Bab 4

218 12 2
                                    


Oh! Suria masih cam cara dia berjalan walaupun sudah lebih lima tahun mereka tidak bersua. Langkahnya perlahan tetapi aura atlit terpancar. Penuh dengan keyakinan. Pemain bola sepak mewakili maktab dan universiti kot. Jejaka pujaan ramai yang tidak pernah menggunakan populariti untuk mengumpan perempuan. Mana mungkin ahli 'mat surau united' berperangai begitu. 'Down to earth', penyayang dan setia. Hatinya tidak pernah berbolak balik tentang Nurjihan. Dia sangat percaya Jihan akan kembali kepadanya. Satu hari nanti.

Ah! Jihan lagi. Kau kenapa, Jihan? Seorang lelaki yang sayangnya sebegini besar, kau lepaskan tanpa sebarang alasan. Suria mendengus. Amarahnya kembali menular dalam hati. Dia benar-benar kecewa dengan Jihan.

"Amboi! Kot ya pun, takkanlah meradang sampai merah padam muka yang comel tu. saya lewat 10 minit saja. Bukan sengaja. Bercinta nak cari parking pada waktu begini," ujar Hazman sambil tersengih lebar. Seronok benar dia kerana rindu kepada sahabat yang terpendam selama beberapa tahun, terlerai sudah. Suria yang manis tetapi 'feisty' sudah kembali.

"Oh! Hi handsome..." Suria membalas, rasa berang terhadap Jihan lenyap apabila menatap wajah Hazman dengan lebih dekat. "Mana ada kita marah. Nampak tak 'happy face' ni sebab dapat jumpa awak," sambungnya lagi. Hazman tampak sedikit cengkung berbanding dulu.

Sambil ketawa, Hazman menjawab, "Alah... Ke-handsome-an ini mana mungkin dapat mengalahkan ketampanan lelaki Melayu terakhir awak tu."

Haish! Rupa-rupanya dia masih ingat gelaran yang Suria berikan untuk Khairi dulu. Apa lagi yang dia ingat, gamaknya, selain daripada Nurjihan.

Suria mengangguk. "Ha! Yang itu pasti. Sorry!"

"Awak masih tidak berubah. Perangai sama seperti dulu. Terima kasih..." ujar Hazman. Lebar senyumannya. "Nampaknya masih pakai barang-barang branded ni. Kasut, beg..."

"Psst! Kat sana benda-benda ni murah berbanding beli kat sini. Tak adalah lama sangat nak kumpul duit. Catu makan sikit-sikit sebab mana boleh nak bermewah dengan duit biasiswa yang seciput tu. Errr... beg ni Khairi yang belanja. Sebab itu nampak brand yang up sikit..." Suria ketawa. Ingat lagi Hazman tentang hobi Suria yang mahal tetapi tidak menyusahkan orang. "And by the way, I am your very loyal sister, bro. Tentulah perangai masa dengan awak sama macam dulu. Not like someone, you know who. Boleh putus saudara macam tu saja," jawab Suria dengan nada sinis.

Wajah Hazman terus berubah. Keceriaan tadi diselubungi mendung kelabu. "Jangan..." Hazman menggeleng.

"Maaf. Ter...." Suria menampar pipinya sendiri. Geram dan menyesal kerana tidak dapat menahan keceluparannya. Pada masa yang sama, Suria rasa sangat wajar dia marah begitu terhadap Jihan. Mana datang entah penyakit keras kepala dia sehingga Jihan mampu melalui zaman belajar di uni sehingga sekarang tanpa Hazman, Suria dan kawan-kawan rapat yang lain. Hidup dalam keterasingan. Mana datangnya kekuatan itu?

"Saya percaya apabila dia sudah bersedia, dia sendiri akan datang kepada kita. Tentu dia ada alasan yang tersendiri. Kita bersangka baik, okey," kata Hazman, lembut. Dia belum berputus asa dengan Nurjihan.

Suria menceber. "Dah banyak tahun kot dia buat hal. Entah bila batu dalam kepala dia tu nak pecah. Kalau nak husnuzon pun, agak-agaklah, Hazman."

Hazman menyikat rambutnya dengan jari-jarinya. Tiada butir kata yang dia luahkan untuk menyanggah kata-kata Suria. Ada benarnya pendapat Suria tetapi hati dia enggan membiarkan itu mempengaruhi fikirannya. Dia masih belum mampu untuk 'move on'. Biarkanlah... lagipun, sehingga ke hari itu hatinya belum terbuka untuk membenarkan sesiapa masuk. Walaupun Dini, yang sering ada di sisinya.

"Dahagalah. Jom kita pergi minum," Suria mempelawa. Selepas menghadiri dua temuduga pagi itu, tekaknya terasa kering.

Hazman menyeluk beg sandang, kemudian mengeluarkan sebotol air mineral yang masih sejuk. Nampak butir-butir air yang terpelowap pada botol air itu. "Nah! Saya beli semasa dalam perjalanan ke mari. Tanda 'pendamai' sebab saya terlewat tadi."

Alusmitai (TO BE PUBLISHED)Kde žijí příběhy. Začni objevovat