BAB 1

1K 15 1
                                    

KELUAR sahaja dari perut teksi, Ziyadh terus melangkah lekas menuju ke dalam kawasan rumah banglo milik orang tuanya. Saat ini, tiada apa-apa yang lebih penting baginya melainkan untuk melihat papanya, Datuk Umar buat kali yang terakhir.

Masuk sahaja ke dalam rumah melalui pintu utama, Ziyadh dapat merasai suasana hening dan hiba menguasai segenap ruang di dalam rumah itu. Yang kedengaran menyapa telinga hanyalah alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Setapak demi setapak langkah diatur perlahan menuju ke ruang tamu. Langkahnya terhenti tatkala mata terpandang akan jasad papanya yang terbujur kaku di atas katil yang diletakkan di tengah-tengah ruang tamu tersebut.

Seluruh tubuh kaku itu bertutup dengan kain putih, dikelilingi orang-orang yang sedang membaca surah Yasin di sampingnya.

Tubuh Ziyadh menggigil. Dada mulai sebu, manakala atur nafasnya mulai tersekat-sekat. Tidak teratur. Tangannya berpaut pada dinding kerana kaki mulai terasa longlai. Tidak lagi utuh terpasak di lantai.

Kini, dia tidak dapat lagi menidakkan hakikat.

Benarlah. Papa memang sudah tiada. Papa telah pergi buat selamanya.

"Papa..."

Ziyadh dirundung rasa sebak. Benteng air mata mulai pecah berderai. Terenjut-enjut bahunya menahan esak yang tertahan-tahan.

Seorang wanita awal 50-an berkelubung putih yang berada di antara orang-orang di sekeliling seperti merasai kehadiran Ziyadh. Dia panggung kepala sambil matanya melitar mencari-cari. Seketika, mata mereka bertembung.

Raut wajah Datin Mariam kelihatan begitu sugul sekali. Ada sisa air mata masih membasahi pipi. Kulit putih dan bibirnya kelihatan pucat. Matanya bengkak dan sembap. Wanita itu tidak lelap sepanjang malam untuk menemani tidur terakhir bersama suami.

Ziyadh terus mendapatkan mamanya. Dia memeluk erat tubuh wanita itu. Mereka sama-sama melepaskan kesedihan dengan esak tangis yang tidak berkesudahan.

"Anak arwah dah sampai ke?"

Seorang lelaki berserban bertanya. Dia imam masjid bagi kawasan perumahan tersebut, Imam Munir.

"Saya, imam," akui Ziyadh.

Pelukan dua beranak itu perlahan-lahan terungkai. Ziyadh menyeka air mata yang bersisa sambil mendekati imam yang berdiri di sebelah jenazah Datuk Umar.

"Tengoklah wajah papa kamu buat kali terakhir. Lepas ni kita nak sembahyangkan jenazah."

Ziyadh terus melutut di tepi jasad yang kaku itu. Perlahan-lahan dia menurunkan kain putih yang menutup muka.

Allahuakbar. Ziyadh hanya mampu bertakbir saat melihat wajah Datuk Umar yang tenang seakan-akan sedang tidur.

Ziyadh tidak menyangka ini tatapan terakhir. Selepas ini dia tidak dapat lagi melihat wajah ini. Tanpa dapat ditahan, air mata merembes lagi. Semakin lama semakin laju.

"Papa... Papa... Maafkan Ziyadh, pa. Maafkan Ziyadh. Ziyadh yang salah. Ziyadh yang degil, pa. Maafkan Ziyadh."

Dia memohon keampunan dengan suara yang tersekat-sekat. Ada nada kesal dan kilan yang bertandang di benak.

"Papa... Tolong maafkan Ziyadh." Dia memohon lagi.

Imam Munir memegang bahu Ziyadh.

"Sabarlah, nak. Ciumlah papa kamu buat kali terakhir."

Akur dengan permintaan Imam Munir, Ziyadh menyeka air mata. Setelah berasa bersedia, dia tunduk lalu mengucup dahi papanya. Lama.

Selepas itu, Ziyadh menatap sekali lagi wajah Datuk Umar. Perlahan-lahan dia mengusap pipi papanya.

LOVE YOU, MRS EXWhere stories live. Discover now