"You saja nak sakitkan hati I kan?" Tiba-tiba nada suara Nurlisa menjadi kasar.

"Maaf. I mengusik aje." Raykal Redza memujuk.

"Apa Eddy nak?"

"Dia ajak I keluar ngeteh lepas pejabat esok. Mungkin Farhan dan Azam pun ada nanti tu. Boleh aje kalau you nak join sekali. You pun dah lama tak jumpa dia orang kan?" Raykal Redza menjelaskan.

"Tak apalah. I tak nak ganggu sekumpulan lelaki yang nak keluar ngeteh."

Raykal Redza tergelak kecil.

"Betul you tak nak join kita orang?" soalnya. Melihatkan gelengan Nulisa, dia menyambung, "So you izinkanlah I keluar ngeteh dengan kawan-kawan I?"

Nurlisa ketawa kecil.

"Kenapa pulak nak kena minta izin dari I?"

"Kan tak lama lagi you akan jadi wife I? Kalau suami nak ke mana-mana perlulah minta izin dari isteri terlebih dahulu, betul tak?"

"Setahu I, isteri yang harus minta izin dari suami kalau nak ke mana-mana." Nurlisa membalas.

"Pandai pun!" Sengihan kemenangan terpapar di bibir Raykal Redza.

"Tapi seorang suami yang baik pasti akan maklumkan pada isterinya kalau dia nak ke mana-mana, betul tak?" getus Nurlisa sambil mencapai gelas berpeluh di hadapannya. Muncung straw berbelang merah putih dilekapkan ke bibir lantas air avocado disedut perlahan-lahan.

Terpancut batuk dari bibir Raykal Redza. Batuk yang sengaja dibuat-buat itu membuatkan Nurlisa menjeling tajam ke arah nya. Apa lagi melambaklah ketawa dari bibir lelaki itu.

"Jelingan manja you tu sebijik macam jelingan pelakon Bollywood. I suka tengok." Dia mengusik membuatkan Nurlisa mati kutu.

"Boleh tak kalau you ambil serius sikit apa yang I cakap?" Selar Nurlisa melihatkan tunangnya yang suka bersikap sambil lewa.

"Takkanlah I nak bergurau dengan you pun tak boleh, sayang? I puji you kan tadi tu. Hidup ni kalau asyik serius aje nanti cepat mati, tau." Terpacul jawapan itu dari mulut Raykal Redza.

"Tapi sikap you memang macam tu, kan?"

"Sikap yang macam mana tu?"

"Suka ambil mudah semua perkara."

Raykal Redza tergelak kecil.

"Sayang, kalau perkara tu boleh dipermudahkan kenapa I perlu sukarkan pulak? Nanti tak pasal-pasal aje I dapat penyakit barah otak." Raykal Redza pantas menjawab.

Kata-kata Raykal Redza itu membuat Nurlisa terkucam. Kadang-kadang jawapan yang meluncur keluar dari bibir tunangnya itu membuatkan dia mati kutu, tidak tahu hendak menjawab apa. Setiap sesuatu pasti ada jawapannya. Hmmph! Daripada terus bertelagah tentang isu yang entah apa-apa sehingga menimbulkan pertengkaran, ada baiknya kalau dia mengalah sahaja dan memberikan kemenangan kepada Raykal Redza.

Raykal Redza tersenyum nipis tatkala melihat tunang di hadapannya mendiamkan diri. Dia tahu kemenangan sudahpun berpihak kepada dirinya. Walaupun kadangkala mereka tidak sependapat dalam beberapa hal tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh terus bersama.

"Lepas makan ni you ada nak kemana-mana tak?" Raykal Redza menyoal.

"Tak ada."

"Betul ni? Tak nak shopping? Ronda-ronda? Tengok wayang?" Raykal Redza memakukan matanya ke wajah Nurlisa, meminta kepastian. Melihatkan gelengan Nurlisa, dia terus bangkit menuju ke kaunter bayaran untuk menjelaskan bil.

Selepas itu, dia menghampiri Nurlisa semula.

"Kalau you tak ada nak kemana-mana lagi, I hantar you balik ajelah. I pun letih ni. Nak rehat," ujar lelaki itu.

"TAK singgah jumpa family I dulu ke?" soal Nurlisa ketika kereta yang dipandu Raykal Redza berhenti di hadapan pagar rumah orang tuanya.

"Lain kali ajelah I jumpa mereka. Dah lewat ni."

"Okeylah, selamat malam. Balik terus ke rumah tau jangan melencong ke tempat lain pulak." Nurlisa mengingatkan.

