"Vanessa, baca syair yang ada dalam silibus pelajaran kita." Kata-kata Puan Gwen langsung tidak diendahkan. Fikiran Vanessa sibuk mengingat pada suatu perkara yang lebih utama.

"Specific Term of Neurology, by Romeo Reise and Juliet Chiu." Puan Gwen mengerutkan dahinya, hairan dengan ayat yang baru sahaja Vanessa sebutkan tadi. Bukan Puan Gwen sahaja, malah seisi kelas mula dihujani tanda soal.

"Neurologi, ialah bidang perubatan manusia berkaitan otak." Vanessa berpaling dan mengambil pen marker di tangan Puan Gwen. Penutup pen dicampak kasar sebelum tangannya laju melukis bentuk otak manusia sebesar separuh papan putih kelas.

"Vanessa, apa awak buat ini?" Puan Gwen sudah menjerkah.

"Neurologi juga bidang yang berkaitan dengan sistem saraf manusia. Tulang belakang manusia juga berkait rapat dengan bidang neurologi." Tangan Vanessa melukis pula gambaran tulang belakang di sebelah lukisan otak.

"Neurologi mendiagnosis dan merawat semua kategori keadaan dan penyakit berkaitan dengan sistem saraf pusat atau pinggiran sistem saraf. Neuro, yang berasal daripada perkataan Yunani, neûron, yang bermaksud tali atau saraf, boleh dikatakan akar tunjang kepada kehidupan manusia. Orang pertama yang menemui bidang ini ialah..." Bicaranya dipintas.

"Vanessa, hentikan! Pergi duduk tempat kamu! Ini kelas sastera, bukan sains!" Jerkahan Puan Gwen menyentakkan semua pelajar di dalam kelas itu. Semua terkaku dan terdiam, kecuali Vanessa.

Kelihatan Vanessa memandang ke arah Puan Gwen dengan ekor mata tajamnya.

"I'm not done yet." Suara Vanessa berubah menjadi datar. Puan Gwen terkelu dengan pandangan ekor mata Vanessa yang sememangnya menikam dalam itu.

"Orang pertama yang menemui bidang ini ialah Jean-Martin Charcot dan ditemui pada abad ke-16. Neuro..." Pen marker di tangan Vanessa dirampas sebelum dicampak ke luar kelas sehingga terkena pada dinding koridor. Serta-merta, bicara Vanessa menemui titik noktah dengan tindakan Puan Gwen itu.

"Berdiri di luar kelas, Vanessa Willians! Jangan masuk selagi saya tak benarkan! Saya benci tengok muka kamu! Ini kelas sastera, bukan sains! Kamu keluar!" tengking Puan Gwen dan suasana kelas bagaikan kaku buat seketika. Perlahan-lahan, Vanessa berjalan ke luar kelas dan Puan Gwen mendengus kasar.

"Baik, kelas. Saya minta maaf sebab..." Bicara Puan Gwen terjeda apabila kelihatan Vanessa masuk ke dalam kelas semula bersama-sama pen marker di tangannya. Riak wajah Puan Gwen kembali diselubungi amarah.

"Kamu pekak ke, Vanessa? Saya suruh kamu duduk di luar, jangan masuk selagi saya tak suruh! Ada saya suruh kamu masuk ke tadi?" Tengkingan suara kembali bergema di kelas itu. Pelajar lain di dalam kelas itu sudah kecut perut. Kelihatan Vanessa tersenyum sinis sebelum menapak mendekati Puan Gwen.

"Non disturbarmi quando voglio parlare (Jangan ganggu saya ketika saya mahu bercakap)," ujar Vanessa dan semua mengerutkan dahi tidak mengerti.

"Odio que la gente interrumpa cuando estoy hablando (Saya benci orang mengganggu semasa saya bercakap)." Apa-apa yang Vanessa beritahu dalam bahasa asing itu tadi, langsung Puan Gwen tidak faham walau satu patah haram pun. Kelihatan Vanessa tersenyum sinis sebelum memandang ke seluruh pelosok kelas. Rata-rata mereka memandang Vanessa dengan pandangan gerun dan ketakutan.

"Jangan pandang macam itu." Tangan Vanessa mula menggigil. Bayangan memori hitam itu kembali menghantui fikiran Vanessa.

"Mak... jangan tinggalkan Vans!"

"Dia bunuh mak dia sendiri."

"Aku kata jangan pandang aku sebegitu! Aku bukan pembunuh!" Vanessa menjerkah kepada rakan-rakan kelasnya sebelum mencampakkan pen marker tadi sehingga tepat mengenai wajah Fiona yang duduk di hadapan sekali. Jeritan sakitan Fiona terus kedengaran dan terus, suasana kelas itu menjadi kacau-bilau.

NOAH VANESSA (Terbit)Where stories live. Discover now