"Prof... Prof okey ke?" tanyanya dengan prihatin.

Qarizh yang masih lagi memegang kepalanya menarik nafas panjang lalu perlahan-lahan kepalanya didongakkan ke atas lalu matanya memandang sekilas kepada empunya jasad yang bertanya. Malu juga dirasakannya kini, tapi sakit lagi hatinya memikirkan hal tadi.

Qarizh kemudiannya bangun lalu membetulkan kembali rambut dan bajunya yang berserabai tanpa mengendahkan lelaki tua yang masih setia berada di depannya. Lelaki tua yang bagaikan mengerti dengan tingkah Qarizh hanya bertindak berdiam diri lalu tanpa dipelawa, dia melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan meja Qarizh.

"Ada apa Dato' ke mari?" tanya Qarizh lalu dia juga turut sama melabuhkan punggung di kerusi pejabatnya.

Profesor Dato' Dr. Hisham hanya menggeleng perlahan dengan ulah Qarizh. Dia sudah sangat jelas dengan perangai Qarizh yang dingin, beku dan keras kepala. Semua orang di universiti itu mengakui hakikat kebenaran ini tetapi apabila dia menyaksikan sendiri aksi Qarizh menyelamatkan Amirul, dia tahu ada sesuatu dalam diri pensyarah muda itu yang membuatkannya berminat untuk menjadikannya partner anaknya bagi menyelesaikan kes pembunuhan di universiti itu.

"Macam ni Prof... saya sebenarnya nak minta jasa baik Prof..." kata Prof. Dato' Dr. Hisham dengan berhati-hati dan serba salah.

Qarizh hanya menjongketkan kening apabila mendengar ayat terputus-putus keluar dari mulut seorang dekan yang dihormati di universitinya. Dah kenapa dengan Dato' ni? Dia bukannya makan orang pun.

Prof. Dato' Dr. Hisham kelihatan ingin meluahkan sesuatu tetapi terbejat dengan panggilan yang diterima dari telefon pintar Qarizh. Qarizh memberikan isyarat agar tunggu sebentar lalu dia mengangkat panggilan yang diterima dari telefon sparenya yang elok tersimpan di dalam laci.

Tidak mahu menunggu lama ditambah pula dengan dia juga ada kelas sebentar lagi, Prof. Dato' Dr. Hisham terpaksa mengundur diri. Lalu, dia memberikan isyarat kepada Qarizh bahawa dia akan datang menemui jejaka itu di lain hari. Qarizh yang masih terlekap dengan telefonnya hanya mengangguk dan sempat membuat isyarat maaf kerana tidak sempat melayani dekan itu dengan baik.

Bagi Qarizh, panggilan yang diterimanya itu... tak nak diangkat dirasa tak kena pula. Terpampang besar di skrin telefon nama pemanggil: ASP Haireen Jamilah. Setelah memastikan Prof. Dato' Dr. Hisham menghilang sepenuhnya di balik pintu, Qarizh mula memperkuatkan suaranya.

"Ya, Mami Reen," kata Qarizh sambil mengurut batang hidung sambil mengangguk perlahan bagai akur dengan penjelasan dari orang yang digelar Mami Reen.

"Jadi, kes ni ada kaitanlah dengan Blue Rose?" tanyanya lagi tapi kali ini dengan suara yang lebih rendah.

Qarizh kemudiannya hanya mengangguk dan sesekali kepalanya diurut perlahan dengan batang tengkuknya juga dipicit-picit. Sungguh, berita yang diterimanya itu sangatlah menggusarkan jiwa pendidiknya. Bayangkanlah, menurut maklumat yang diperolehi dari mata-mata gelap pihak polis, dadah jenis itu kini sedang berleluasa tersebar dalam kalangan pelajar tidak hanya di universiti bahkan di sekolah menengah.

Dadah yang diberi nama Blue Rose kini muncul dalam bentuk pil berwarna pink dan ia sangatlah popular sebagai ubat menahan kantuk. Disebabkan bentuknya yang sama dengan pil ubat-ubatan yang boleh diperoleh dari farmasi dan penjualannya sebagai pil cerdas minda bebas dijual di merata negeri, kebanyakan pelajar ini lebih tertarik untuk membelinya bagi membantu mempertingkatkan tahap IQ mereka.

Keadaan menjadi lebih buruk dan tidak terkawal lagi apabila setiap kali serbuan dibuat di premis-premis penjualan ubat ini, apa yang ditemui hanyalah pil cerdas minda biasa yang selamat diambil. Sungguh, pergerakan pengedar dadah jenis ini amatlah licik dan sukar untuk dikenal pasti keberadaan mereka. Ini menjadikan kerja pihak polis menjadi sentiasa tergendala dek modus operandi penjenayah yang bagai sentiasa lebih maju selangkah ke hadapan.

HI, ENCIK PROFESSOR!Where stories live. Discover now