Kata-kata Nurlisa itu membuatkan Raykal Redza tergelak kecil.

"Baiklah, sayang jangan risau ya. I janji, takkan melencong ke mana-mana," getusnya sambil mengangkat tangan kanan seolah-olah seorang askar yang sedang mengangkat tabik hormat.

Nurlisa hanya mampu melemparkan seulas senyum nipis sebelum melangkah turun dari perut kereta.

"Jangan lupa mimpikan I tau, sayang!" Sempat juga Raykal Redza mengusik sejurus sebelum pintu kereta ditutup Nurlisa.

Dia menunggu sehingga kelibat Nurlisa hilang dari pandangan sebelum memecut laju keretanya. Satu destinasi dituju dan tempat yang dituju itu bukanlah rumah!

"HAH, sampai pun bakal pengantin kita. Ingatkan dah kena rantai tadi!" Usik Eddy Hakimi sebaik melihat kemunculan Raykal Redza di ruang yang agak bingit dengan bunyi muzik itu.

Lelaki itu menyambut usikannya dengan gelak ketawa.

"Hey, Bro! Dah berapa minggu kau tak melepak dengan kita orang, tau. Kita orang ingat kau dah tak nak jumpa dengan kita orang lagi," Kata Farhan pula.

"Bukannya aku tak nak jumpa dengan kau orang. Aku ada sibuk sikit sekarang ni. Faham-faham ajelah."

"Yelah, kita orang faham. Tak lama lagi kau dah nak naik pelamin. Nampaknya di antara kita berempat ni, kaulah yang jaguh." Azam pula mencelah.

"Apa nak buat, jodoh aku dah sampai, Zam. Esok-esok mungkin jodoh kau, Farhan dan Eddy pula." Raykal Redza menjawab pantas.

"Dah rezeki kau beristeri dulu, Ray. Takkanlah kita nak jealous, betul tak, geng!" tukas Eddy Hakimi sambil menepuk-nepuk bahu Raykal Redza.

Raykal Redza ketawa kecil.

"Aku dah lama tak jumpa Lisa. Apa khabar dia sekarang?" Eddy Hakimi mengalih topik perbualan mereka.

"Dia sihat. Aku baru aje hantar dia balik ke rumah selepas makan kat restoran tadi."

"Dulu, sesekali tu nak juga Lisa melepak dengan kita orang." Eddy Hakimi merungut seolah-olah tidak menyenangi sikap Nurlisa yang dirasakannya semakin dingin. Farhan dan Azam hanya diam menelinga.

"Dia tu makin sibuk sekarang ni. Argh, yang kau nak hebohkan sangat tentang tunang aku tu, kenapa? Yang penting aku! Aku masih bersama kau orang kan? Walaupun aku sekarang ni tengah letih... penat, mata pulak dah terbayangkan bantal tapi aku tetap datang bila kau orang panggil. Sahabat selamanya!" Raykal Redza bersuara.

Kata-katanya disambut gelak ketawa.

"Sahabat selamanya! Jom kita raikan." Selamba Azam menolak gelas kuning berbuih ke arah Raykal Redza tetapi dengan pantas pula lelaki itu menggoyang-goyangkan tangannya.

"Maaflah. Aku dah tak sentuh benda ni." Dia menolak minuman keras yang dihulurkan kepadanya.

"Wow! Ini menarik. Nampaknya Lisa dah berjaya mengubah kau, Ray."

"Maaf, ya. Bukan semua yang aku lakukan disebabkan oleh Lisa." Raykal Redza membela dirinya.

"Relakslah, bro. Kau kena enjoy dulu sebelum kahwin. Entah-entah bila dah kahwin nanti, Lisa ikat kau." Farhan mencelah.

Raykal Redza ketawa kecil.

"Sorry ya. Aku free and easy. Mustahil Lisa atau mana-mana perempuan boleh ikat aku!" Jawabnya dengan yakin.

"Baguslah kalau macam tu. Lets rock, bebeh!" terjah Eddy Hakimi.

Serentak itu, dia, Azam dan Farhan bangkit menuju dan menenggelamkan diri di celah-celah keriuhan dewan dansa lalu larut mencicip keseronokan yang ditawarkan malam bersama pengunjung-pengunjung disko yang lain. Raykal Redza yang tidak mahu ditinggalkan sendirian turut bangkit mengekori jejak rakan-rakannya.

Dan, malam pun semakin menuju ke penghujungnya...

KECUBUNGOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz