlahan-lahan tertutup, dan dia masih di dalam air sungai itu.

Putera RahsiaWhere stories live. Discover now